Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum Dr. Berkenaan bayaran kaffarah nazar, adakah perlu dikira bilangan hari dari jarak nazar dilanggar hingga bayaran ditunaikan. Contoh jika nazar dilanggar pada januari 2020 dan kaffarah dibayar januari 2023, adakah perlu kira 1096 hari x 10 fakir miskin x kiraan mengikut negeri, atau cuma kira 10 fakir miskin x kiraan mengikut negeri? 1096 hari contoh kerana 366 hari tahun 2020 + 365 hari tahun 2021 + 366 hari tahun 2021. Adakah bayaran kaffarah nazar perlu dikira mengikut hari menangguh bayaran? Terima kasih Dr dan admin.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :
اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء
Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/501)
Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT :
وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”
(Surah Al-Hajj: 29)
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.
Riwayat Al-Bukhari (6696)
Para ulama menyatakan bahawa nazar mempunyai tiga rukun iaitu :
- Sighah (bentuk ucapan).
- Orang yang melakukan nazar (الناذر)
- Perkara yang dinazarkan (المنذور)
Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili dalam menghuraikan rukun yang pertama iaitu sighah menyatakan : ‘’Ia (sighah) adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Dan tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang itu mengucapkan : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut : ‘’Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’, maka nazarnya sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata’’. Yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah : ‘’Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan). (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/505)
Begitu juga Syeikh Zakaria bin Ahmad bin Zakaria Al-Ansari menyatakan :
كَقَوْلِ مَنْ يَصِحُّ نَذْرُهُ ‘’لِلَّهِ عَلَيَّ كَذَا’’ أَوْ ‘’عَلَيَّ كَذَا’’ بِدُونِ لِلَّهِ إذْ الْعِبَادَاتُ إنَّمَا يُؤْتَى بِهَا لِلَّهِ فَالْمُطْلَقُ فِيهَا كَالْمُقَيَّدِ عَلَى الْأَصَحِّ
Maksudnya : Seperti ucapan mereka yang sah nazarnya : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’, ataupun ‘’ke atas diriku perbuatan sekian’’ tanpa sebutan ‘’untuk Allah’’. Kerana ibadat-ibadat ini hanya dilakukan untuk Allah. Maka sebutan secara mutlak (umum) padanya sama seperti muqayyad (terikat dengan nama Allah) menurut pendapat yang paling sahih. (Lihat al-Ghurar Al-Bariyyah, 5/208)
Sesungguhnya kewajipan menunaikan nazar itu bergantung kepada berlakunya dan tercapainya perkara yang dinazarkan tersebut. Dalam hal ini, Ibn al-Qudamah menyebut di dalam kitabnya al-Mughni:
التِزَامُ طَاعَةٍ فِي مُقَابِلِ نِعْمَةٍ اسْتَجْلَبَهَا أَوْ نَقْمَةٍ اسْتَدْفَعَهَا كَقَوْلِهِ : إِن شَفَانِي اللهُ فَللهِ عَلَيَّ صَوْمُ شَهْرٍ فَتَكُونُ الطَاعَةُ المُلْتَلْزِمَةُ ممَّا لَهُ أَصْلٌ فِي الوُجُوبِ بِالشَرْعِ
Maksudnya: Menjadi wajib satu ketaatan bagi nikmat yang tertentu yang diperolehinya atau satu bala tertentu yang dapat dielakkannya dengan berkata -sebagai contoh, “Jika sekiranya Allah SWT menyembuhkan aku daripada penyakit ini, maka bagi Allah SWT keatas aku berpuasa selama sebulan”. Maka ia menjadi satu ketaatan yang wajib ditunaikan selagimana mempunyai asal dalam syarak. (Lihat al-Mughni Li Ibn al-Qudamah, 13/622)
Al-Kasani pula menyatakan di dalam Badai’ al-Sonai’: “Sekiranya nazar itu terikat dengan syarat seperti dia mengatakan, “Kalau Allah menyembuhkan penyakitku atau kalau fulan yang menghilang itu datang, maka demi Allah saya akan berpuasa sebulan atau saya solat dua rakaat atau saya bersedekah satu dirham dan seumpamanya itu, maka nazar itu terikat dengan syarat masa. Maka jikalau syarat atau hajat daripada nazar itu belum dipenuhi, maka tidak wajib untuk ditunaikan nazar tersebut menurut ijma” (Lihat Badai’ al-Sonai’, 5/94)
Menangguhkan Bayaran Kaffarah Nazar
Firman Allah SWT:
لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Maidah: 89)
Syeikh Al-Sabuni berkata: Wajib dilaksanakan kaffarah sumpah mengikut turutan kemampuan seperti berikut:
- Membebaskan hamba yang beriman.
- Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin.
- Lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
- Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.
- Jika tidak dapat menyediakan perkara tadi maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263)
Sebagaimana yang diketahui bahawa kaffarah nazar adalah sama dengan kaffarah sumpah sebagaimana riwayat daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كَفّارَةُ النَّذْرِ كَفّارَةُ اليَمِينِ
Maksudnya: “Kaffarah nazar seperti kaffarah sumpah.”
Riwayat Muslim (1645)
Justeru, dalam hal ini, seseorang yang telah bernazar wajib memenuhi nazarnya, tetapi sekiranya dia tidak mampu menunaikan nazarnya, maka dia mesti membayar kaffarah sesegera mungkin, kerana pada asasnya, kaffarah itu luas dalam pelaksanaannya, tetapi seseorang itu mesti melaksanakan kaffarah itu sesegera mungkin kerana dia tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang yang boleh menghalangnya daripada menunaikan kaffarah tersebut.
Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin berkata: “Kewajiban bagi manusia apabila dia melanggar sumpahnya adalah untuk segera melaksanakan kaffarahnya dan tidak boleh ditangguhkan, kerana dia tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mungkin hari ini dia mampu untuk melaksanakan kaffarah, tetapi esok mungkin tidak, atau boleh jadi juga dia meninggal dunia pada keesokan harinya. Oleh itu, kewajipan bagi seseorang itu adalah segera melaksanakan kaffarah tanpa penangguhan.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 21/2)
Sesungguhnya kaffarah sumpah adalah pilihan antara memberi makan sepuluh orang miskin, memberikan pakaian kepada mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Jika seseorang itu tidak dapat dan tidak mampu melaksanakan salah satu dari tiga pilihan ini, maka dia mesti berpuasa selama tiga hari untuk membayar kaffarah tersebut. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak boleh seseorang itu menangguhkan kaffarah sumpah, dan dia mesti melaksanakan kaffarah itu sesegera mungkin setelah pelanggaran sumpah itu dilakukan, kerana ini adalah asas dalam perkara ini. Oleh itu, jika seseorang itu tidak mampu untuk memberi makan, memberi pakaian, atau memerdekakan hamba dengan segera, maka dia wajib berpuasa selama tiga hari. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiah, 19/454)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sesiapa yang melakukan nazar, wajib memenuhi nazarnya itu, namun sekiranya dia tidak mampu menunaikan nazar tersebut, maka dia wajib membayar kaffarah dan melaksanakannya sesegera yang mungkin sama ada memberi makan sepuluh orang miskin, memberikan pakaian kepada mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Jika seseorang itu tidak dapat dan tidak mampu melaksanakan salah satu dari tiga pilihan ini, maka dia mesti berpuasa selama tiga hari untuk membayar kaffarah tersebut.
Justeru, berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa saudara tidak perlu membuat perkiraan bayaran kaffarah sebegitu kerana perkiraan sebegitu tidak ada asalnya dalam hal pembayaran kaffarah sumpah dan nazar ini. Sekiranya saudara tidak mampu membayar kaffarah tersebut dengan tiga pilihan yang ada itu, maka saudara hanya perlu berpuasa selama tiga hari untuk membayar kaffarah tersebut.
Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:
لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ
Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.
Riwayat Muslim (1640)
Ibn Qudamah mengatakan: “Tidak digalakkan untuk bernazar. Hal ini kerana Ibn Umar R.Anhuma berkata bahawa Nabi SAW melarang untuk bernazar sambil bersabda, “Hal ini kerana nazar tidak mendatangkan kebaikan dan sesungguhnya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil. Hal ini menunjukan bahawa ia adalah larangan makruh dan bukan larangan haram. Sekiranya nazar itu haram, Allah SWT tidak akan memuji orang yang menunaikan nazar kerana dosa mereka ketika terjerumus pada yang haram itu lebih berat dibandingkan dengan ketaatannya dalam menunaikan (janjinya). Sekiranya nazar itu digalakkan, pasti Nabi SAW dan para sahabat yang mulia akan melakukannya. (Lihat al-Mugni, 10/68)
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam agama dan al-Quran.
اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”
Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445