#3036: Tafsiran Hadith Ilmu Diangkat Dengan Kematian Ulama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ilmu akan diangkat dengan kematian ulama dan pemimpin yang jahil mengambil tempat serta memberi fatwa yang mengakibatkan ramai orang terkeliru?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ismail bin Abi Uwais telah menceritakan kepada kami, berkata Malik, telah menceritakan kepadaku daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا، يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba- hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”

Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Maksud mereka sesat kerana memberi fatwa kepada manusia dengan cara batil dan tanpa ilmu serta petunjuk yang sebenar. Sedangkan mereka menyesatkan manusia kerana mereka semua percayakan ulama tersebut. Justeru kesemuanya binasa.

Tafsiran hadis di atas, antaranya:

  • Ilmu merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Ini menunjukkan betapa kita perlu memohon daripada-Nya supaya dikurniakan ilmu.
  • Cara ilmu dicabut ialah dengan kematian ulama. Justeru, hendaklah kita pelajari ilmu dari para ulama dengan cara bertalaqqi sebelum mereka meninggalkan kita. Ini kerana, ilmu tidak boleh diwarisi seperti mana harta, sebaliknya perlu dipelajari dan ditekuni dengan bersungguh-sungguh.
  • Kelebihan ulama dalam memberi petunjuk keimanan kepada masyarakat supaya masyarakat menjadi celik daripada sebarang kejahilan, kejahilan akan membawa bala kepada mereka yang jahil tanpa pegangan agama yang kukuh.
  • Seseorang itu haram mengeluarkan fatwa tanpa sebarang asas dan dalil yang kukuh jika menyalahi prinsip agama. Syarat mengeluarkan fatwa mestilah dengan berilmu, amanah, adil dan ikhlas semata-mata kerana Allah, bukan kerana yang lain daripada-Nya.
  • Keperluan mempelajari adab menuntut ilmu daripada para ulama agar ia benar-benar memberi kesan daripada yang lain. Penuntut ilmu hendaklah berakhlak dengan akhlak yang mulia dan menghindarkan sifat-sifat mazmumah.
  • Kematian ulama dianggap sebagai musibah yang besar kerana ulama adalah pewaris nabi dan pelita bagi umat ini. Melahirkan ulama yang berwibawa dan petunjuk ummah, memerlukan tempoh yang panjang dan tapisan yang tebal. Justeru, sedikit sahaja yang tergolong dalam golongan ulama rabbani yang berani menyatakan kebenaran dan berdakwah dengan penuh hikmah.
  • Perlu bagi kita memuliakan ulama dan mengasihi mereka. Ini kerana jalan yang ditunjuk kepada kita adalah jalan akhirat dengan cara ibadah yang sah serta iman yang benar. Justeru, amat wajar mengasihi dan memuliakan mereka kerana ia termasuk suruhan Nabi SAW.
  • Antara tanda akhir zaman, ilmu berkaitan agama dan kefahaman Islam akan berkurangan dengan kematian tokoh ulamanya, sebaliknya ilmu berkaitan teknologi dan perkembangan semasa semakin canggih dan begitu terkehadapan. Hal ini tidak pelik dengan banyak penemuan ciptaan terbaru dan terkini.
  • Ulama yang menjadi pewaris nabi amat perlu diberi penghormatan dan dimuliakan kerana wazifahnya yang cukup istimewa di sisi Allah. Menjadi keperluan kepada kita semua untuk mengutip seberapa banyak mutiara ilmu daripada tokoh seperti itu.
  • Imam al-Syafie berkata: Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ianya menjadi amalan para Nabi, Rasul dan orang-orang soleh.

Pujangga berkata: Ilmu pengetahuan mempunyai dua keuntungan.

Pertama, kita mengetahui masalah pokok dan

kedua, kita mengetahui di mana kita dapat menemui maklumat berkaitan hal itu.

Kami menutup perbincangan ini dengan kenyataan daripada Sulaiman Rahimahullah yang berkata:

لا يَزالُ النَّاسُ بِخَيْرِ مَا بَقِي الأَوَّلُ حَتَّى يَتَعَلَّمَ الآخِرُ، فَإِذَا هَلَكَ الأَوَّلُ قَبْلَ أَنْ يَتَعَلَّمَ الآخِرُ هَلَكَ النَّاسُ

Maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana masih kekal generasi pertama sehingga yang kemudian dapat mempelajarinya. Jika binasa generasi yang pertama sebelum dipelajari oleh generasi seterusnya, maka binasalah manusia.”

Lantas ditanya kepada Sa’id Bin Jubair Rahimahullah: “Apakah alamat binasanya manusia? Jawabnya: “Apabila para ulama mereka meninggal dunia.”

Marilah sama-sama kita berdoa semoga kita dikurniakan ilmu yang bermanfaat serta selamat daripada sebarang khilaf:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445