Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bulan Safar dikatakan banyak musibah di dalamnya. Bagaimanakah faktanya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Bulan Safar adalah salah satu daripada dua belas bulan dalam kalendar Hijrahiah dan merupakan bulan selepas bulan Muharram. Beberapa berpendapat mengatakan bahawa ia dinamakan “صفر” (Safar) kerana Makkah ditinggalkan oleh penduduknya (iaitu, dibiarkan kosong oleh penduduknya) apabila mereka melakukan perjalanan pada bulan ini. Ada juga yang berpendapat bahawa bulan ini dinamakan Safar kerana suku-suku Arab biasanya berperang dengan kabilah-kabilah pada bulan ini dan mereka meninggalkan sedikit harta (صِفْرًا) bagi yang mereka rampas. (Lihat Lisan al-Arab 4/462-463)
Selain itu, صَفَرَ juga bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ia juga membawa maksud lapar. (Lihat Lisan al-Arab, 8/250)
Kepercayaan Bulan Safar Pada Zaman Arab Jahiliyyah
Pada zaman Arab Jahiliah, bulan Safar terdapat dua perkara munkar yang besar
- Pertama: orang-orang Jahiliah akan mengelakkan perang atau pertempuran dalam bulan ini, sama ada dengan mengelakkannya atau menangguhkannya, kerana mereka menganggapnya sebagai bulan yang tidak baik untuk berperang.
- Kedua: mereka juga percaya bahawa bulan Safar membawa nasib buruk atau sial.
Pada asasnya, Allah SWT telah menciptakan tahun dan kalendar Hijriyah dengan dua belas bulan, dan daripada bulan-bulan tersebut, ada empat bulan yang diharamkan untuk berperang sebagai tanda penghormatan, iaitu bulam Dzulqa’edah, Dzulhijjah, Muharram, dan Rajab. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
Bulan Haram telah disebut di dalam al-Quran Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT:
إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah al-Taubah: 36)
Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/130)
Walaupun orang-orang musyrik mengetahui perkara ini, mereka masih mengabaikannya dan lebih suka menggantikan bulan Muharram dengan Safar berdasarkan hawa nafsu. Mereka juga berfikir bahawa umrah yang dilakukan semasa bulan-bulan haji adalah perbuatan yang sangat buruk.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانُوا يَرَوْنَ أَنَّ العُمْرَةَ فِي أَشْهُرِ الحَجِّ مِنْ أَفْجَرِ الفُجُورِ فِي الأَرْضِ، وَيَجْعَلُونَ الْمُحَرَّمَ صَفَرًا، وَيَقُولُونَ: إِذَا بَرَا الدَّبَرْ، وَعَفَا الأَثَرْ، وَانْسَلَخَ صَفَرْ، حَلَّتِ العُمْرَةُ لِمَنِ اعْتَمَرْ، قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابُهُ صَبِيحَةَ رَابِعَةٍ مُهِلِّينَ بِالحَجِّ فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَجْعَلُوهَا عُمْرَةً، فَتَعَاظَمَ ذَلِكَ عِنْدَهُمْ، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيُّ الحِلِّ؟ قَالَ: «حِلٌّ كُلُّهُ»
Maksudnya: “Mereka (orang-orang Jahiliyyah) berkeyakinan bahawa mengerjakan umrah pada bulan-bulan haji termasuk perbuatan dosa yang paling besar di muka bumi, dan mereka menjadikan bulan Safar sebagai ganti kepada bulan Muharram. Mereka berkata: “Jika luka sudah sembuh (pada unta selepas mereka pulang daripada haji), kesan-kesannya telah hilang, dan bulan Safar sudah berlalu maka baru umrah dibolehkan untuk sesiapa sahaja yang ingin mengerjakan umrah.” Nabi SAW bersama para sahabatnya tiba pada waktu pagi tanggal empat Zulhijjah dengan berihram haji, lalu Baginda memerintahkan mereka menukarkannya kepada umrah. Hal ini menjadi perkara yang besar bagi mereka, sehingga mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, tahallul yang mana satu (bagi kami)?” Baginda menjawab: “Tahallul kesemuanya.”
