Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Cuci tak saya basuh periuk belanga. Saya tadah air dalam besen, lepas itu saya rendam semua sekali termasuk nasi yang tidak habis ada sikit bau masam-masam. Saya rendam sekali dalam air itu. Agak-agak cuci tak ustaz, sebab saya berniaga? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sebelum kami menjawab soalan ini, ingin kami jelaskan terlebih dahulu, beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Secara umumnya, air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh jenis iaitu air hujan, air laut, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. Dalam erti kata lain, semua jenis air ini dikira sebagai air tahur (الطَّهُورُ) iaitu air yang suci lagi menyucikan, yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. Semua air itu dikatakan air mutlak. Ini kerana air tersebut sukar untuk dielakkan daripada perkara-perkara tersebut. Seterusnya, makna ia suci pada dirinya ialah jika ia terkena benda lain, benda itu tidak menjadikannya najis, manakala maksud menyucikan pula ialah mengangkat hadas dan menghilangkan najis.
Oleh kerana itu, tidak dinamakan sebagai tahur (الطَّهُورُ) jika air itu telah digunakan dalam kewajipan bersuci seperti kali pertama dalam wuduk atau mandi atau digunakan untuk menghilangkan najis sekalipun ia dimaafkan kerana ia tidak menyucikan yang lain. Begitu juga halnya air yang telah berubah salah satu sifatnya dengan sesuatu yang bersih, tidak lagi dinamakan sebagai tahur (الطَّهُورُ).
Kemudian air tahir (الطَّاهِرُ) atau musta‘mal ialah air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain. Jumlahnya sedikit, kerana tidak ada perubahan pada sifat-sifatnya dengan najis dan tidak ada najis yang mengenainya. Akan tetapi, air tersebut telah digunakan dalam kewajipan bersuci atau sunat bersuci seperti berkumur-kumur, memperbaharui wuduk, mandi sunat, atau menghilangkan najis. Jika air tidak mengalami perubahan atau penambahan berat, maka ia tetap dianggap tahir (الطَّاهِرُ). Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Allah SWT telah menciptakan air yang suci lagi menyucikan (air tahur), tidak ada yang menjadikannya najis kecuali yang mengubah rasanya, baunya atau warnanya.” Jika air itu mengalami perubahan pada rasanya, baunya, atau warnanya yang signifikan sehingga ia tidak lagi disebut sebagai air mutlak dengan percampuran dengan sesuatu yang bercanggah dengan sifat air atau salah satu daripada sifatnya seperti bercampur dengan tar (قَطْرَان), maka air itu tidak lagi sah bersuci dengannya.
Jika air musta‘mal ini banyak, mencapai jumlah sebanyak dua qullah, maka ia menjadi air tahur mengikut pendapat yang paling sahih (asah). Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW: “Jika air berjumlah dua qullah, maka ia tidak membawa kotoran mahupun menjadi najis.” Oleh itu, air dua qullah itu tidak menjadi najis dengan sebab bersentuhan dengan najis, kecuali jika terjadi perubahan yang signifikan pada sifat-sifatnya, maka air tersebut menjadi najis menurut kesepakatan ulama. Perubahan ini sama ada secara hissi atau boleh juga secara taqdiri, yakni terdapat cairan najis yang sama dengan sifat-sifat air seperti air kencing yang telah kehilangan baunya.
Jika perubahan ini hilang dengan sendirinya atau melalui campuran air yang bersih, maka ia adalah suci, disebabkan telah hilang kenajisannya. Namun, jika perubahan ini hilang melalui kasturi, za‘faran atau tepung, maka air itu tidak dianggap menjadi suci. Begitu juga ia tidak dikira menjadi suci mengikut pendapat yang azhar, jika ia mengalami perubahan dengan tanah atau kapur. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79-82; al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).
Seterusnya, berkenaan nasi atau makanan yang sudah rosak serta mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan adalah tetap dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi mengenai daging yang sudah busuk (rosak). Beliau menyebutkan bahawa daging yang sudah rosak dan busuk dihukumkan sebagai suci (dan bukannya najis) mengikut pendapat mazhab (al-Syafi‘i). Akan tetapi ada satu pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang menyatakan bahawa daging busuk itu dikira sebagai najis, sebagaimana dinukilkan oleh al-Syasyi dan pengarang al-Bayan dalam bab al-At‘imah (iaitu bab yang menjelaskan mengenai makanan). Menurut Imam al-Nawawi, pendapat ini adalah syaz dan tersangat lemah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/556).
Kesimpulannya
Dalam menjawab soalan di atas, kami berpendapat bahawa periuk belanga yang dicuci dengan cara direndam dalam besen yang mengandungi air bersih bagi membersihkannya adalah tetap suci dan tidak dikira sebagai najis sekalipun terdapat padanya nasi yang basi atau hampir basi. Hal ini kerana sisa makanan yang basi adalah tetap dikira sebagai suci dan bukannya najis meskipun sudah berubah baunya.
Jadi apabila basuhan dengan cara tersebut dapat membersihkan periuk belanga daripada kotoran sisa makanan yang terdapat padanya, sekali gus menghilangkan baunya maka ia memadai. Lebih-lebih lagi, tidak terdapat padanya apa-apa yang menajiskannya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)
Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445