#3045: Doa Nabi Mustajab kepada Orang Sakit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami dalil dan hujah bahawa Nabi berdoa, maka pesakit tersebut akan sembuh dengan serta merta? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

(Surah al-Isra’: 82)

Ibn Kathir menjelaskan bahawa makna daripada surah al-Isra’ ayat 82 ini adalah bahawa al-Quran dapat menghilangkan segala penyakit yang ada di dalam hati, seperti syak (keragu-raguan), nifaq (kemunafikan), syirik (penyekutuan terhadap Allah), zaig (penyimpangan dari kebenaran), dan ma’il (kecenderungan pada keburukan). Al-Quran dapat menyembuhkan segala penyakit tersebut. Al-Quran juga menjadi rahmat, kerana dapat menghasilkan atau mendatangkan keimanan, hikmah (kebijaksanaan), dorongan pada kebaikan, dan kegemaran untuk berbuat baik. Semua hal tersebut hanya dapat diraih oleh orang-orang yang beriman pada al-Quran, membenarkannya, serta mengikuti petunjuk yang ada di dalamnya. Demikianlah al-Quran menjadi syifa’  dan rahmat yang sebenar-benarnya (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1997).

Al-Syaukani menjelaskan telah terjadi khilaf dalam kalangan ahlul ilmi terkait makna “syifa‘”—dalam al-Isra ayat 82 tersebut— dengan dua pendapat:

Pendapat pertama, al-Quran sebagai ubat bagi qalbun (hati) untuk menghilangkan kejahilan, keragu-raguan, serta menyingkap penyimpangan tentang hal-hal yang berkaitan dengan (wujud) Allah SWT;

Pendapat kedua, bahawasanya al-Quran sebagai ubat bagi penyakit-penyakit zahir —seperti pusing, demam, infeksi, bengkak disengat sesuatu, dan sebagainya. Dengan cara ruqyah dan ta‘awwuz (memohon perlindungan kepada Allah). Tidak ada keberatan (perdebatan) terkait syifa‘ yang memiliki dua makna. Ini termasuk dalam bab keumuman majaz atau termasuk dalam bab musytarak (lafaz yang memiliki dua makna atau lebih). (Lihat Fath al-Qadir, 2007).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَانَ إِذَا أَتَى مَرِيضًا أَوْ أُتِيَ بِهِ، قَالَ: أَذْهِبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila datang kepada orang yang sakit – atau syak perawi: ‘أُتِيَ بِهِ’ (dibawa datang kepadanya orang yang sakit), Baginda SAW mengucapkan: “أَذْهِبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا (Hilangkanlah sakitnya, wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah dan Engkau Yang Menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan (sebarang) rasa sakit.

Riwayat al-Bukhari (5675)

Dalam menjawab soalan di atas, kami kemukakan dua kisah. Kisah pertama, riwayat Saidina Abu Bakar al-Siddiq di Gua Thaur. Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum menceritakan bahawa tatkala Nabi SAW dan Abu Bakar sampai di pintu gua, Abu Bakar berkata: “Demi Allah, janganlah engkau masuk ke dalamnya sebelum aku masuk terlebih dahulu. Jika di dalamnya ada apa-apa bahaya, maka biarlah aku yang terkena, asalkan tidak mengenai dirimu.”

Lalu Abu Bakar memasuki gua dengan menguis-nguiskan kakinya. Didapati di sebelahnya ada sebuah lubang, lalu beliau mengoyakkan kainnya dan ditutupi lubang itu. Kemudian, didapati ada dua lubang lagi, lalu ditekapkan dua kakinya ke lubang itu. Kemudian, barulah dipanggilnya Rasulullah SAW masuk.