Riwayat al-Bukhari (1564) dan Muslim (1240)
Mengenai kepercayaan buruk terhadap bulan Safar, ia adalah perkara yang terkenal di kalangan orang Jahiliyah dan baki kepercayaan ini masih ada dalam sesetengah umat Islam sehingga ke hari ini. Namun hal ini dibantah oleh Islam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya: “Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Dawud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad (3031) di dalam al-Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya: “Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul (Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sahih-nya, dan Ahmad (15103) di dalam al-Musnad
Disebut juga di dalam lafaz yang lain:
لَا عَدْوَى وَلَا صَفَرَ وَلَا هَامَةَ وَلَا نَوْء
Maksudnya: “Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam al-Musnad, Ibn Hibban (6133) di dalam Sahih-nya
Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin berkata: “صفر” (Safar) dapat dijelaskan dalam beberapa cara:
- Pertama: Ia adalah bulan Safar yang dikenali, dan orang Arab biasanya menganggapnya sebagai bulan yang membawa nasib buruk.
- Kedua: Ia adalah penyakit dalaman yang menyerang unta, yang boleh berjangkit dari seekor unta ke unta yang lain, dan ia disebut selepas ‘adwa [berjangkit atau penularan penyakit berjangkit] dengan cara menyebut jenis penularan tertentu selepas menyebut sesuatu yang umum.
- Ketiga: “صفر” (Safar) merujuk kepada bulan Safar, dan maksudnya adalah orang-orang Jahiliyah yang membuat orang kafir sesat dengan mengubah peraturan bulan Muharram menjadi Safar, menjadikannya halal untuk satu tahun dan haram untuk tahun berikutnya.
Maksud Safar dalam hadith ini
Hadith ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya Abu Hurairah, Ibn ‘Abbas, Jabir bin ‘Abdullah, dan Ibnu Mas’ud R.Anhum. Secara ringkasnya, hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka. Bahkan ia juga diriwayatkan juga tokoh ahli hadis seperti Imam Ahmad, Abu Dawud dan ramai lagi.
Al-Qadhi Iyadh berkata: “Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.” (Lihat al-Mu’lim Syarh Sahih Muslim, 7/71)
Abu al-’Abbas Ahmad bin Umar al-Qurtubi berkata: “Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya.
Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.” (Lihat al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitab Muslim, 5/622)
Imam al-Nawawi berkata: “Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ terdapat dua tafsiran: Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang. Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah. Ini juga adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah. Tafsiran yang kedua, yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat. Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut. Mereka mengatakan bahawa ia lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul. Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib, Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama. Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadith ini.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/379)
Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: “Safar adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ia dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.” “Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.” (Lihat Fath al-Bari, 3/285)
Badruddin al-‘Aini berkata: Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.” (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 21/247)
Al-Qastalani menyebutkan: “Ia bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.” (Lihat Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari, 8/373)
Al-Munawi berkata:“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. Al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.” (Lihat Faid al-Qadir, 6/433)
Syeikh ‘Azim al-Abbadi berkata: “Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 10/407)
Nuruddin al-Sindi berkata: “Ia bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.” (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sahih al-Bukhari, 4/10)
Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
- Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Ini adalah pandangan Malik.
- Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Tiyarah yang dilarang.” (Lihat Lataif al-Ma’arif, hlm. 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘لَا صَفَرَ’ ‘tidak ada safar’. Justeru, dapat kita simpulkan berdasarkan pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa orang yang menyatakan bahawa bulan Safar dikatakan terdapat banyak musibah di dalamnya merupakan suatu pendapat yang sangat menyeleweng daripada fakta dan ajaran Islam. Hal ini kerana kepercayaan karut ini dipercayai oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang mana dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar, akan berlakulah perkara buruk.
Kepercayaan ini juga hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di nusantara ini dalam amalan mandi safar misalnya yang mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ia dilakukan hanya pada akhir bulan Safar. Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan tidak mempercayai apa-apa perkara yang dikatakan boleh membawa malang atau sial kepada seseorang. Berdoalah setiap masa untuk berlindung daripada bencana. Di antara doa yang boleh diamalkan ialah:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada hilangnya nikmat-Mu, berubahnya keselamatan-Mu (kepada sakit/bahaya), azab-Mu yang datang tiba-tiba dan kesemua kemurkaan-Mu.”
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445