#3042: Batasan Aurat antara Sepupu lelaki dan Perempuan serta Adik Beradik Tiri Lelaki dan Perempuan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah batasan pergaulan aurat/bersalaman antara saya (lelaki) dengan anak perempuan bapa saudara (adik ayah). Adik ayah telah meninggal dunia dan ayah saya telah berkahwin dengan isteri adik ayah. Saya tertanya-tanya, apakah hubungan saya dengan anak perempuan adik ayah yang kini telah menjadi anak tiri ayah? Mohon pencerahan. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, kami nyatakan terlebih dahulu, secara umumnya, seseorang lelaki itu boleh bersalaman dengan wanita-wanita yang haram untuk dia kahwini dan selamat daripada fitnah, juga tidak menimbulkan syahwat. Antaranya ialah wanita yang haram dikahwini secara mu‘abbad (مُؤَبَّدٌ) yakni selama-lamanya, sama ada kerana pertalian darah, atau kerana susuan, atau kerana berlakunya ikatan perkahwinan.

Mereka yang haram dikahwini kerana pertalian darah, ini seperti yang disebutkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Difahami daripada ayat ini terdapat 11 orang yang haram dikahwini kerana pertalian darah:

  • Ibu kandung.
  • Nenek (ibu kepada ibu).
  • Nenek (ibu kepada bapa).
  • Anak perempuan.
  • Cucu perempuan (dari anak lelaki).
  • Cucu perempuan (dari anak perempuan).
  • Adik beradik perempuan seibu sebapa.
  • Adik beradik perempuan seibu.
  • Adik beradik perempuan sebapa.
  • Anak perempuan kepada adik beradik lelaki kandung (seibu sebapa).
  • Anak perempuan kepada adik beradik lelaki dari sebelah ayah atau ibu.

Manakala mereka yang haram dikahwini kerana susuan pula disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Diriwayatkan juga dalam sebuah hadith daripada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّهُ يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang haram dikahwini kerana keturunan, haram juga dikahwini dengan susuan.

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1445)

Imam al-Nawawi menyebutkan, penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram mu‘abbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/23).

Berdasarkan ayat dan dalil di atas, difahami bahawa terdapat 6 orang yang haram dikahwini kerana susuan:

  • Ibu susuan.
  • Adik beradik perempuan susuan.
  • Anak perempuan kepada adik beradik lelaki sesusuan.
  • Anak perempuan kepada adik beradik perempuan sesusuan.
  • Anak susuan perempuan.
  • Adik beradik susuan perempuan kepada ibu atau ayah, iaitu ibu-ibu saudara susuan.

Antara yang lainnya pula adalah wanita yang haram dikahwini kerana berlakunya ikatan perkahwinan, ini seperti yang disebutkan di dalam firman Allah SWT:

وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۚ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا ‎

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).”

(Surah al-Nisa’: 22)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Nisa’: 23)

Difahami dari ayat ini 5 orang yang haram dikahwini kerana ikatan perkahwinan:

  • Isteri kepada bapa (ibu tiri).
  • Begitu juga Isteri kepada datuk dari sebelah bapa atau ibu.
  • Isteri kepada anak lelaki (menantu perempuan).
  • Begitu juga Isteri kepada cucu lelaki dan ke bawah.
  • Ibu kepada isteri (ibu mentua).

Antara implikasi atau kesan apabila seseorang itu haram dikahwini kerana 3 sebab yang disebutkan di atas adalah:

  • Boleh bersalaman dengannya.
  • Boleh bersendirian bersamanya.

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, secara ringkasnya hubungan saudara yang bertanya (lelaki) dengan anak perempuan bapa saudara (adik ayah) adalah sepupu. Kemudiannya selepas ayah saudara berkahwin dengan bekas isteri adiknya, hubungan saudara dengan anak perempuannya itu adalah sebagai adik beradik tiri. Maka, berdasarkan kepada perincian yang kami bawakan di atas, sepupu perempuan mahupun adik beradik tiri perempuan tidak termasuk dalam kalangan wanita yang haram dikahwini, maka hukum bersalaman atau bersendirian dengannya adalah haram kerana dia dikira sebagai wanita ajnabiyyah. Selain itu, penjagaan atau batasan aurat ketika dengannya juga adalah seperti mana penjagaan atau batasan aurat dengan wanita ajnabiyyah

Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk berpesan kepada semua agar kita dapat sentiasa menjaga pergaulan dengan orang bukan mahram (yang boleh dikahwini) seiring dengan ketaatan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Dalam erti kata lain, kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang Allah SWT larang dan juga mengerjakan segala yang Allah SWT perintahkan dalam kehidupan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445