#3043: Membayar Zakat Kepada Suami

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato Seri, saya ingin bertanya,; boleh kah seorang wanita membayar zakat kepada suaminya dan wang zakat tersebut suami gunakan untuk menampung kos pelajaran anak.Sekian terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami ulakan dengan firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah:103)

Al-Sa’di menyatakan bahawa Allah SWT memerintahlan kepada Rasul-Nya dan kepada orang yang memegang amanah (pemimpin)  supaya menyucikan orang-orang yang beriman daripada dosa-dosa dan akhlak yang buruk dan menyempurnakan iman mereka  dengan mengambil zakat dari harta mereka sebagai sedekah iaitu zakat yang wajib. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.350)

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1496)

Menjawab bagi persoalan di atas dalam isu ini kami katakan ulama ada berbeza pandangan:

Pandangan pertama : Tidak dibolehkan mengeluarkan zakat kepada suami. Yang demikian merupakan pandangan dari mazhab Hanafi dan sebahagian daripada mazhab maliki. mereka berhujahkan bahawa zakat tersebut tidak mencapai tujuannya kerana isteri itu sendiri yang akan mendapat manfaat daripada zakat yang diberikannya tersebut. Ini kerana suami wajib memberi nafkah ke atas dirinya. (Lihat al-Mabsut,2/149, al-Kafi Li Ibn Qudamah,1/429)

Pandangan kedua: Dibolehkan bagi isteri mengeluarkan zakat kepada suami yang miskin. Ini merupakan pandangan jumhur ulama antaranya dari mazhab Hanafi, Maliki , al-Syafi’e dan Hanbali.

Pandangan mereka bersandarkan kepada satu hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Zainab R.Anha bertanya kepada Rasulullah SAW;

يَا نَبِيَّ اللَّهِ ، إِنَّكَ أَمَرْتَ الْيَوْمَ بِالصَّدَقَةِ وَكَانَ عِنْدِي حُلِيٌّ لِي ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهِ ، فَزَعَمَ ابْنُ مَسْعُودٍ أَنَّهُ وَوَلَدَهُ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتُ بِهِ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: Wahai Nabi Allah, sesungguhnya pada hari ini kamu telah menyuruh kami untuk membayar zakat, dan aku memiliki barang perhiasan yang aku ingin bayarkan zakatnya. Lalu Ibn Mas’ud mendakwa bahawa dia dan anaknya lebih berhak aku berikan zakat kepada mereka.

Lalu Rasulullah SAW bersabda;

صَدَقَ ابْنُ مَسْعُودٍ ، زَوْجُكِ وَوَلَدُكِ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتِ بِهِ عَلَيْهِم

Maksudnya: Benarlah Ibn Mas’ud. Suami dan anak engkau lebih berhak menerima sedekah yang ingin engkau lakukan itu.

Riwayat Bukhari (1462) dan Muslim (1000)

Ibn Qudamah dalam isu ini menjelaskan bahawa isteri tidak diwajibkan memberikan nafkah kepada suaminya. Oleh itu, tidak ada halangan baginya untuk memberikan zakat kepada suaminya seperti orang lain. Ini disebabkan pada asalnya isteri harus memberikan zakat kepada suaminya, kerana suami yang miskin termasuk dalam kategori penerima zakat.(Lihat al-Mughni,2/485 )

Darul Ifta’ Misriyyah juga  ada  mengeluarkan fatwa berkaitan perkara ini, dengan menyatakan bahawa: Harus hukumnya bagi isteri untuk membayar zakat harta kepada suaminya jika sekiranya suaminya tersebut seorang fakir yang berhak menerima zakat, tidak kira sama ada dia akan menggunakannya untuk memberi nafkah kepada isteri ataupun tidak. Hal itu dengan bersyaratkan bahawa ia diserahkan pemilikannya kepada suami, walaupun dia tidak memberitahu bahawa wang tersebut adalah zakat harta.[1]

Justeru, kami cenderung kepada pandangan yang kedua, iaitu jika suami termasuk dalam kategori yang layak menerima zakat, maka isteri dibenarkan memberikan zakat kepadanya. Wang zakat yang diterimanya boleh digunakan untuk keperluan harian atau untuk menampung kos pendidikan anak-anak. Ini kerana zakat yang diberikan kepada suami yang memenuhi syarat asnaf zakat adalah sah dan boleh membantu memenuhi keperluan keluarga.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah:201)

Wallahua’lam

[1]https://www.daralifta.org/ar/fatawa/14905/اعطاءالزوجالفقيرمنالزكاةدوناخبارهبذلك.

Diakses pada 5 September 2023

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445