#3047: Orang yang Hampir Serupa dengan Nabi; Akhlak dan Fizikal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dengar ramai yang hampir serupa dengan Rasulullah SAW sama ada wajah, fizikal dan akhlak. Siapakah yang kedua-duanya hampir serupa dengan Nabi SAW? Boleh kisahkan kebaikan orang itu? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, orang yang dikatakan menyerupai atau mirip dengan Nabi SAW dari sudut wajah dan akhlak ialah Jaafar bin Abu Talib R.A. Beliau termasuk dalam kalangan orang yang dijamin syurga, memiliki dua sayap di syurga. Beliau adalah orang melakukan dua hijrah. Beliau syahid di Mu‘tah ketika hayat Rasulullah SAW sebagai panglima perang pada tahun 8 Hijrah. Nabi SAW pernah menamakannya dengan nama Abu al-Masakin. Beliau lebih tua 10 tahun daripada Ali, manakala saudaranya yang bernama ‘Aqil lebih tua 10 tahun daripadanya. (Lihat Ma‘rifah al-Sahabah, 2/511).

Terdapat riwayat daripada Ali bin Abu Talib R,A, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Jaafar bin Abu Talib R.A:

 أمّا أنتَ يا جَعفَرُ، فأشبَهْتَ خَلْقي وخُلُقي

Maksudnya: “Adapun kamu pula wahai Jaafar, menyerupai rupaku dan akhlakku.”

Riwayat Abu Dawud (2278), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (7456), Ahmad (770) dan al-Bazzar (851). Al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawaid (9/159) menyatakan para perawi hadith ini adalah thiqah. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut pula menilai sanadnya sebagai hasan dalam takhrij al-Musnad.

Berkenaan kisah kebaikannya pula, cukuplah kami bawakan satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya, daripada riwayat Abu Hurairah R.A, katanya:

وَإِنِّي كُنْتُ أَلْزَمُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشِبَعِ بَطْنِي حِيْنَ لاَ آكُلُ الخَمِيرَ وَلاَ أَلْبَسُ الحَبِيرَ، وَلاَ يَخْدُمُنِي فُلاَنٌ وَلاَ فُلاَنَةُ، وَكُنْتُ أُلْصِقُ بَطْنِي بِالحَصْبَاءِ مِنَ الجُوعِ، وَإِنْ كُنْتُ لَأَسْتَقْرِئُ الرَّجُلَ الآيَةَ، وَهِيَ مَعِي، كَيْ يَنْقَلِبَ بِي فَيُطْعِمَنِي. وَكَانَ أَخْيَرَ النَّاسِ لِلْمِسْكِينِ جَعْفَرُ بْنُ أَبِي طَالِبٍ، وَكَانَ يَنْقَلِبُ بِنَا فَيُطْعِمُنَا مَا كَانَ فِي بَيْتِهِ، حَتَّى إِنْ كَانَ لَيُخْرِجُ إِلَيْنَا العُكَّةَ الَّتِي لَيْسَ فِيهَا شَيْءٌ، فَيَشُقُّهَا فَنَلْعَقُ مَا فِيهَا

Maksudnya: “Dan aku sentiasa berdamping dengan Rasulullah SAW daripada mengenyangkan perutku, hingga aku tidak makan khamir (sejenis roti yang adunannya ada ragi) dan tidak memakai kain selimut yang baik, serta tidak ada pula yang melayaniku baik fulan mahupun fulanah. Aku pernah menempelkan (mengikat) pada perutku akan batu-batu kecil bagi (menghilangkan) rasa lapar. Kadang-kadang, aku juga pernah meminta seseorang untuk membacakan ayat (al-Quran) kepadaku, padahal ayat itu aku telah menghafalnya, supaya dia membawaku pulang lalu memberiku makan (kerana mengetahui aku sedang lapar). Dan sebaik-baik manusia terhadap orang-orang miskin adalah Ja‘far bin Abu Talib. Beliau biasa membawa kami pulang (ke rumahnya) lalu memberi kami makan apa yang ada di rumahnya sehinggakan kadang kala, beliau mengeluarkan untuk kami kantung minyak sapi yang tidak ada apa-apa pun di dalamnya. Lalu, kami membelahnya dan kami pun menjilat apa yang ada di dalamnya (untuk mengalas perut).

Riwayat al-Bukhari (3708)

Kisah Ja’far bin Abi Talib kami telah nyatakan dengan panjang lebar dalam buku kami Garis Masa Hayat al-Rasul SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445