#3038: Sabar Dalam Menuntut Ilmu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah dalam menuntut ilmu perlu kesabaran dan tunjukkan contoh kepada kami beberapa kisah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sewajarnya penuntut ilmu menghiasi diri mereka dengan sifat sabar hingga diizinkan Allah dengan pembukaan dan pelepasan dalam meraih ilmu. Alangkah indahnya madah syair yang termaktub dalam kitab Raudhat al-Uqala’ (1/95) oleh Ibn Hibban ini:

أخْلِقْ بذِي الصَّبْرِ أن يَحظَى بحاجَتِهِ                        ومُدْمِنِ القَرْعِ للأبوابِ أنْ يَلجَا

“Berakhlaklah seperti orang punya kesabaran untuk mendapatkan hajatnya…

        Orang yang sentiasa mengetuk pintu pasti akan dapat masuk.”

Betapa hebatnya kesabaran akhirnya mereka menjadi tokoh yang terbilang. Antara kisah-kisah yang menarik:

  • Al-Khatib dalam al-Jami’ 1595 menyebut: “Tha’lab daripada Huffaz al-Sunnah yang thiqah daripada gurunya yang bernama al-Fadl bin Said Ibn Salim berkata: “Ada seorang lelaki menuntut ilmu, tetapi tidak mampu menguasainya.” Maka dia bertekad meninggalkannya.

Tiba-tiba dia melalui kawasan di mana ada air yang jatuh dari puncak bukit di atas batu. Menakjubkan batu tersebut menjadi lekuk dengan sebab terkena air tersebut, lantas dia berkata: “Air dengan sifat lembutnya boleh membekas pada batu yang keras. Demi Allah aku akan menuntut ilmu.” Dia lantas bersemangat dan akhirnya dia berjaya.

  • Benarlah kata Imam Abu al-Qasim, Junaid al-Baghdadi: “Tiadalah seorang penuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan benar kecuali pasti dia akan memperolehinya. Jika tidak dapat memperolehi kesemuanya dia akan mendapat sebahagiannya.”
  • Imam al-Bukhari dalam kata-kata nasihat kepada pelajarnya:

 لاَ أَعْلَمُ شَيْئاً أَنْفَعَ لِلْحفظِ مِنْ نَهْمَةِ الرَّجُلِ، وَمُدَاومَةِ النَّظَرِ

Maksudnya: “Tidak aku ketahui perkara yang lebih bermanfaat bagi hafazan daripada semangat pemuda dan sentiasa merenung.” (Lihat Fath al-Bari, 1/488)

Antara racun yang paling bahaya bagi penuntut ilmu ialah apabila hilangnya semangat dan datangnya pula semangat dunia yang terbuka. Ini amat banyak memberi kesan kepada pelajar yang akhirnya mereka gagal dalam memperolehi ilmu. Antara contoh-contohnya ialah:

  • Apabila sudah nampak mata pencarian hidup.
  • Apabila sudah merasa lazat untuk menerima gaji dan sedikit habuan. Apabila sudah mabuk cinta dan mahu kahwin.
  • Apabila terpengaruh dengan kawan-kawan yang tidak bersemangat.
  • Apabila sentiasa mahu kesenangan dan berehat yang panjang.

Inilah racun yang berbahaya sebagai virus dalam kamus pelajar yang akhirnya membuatkannya meninggalkan cita-cita dan semangatnya.

Kami akhiri dengan doa dan munajat:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Surah al-Baqarah (250)

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445