#3046: Kaedah Menyelesaikan Masalah Was-Was

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sering diganggu was-was dan lintasan hati, sampaikan saya susah sangat nak solat . Saya terpaksa ulang dua kalimah syahadah banyak kali. Akhir-akhir ini, lintasan hati dan was was saya makin teruk sampaikan saya tidak boleh buat kerja apa , saya selalu rasa diri saya sudah murtad dan setiap kali itu saya akan ucap kalimah syahadah balik . Tapi kali ini saya rasa seolah iman saya sudah mati . Allah nak ke terima keislaman saya ? Saya sudah banyak tertinggal solat sebab setiap kali nak solat mesti susah . Saya nak ucap balik dua kalimah syahadah tapi saya tidak rasa apa , Allah tidak mahu saya masuk Islam ke ? Allah nak ke terima saya? Apa dosa saya sedangkan selama ini saya cuba yang terbaik untuk dekatkan diri kepada Allah.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1377: Penyakit Was-Was Yang Melampau[1]

#2570: Was-Was Ketika Mengangkat Takbiratul Ihram[2]

#1477: Was-was Ketika Mengerjakan Umrah[3]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan beberapa kaedah dalam mengatasi was-was:

Pertama: Berusaha Mempelajari Ilmu Agama dan Mendalaminya

Penekanan kepada ilmu syari’at adalah penting kerana ianya adalah tunjang dan merupakan satu ilmu teras yang wajib dikuasai oleh setiap orang islam. Justeru, ilmu-ilmu yang lain yang dianggap sebagai fardu kifayah perlu dituntut namun penekanan yang lebih harus diberikan kepada ilmu syari’at.

Islam sangat menitikberatkan isu keyakinan dalam ibadah dan juga syariat. malah terdapat usul fiqh menyebutkan:

اليَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: “Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu).”

Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama berkata: Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang atau tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu. Maka sesuatu itu kekal di atas apa yang telah dipastikan. (Lihat Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, hlm. 45)

Kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang penting di dalam fiqh. Bahkan Al-Qadhi Husin al-Syafi’e menyatakan bahawa fiqh terbina dari empat kaedah utama dan antaranya adalah kaedah ‘keyakinan tidak dihilangkan dengan syak ini’. Kaedah ini mempunyai sandarannya dari nas-nas syarak. Antaranya adalah firman Allah S.W.T:

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.”

Surah Yunus: 36

Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan: Sesungguhnya syak tidak memberi nilaian walau sedikit pun ke atas keyakinan. Dan syak sedikit pun tidak menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan. (Lihat al-Jami’ al-Bayan, 15/89)

Justeru, ilmu agama sangat penting untuk dipelajari dan membantu setiap individu daripada perasaan syak, ragu-ragu dan was-was. Malah, ianya turut membantu untuk kita sentiasa mengikuti petunjuk daripada al-Quran, Sunnah dan pandangan daripada Ulama’ yang muktabar.

Kedua: Sentiasa Berdamping dengan Ulama’ dan Orang-Orang Soleh

Teman yang baik dan soleh akan sentiasa mendorong seseorang itu untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Sebaliknya teman yang buruk akhlaknya akan membawa kepada melakukan kemaksiatan dan prasangka yang buruk kepada Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Maksudnya: “Seseorang menurut agama teman karibnya. Maka hendaklah kalian melihat siapakah yang menjadi teman karibnya.”

Riwayat Abu Daud (4835) dan Tirmizi (2552)

Syeikh Syams al-Haq dalam syarahnya menyebut : Lelaki iaitu manusia yang pada kebiasaannya berkawan akan mengikut kawannya dari segi perbuatan, perjalanannya, maka perhatikanlah dan selidikilah sesiapa yang kamu ingin berkawan. Sesiapa yang kamu redha tentang agama dan akhlaknya maka berkawanlah dengannya, sekiranya tidak, maka jauhilahnya. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 13/123)

Ketiga: Bersabar dan Terus Mencuba

Gangguan was-was merupakan satu ujian menentang syaitan kerana was-was itu sendiri adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan pandangan al-‘Izz bin Abd al-Salam yang menyebut:

 دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ، وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ

Maksudnya: “Ubat bagi penyakit was-was ini adalah dengan beriktikad bahawa ianya adalah godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa was-was maka dia akan menghindarinya”. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/150)

Keempat: Berdoa, Bermunajat dan Berzikir kepada Allah SWT dalam Memohon Pertolongan Dari-Nya

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِى الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ مَنْ خَلَقَ كَذَا وَكَذَا حَتَّى يَقُولَ لَهُ مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ فَإِذَا بَلَغَ ذَلِكَ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ

Maksudnya: “Syaitan mendatangi salah seorang dari kalian lalu bertanya: “Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?” Sehingga dia bertanya: “Siapakah yang menciptakan Rabb-mu. Oleh kerana itu, jika telah sampai kepada hal yang tersebut maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT dan hendaklah dia menghentikan (was-was tersebut).

Riwayat Muslim (362)

Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyebut: Sesungguhnya bisikan (syaitan) itu terjadi untuk menyempurnakan iman dengan sempurna dan dalam haq, dam menafikan segala keraguan dan syak. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 2/154)

Selain itu, amalan zikir juga amat penting dalam kehidupan seseorang muslim kerana amalan tersebut dapat melawan segala bisikan syaitan yang datang dalam diri mereka. Dengan melazimi zikir, ianya dapat menjadi benteng dan melindungi kita di dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.”

Surah al-A’raf (201)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut: Allah mengkhabarkan bahawa hamba-hambaNya yang bertaqwa mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya apabila sentuh oleh musibah yang berupa hasutan daripada syaitan, mereka mengingati iaitu balasan Allah dan juga pahalanya serta janji-Nya, maka mereka akan segera bertaubat, menyesal dan meminta perlindungan daripada Allah serta kembali kepadaNya dengan dekat, dan mereka beristiqamah dengannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Adzim, 3/483)

Selain itu, perbanyakkan membaca doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar ditetapkan hati kita sebagai mana hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA berkata: Adapun Nabi SAW banyak membaca:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ

Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.” Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang kamu telah bawa. Lalu apakah kamu masih bimbang kepada kami?” Baginda SAW menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah SWT yang mana Dia akan membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya.”

Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261). Hadith ini adalah hasan mengikut penilaian Imam al-Tirmizi

Kelima: Mengambil Sikap Tidak Peduli Terhadap Was-was

Iaitu dengan membiarkan perasaan was-was tersebut. Ini sepertimana yang ditanyakan kepada al-Imam Ibn Hajar al-Haitami mengenai ubat bagi penyakit was-was. Maka beliau menjawab:

لَهُ دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ – فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ، وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا

Maksudnya: “Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang di was-waskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan was-was, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara was-was tersebut maka ianya tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas dari penyakit was-was ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli was-was tersebut) dan mengikutinya, was-was tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was yang mendengar dari bisikan syaitan.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/149)

Keenam: Sentiasa Optimis dalam Setiap Amalan Harian Kita

Umat Islam diseru untuk fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan sehari-harian. Ini kerana fokus dan tumpuan yang jitu dapat mengelakkan fikiran kita daripada bercelaru seterusnya membawa kepada was-was.

Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Aid berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiah li Ibn Daqiq al-E’id, hlm. 61)

Justeru, kami katakan kepada saudari ambillah prihatin atas 6 nasihat yang kami kemukakan ini. Ini sejajar dengan kehendak syariat agar kita menghilangkan sifat was-was yang merupakan mainan syaitan. Ingatlah, Allah sentiasa bersama hambaNya dan janganlah berputus asa dalam mengejar redha Allah. Sesungguhnya, meninggalkannya dengan berdoa dan munajat serta tidak melayan gangguan was-was akan menatijahkan kebaikan dalam hidup saudari.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

[1] https://maktabahalbakri.com/1381-penyakit-was-was-yang-melampau/

[2] https://maktabahalbakri.com/2570-was-was-ketika-mengangkat-takbiratul-ihram/

[3] https://maktabahalbakri.com/1477-was-was-ketika-mengerjakan-umrah/

Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445