Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Tersebar di media sosial ungkapan: “Taraf mak saudara lebih tinggi dari mak mentua. Jadi hormati dirinya”. Betul ke?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ibu saudara sebelah ibu (khalah) mempunyai kedudukan yang mulia dalam Islam, kedudukannya adalah seperti seorang ibu. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ali R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْخَالَةُ بِمَنْزِلَةِ الْأُمِّ
Maksudnya: “Ibu saudara (khalah) itu kedudukannya seperti ibu.”
Abu Dawud (2278)
Dikatakan: Maknanya adalah bahawa dia mempunyai kedudukan yang sama dalam hak penjagaan anak (hadhanah), kerana hadith tersebut berkaitan dengan perkara tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 7/506)
Dikatakan juga: Bahawa dia mempunyai kedudukan yang sama dalam hal penjagaan anak dan perkara-perkara lain. Imam al-Zahabi dalam kitab al-Kaba’ir berkata: “Iaitu dalam perkara bakti, kemuliaan, hubungan dan ihsan.” (Lihat al-Kaba’ir, hlm. 43)
Diriwayatkan juga daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:
أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أَصَبْتُ ذَنْبًا عَظِيمًا فَهَلْ لِي تَوْبَةٌ؟ قَالَ: (هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ؟) قَالَ: لَا، قَالَ: (هَلْ لَكَ مِنْ خَالَةٍ؟) قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: (فَبِرَّهَا).
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya telah berbuat dosa besar, adakah saya berpeluang bertaubat?” Rasulullah SAW bertanya: “Adakah anda mempunyai ibu?” Dia menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya lagi: “Adakah anda mempunyai ibu saudara (khalah)?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda SAW berkata: “Buatlah baik pada ibu saudara kamu”
Riwayat al-Tirmizi (1904) dan ini disahihkan dalam Sahih al-Targhib (2504).
Hal ini menunjukkan pentingnya berbuat baik dan berbakti kepada ibu saudara sebelah ibu dan ia termasuk dalam fadhail al-a’mal serta menghapuskan dosa-dosa.
Diriwayatakan juga daripada Aisyah R.Anha, katanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، كُلُّ صَوَاحِبِي لَهُنَّ كُنًى، قَالَ: “فَاكْتَنِي بِابْنِكِ عَبْدِ اللَّهِ”
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, semua sahabat-sahabat wanita aku mempunyai panggilan kunyah (nama samaran).” Rasulullah SAW bersabda: “Maka kunyahkan diri kamu dengan anak kamu Abdullah.”
Riwayat Abu Dawud (4970)
Yang dimaksudkan “anak kamu Abdullah” itu, ialah anak saudara Aisyah R.Anha, dan beliau kemudiannya dipanggil dengan gelaran “Umm Abdullah”. Abdullah yang maksudkan di sini ialah Abdullah bin Zubair, yang merupakan anak kepada Asma’ yang merupakan saudara perempuan Aisyah R.Anha. Hadith ini mengukuhkan lagi bahawa ibu saudara mempunyai kedudukan seperti ibu. Oleh itu, seorang Muslim sepatutnya menghormati dan bermuamalah secara baik serta berbakti kepada ibu saudaranya sebagaimana dia berbuat baik kepada ibunya.
Selain itu, pada asasnya martabat dan seorang ibu tidak boleh dibandingkan dengan sesiapa pun. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Maksudnya: “Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.
Riwayat Muslim (2548)
Maka diambil manfaat daripada hadith ini bahawa seorang ibu didahulukan dalam proses berbuat baiknya seorang anak itu kepada kedua ibubapanya sebanyak tiga kali ke atas bapanya. Bahkan telah disebutkan ijma’ para ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Haris al-Muhasibi dalam mentafdhilkan (mengutamakan) berbuat baik kepada ibu ke atas bapa disebabkan jelasnya madlul (isi yang ditunjukkan) oleh hadith di atas ini.
Manakalah perkataan حُسْنِ الصُّحْبَةِ di dalam hadis di atas membawa maksud berbuat baik, berlemah lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan, serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf.
Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa kedudukan ibu saudara adalah sama seperti kedudukan ibu sendiri kerana kebiasaannya seorang anak itu apabila ibu dan bapanya meninggal, maka hak penjagaan itu akan diberikan kepada ibu saudara sebelah ibu. Adapun ibu mertua, ia adalah lebih kepada hak isteri kerana ia merupakan ibu kepada isteri yang wajib dihormati. Dalam isu ini, ibu saudara dan juga mertua, kedua-duanya perlu dihormati dan tidak timbul permasalahan siapa yang perlu dihormati lebih atau tidak.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam agama dan al-Quran.
اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”
Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445