#3045: Muhassin bin Ali R.Anhuma

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat anak Nabi SAW bernama Muhassin dan boleh kisahkan hidupnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagaimana dalam Sahih Muslim, Diriwayatkan dengan sanad yang baik, daripada Zaid bin Arqam RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 قَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فِينَا خَطِيبًا، بِمَاءٍ يُدْعَى خُمًّا بَيْنَ مَكَّةَ وَالْمَدِينَةِ فَحَمِدَ اللهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ، وَوَعَظَ وَذَكَّرَ، ثُمَّ قَالَ : ( أَمَّا بَعْدُ، أَلَا أَيُّهَا النَّاسُ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ، وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ: أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللهِ ، وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ ) فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللهِ وَرَغَّبَ فِيهِ، ثُمَّ قَالَ: ( وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي

Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri dan berucap kepada kami di sebuah tempat berair bernama Khum, di antara Makkah dan Madinah. Dia memuji dan memuliakan Allah, dan dia menasihati dan mengingatkan kita, lalu dia bersabda: “Adapun selepas itu: Wahai manusia, aku hanyalah manusia, dan tidak lama lagi utusan Tuhanku akan datang kepadaku dan aku akan menjawab. Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang berat, yang pertama ialah Kitab Allah yang di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Ikutilah kitab Allah dan berpegang teguhlah kepadanya.” Dan dia mendorong kami untuk berpegang teguh kepada Kitab Allah, kemudian dia bersabda: “Dan ahli keluargaku, aku ingatkan kamu kepada Allah mengenai ahli keluargaku, aku ingatkan kamu kepada Allah mengenai ahli keluargaku, aku ingatkan kamu kepada Allah mengenai ahli rumahku.”

Riwayat Muslim (2408)

Dalam menjawab isu ini, kami nukilkan dari kitab kami Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 346:

Nama penuhnya ialah al-Muhassin bin Ali bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib Hasyimi. Beliau adalah salah seorang daripada cucu Nabi SAW.

Terdapat riwayat daripada Hani’ bin Hani, daripada Ali RA, katanya: “Ketika al-Hasan dilahirkan, aku menamakannya sebagai Harb. Kemudian Rasulullah SAW datang kepadaku, lalu bertanya: Tunjukkan kepadaku anakku (yakni cucuku), apakah nama yang kamu telah berikan kepadanya?” Ali berkata: “Aku menjawab: ‘Harb. Baginda SAW bersabda: ‘Bahkan, namanya ialah Hasan. Begitu juga ketika mana al-Husain dilahirkan, aku menamakannya sebagai Harb. Setelah itu, Rasulullah SAW datang kepadaku dan bertanya: Tunjukkan kepadaku anakku (yakni cucuku), apakah nama yang kamu telah berikan kepadanya?”” Ali berkata: “Aku menjawab: ‘Harb. Baginda SAW bersabda: ‘Bahkan, namanya ialah Husain. Begitulah juga ketika anak lelakiku yang ketiga dilahirkan, aku memberinya nama sebagai Harb. Kemudian Nabi SAW datang kepadaku, lalu bertanya: Tunjukkan kepadaku anakku (yakni cucuku), apakah nama yang kamu telah berikan kepadanya? Aku menjawab: ‘Harb. Baginda bersabda: ‘Bahkan, namanya ialah Muhassin. Kemudian Baginda SAW bersabda lagi: Aku menamakan mereka dengan nama-nama anak Harun; Syabbar, Syabir dan Musyabbir.””

Riwayat Ahmad (769); Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (769) menilai sanadnya sebagai hasan. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah (6/192) menilai sanadnya sebagai sahih.

Walau bagaimanapun, usianya tidak lama kerana beliau meninggal dunia ketika masih lagi kecil. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/191-192; Mukhtasar Sirah al-Nabi oleh al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi, hlm. 77).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445