#3049: Menerima Tajaan Jamuan Selepas Persidangan (Conference)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bertugas sebagai seorang pegawai perubatan. Untuk makluman Ustaz, para doktor dan segelintir staf kesihatan lain kadang kala ada menerima tajaan daripada syarikat-syarikat ubat/ implan, pada situasi: -Tajaan makanan ketika hadir slot ceramah daripada syarikat ubat sama ada secara fizikal atau online -Tajaan makanan dalam dewan bedah ketika sesuatu operation menggunakan implan daripada syarikat tersebut -Tajaan makan apabila syarikat ubat ingin mempromosi profile mereka (contohnya lunch di sebuah restoran, sambil mendengar promosi mereka) -Tajaan berupa sponsorship menghadiri persidangan. Kami dimaklumkan, tajaan makanan/ tiket ke konferens ini telah sedia ada dalam peruntukan kewangan setiap syarikat ubat/ peralatan perubatan. Soalan Saya, adakah harus untuk kami menerima makanan/ tajaan tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Tajaan

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, tajaan bermaksud pembiayaan sesuatu acara, orang, kegiatan atau organisasi atau perkhidmatan (tajaan) oleh individu atau kumpulan (termasuk syarikat).

Berkenaan tajaan ini, kami juga ada menyebutnya dalam artikel sebelum ini:

#1801: Ditaja kepada Orang Yang Berhutang Untuk Menunaikan Umrah[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami berpandangan harus menerima tajaan/ makanan dari syarikat-syarikat ubat tersebut kerana ia merupakan salah satu cara promosi syarikat mereka. Oleh itu, ia bertepatan dengan kaedah fiqh:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut). (Lihat al-Asybah wa al-Nazhoir, hlm.60)

Walaupun begitu, secara ihtiyat lebih baik tidak menerima kerana ia juga termasuk dalam warak. Hal ini berbetulan dengan hadith Nabi SAW yang terkait dengan halal itu nyata dan haram itu nyata. Justeru, sebaik-baiknya hindarlah dari perkara yang membawa kepada syubhah maka dia telah memelihara agama dan maruahnya.

Daripada Abi Abdillah Nu’man bin Basyir R.Anhuma, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ. أَلا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكِ حِمَى أَلا وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلا وإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَت فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ القَلْبُ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh sebahagian Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhat bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka dibimbangi akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang membawa haiwan gembalaannya disekitar padang larangan, maka lambat laun dia mungkin akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam menjalani kehidupan seharian dan kami akhiri dengan  doa :

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/1802-ditaja-kepada-orang-yang-berhutang-untuk-menunaikan-umrah/

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445