Rasulullah SAW pun masuk, kemudian meletakkan kepalanya ke pangkuan Abu Bakar R.A, lalu tertidur. Tiba-tiba, kaki Abu Bakar R.A disengat oleh binatang berbisa dari lubang yang ditekapnya. Namun, ditahan kesakitannya tanpa bergerak kerana tidak mahu Rasulullah SAW terjaga. Beliau menahan kesakitan sehingga air matanya mengalir lalu menitis ke wajah Rasulullah SAW. Lantas Baginda SAW bertanya, “Apa kena dengan kamu, hai Abu Bakar?” Jawab Abu Bakar R.A, “Aku disengat.” Rasulullah SAW meludah ke tempat yang disengat itu, lalu hilanglah kesakitan yang dirasai oleh Abu Bakar R.A.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 149; Jami‘ al-Usul oleh Ibn al-Athir, 8/605).

Penjelasan lanjut mengenai kisah ini bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #2433: Kisah Abu Bakar R.A Dipatuk Ular dalam Gua Thaur.[1]

Kisah yang kedua iaitu berkenaan kisah Saidina Ali R.A. Terdapat riwayat daripada daripada Sahl bin Sa‘d R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَأُعْطِيَنَّ الرَّايَةَ غَدًا رَجُلًا يَفْتَحُ اللَّهُ عَلَى يَدَيْهِ. قَالَ: فَبَاتَ النَّاسُ يَدُوكُونَ لَيْلَتَهُمْ أَيُّهُمْ يُعْطَاهَا. فَلَمَّا أَصْبَحَ النَّاسُ غَدَوْا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّهُمْ يَرْجُو أَنْ يُعْطَاهَا، فَقَالَ: أَيْنَ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ؟ فَقَالُوا: يَشْتَكِي عَيْنَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: فَأَرْسِلُوا إِلَيْهِ فَأْتُونِي بِهِ. فَلَمَّا جَاءَ بَصَقَ فِي عَيْنَيْهِ وَدَعَا لَهُ، فَبَرَأَ حَتَّى كَأَنْ لَمْ يَكُنْ بِهِ وَجَعٌ فَأَعْطَاهُ الرَّايَةَ، فَقَالَ عَلِيٌّ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُقَاتِلُهُمْ حَتَّى يَكُونُوا مِثْلَنَا. فَقَالَ: انْفُذْ عَلَى رِسْلِكَ حَتَّى تَنْزِلَ بِسَاحَتِهِمْ، ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى الإِسْلاَمِ وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ مِنْ حَقِّ اللَّهِ فِيهِ، فَوَاللَّهِ، لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ.

Maksudnya: “Sungguh, esok pagi aku akan memberikan panji kepada seorang lelaki yang Allah akan memberikan kemenangan pada kedua tangannya.” Beliau berkata: Orang ramai berjaga malam sambil bercerita pada malam itu tentang siapakah daripada kalangan mereka yang akan diberikan panji itu. Pada waktu pagi, mereka pergi kepada Rasulullah SAW, semuanya berharap diri merekalah yang akan diberikan panji itu. Baginda bertanya: “Di manakah Ali bin Abu Talib?” Mereka menjawab: “Beliau menderita sakit kedua matanya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Kirimlah utusan kepadanya dan hendaklah kamu membawanya kepadaku.” Ketika Ali datang, Nabi SAW meludahi kedua matanya dan berdoa untuknya. Beliau sembuh serta-merta, seakan-akan tidak pernah sakit sebelumnya, lalu Baginda memberikan panji kepadanya. Ali berkata: “Wahai Rasulullah, aku akan memerangi mereka hingga mereka sama seperti kita (yakni memeluk agama Islam).” Baginda bersabda: “Engkau teruskanlah berjalan hingga engkau singgah di lapangan mereka. Kemudian, ajaklah mereka kepada Islam. Beritahu kepada mereka apa yang diwajibkan bagi mereka daripada hak Allah. Demi Allah, Allah akan memberi petunjuk kepada seseorang (hingga masuk Islam) dengan sebabmu itu adalah lebih baik daripada engkau memiliki unta merah (yakni harta yang sangat berharga).

Riwayat al-Bukhari (3701)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/2433-kisah-abu-bakar-r-a-dipatuk-ular-dalam-gua-thaur/. Diakses pada 5 September 2023.

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445