#3059: Roh Orang yang Telah Meninggal Dalam Badan Burung

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah ada golongan yang ketika mereka sudah meninggal dunia, roh mereka akan ada di dalam badan burung yang sedang berlegar di syurga?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan beberapa buah hadith yang warid tentang roh mereka yang telah meninggal dunia dalam jasad burung. Antaranya adalah hadith daripada Masruq bin al-Ajda‘, bahawa dia bertanyakan kepada Abdullah bin Mas‘ud R.A tentang tafsiran firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;”

(Surah Ali ‘Imran: 169)

Lalu Abdullah bin Mas‘ud R.A menjawab:

أَمَا إِنَّا قَدْ سَأَلْنَا عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ:‏ أَرْوَاحُهُمْ فِي جَوْفِ طَيْرٍ خُضْرٍ لَهَا قَنَادِيلُ مُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ تَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ فَاطَّلَعَ إِلَيْهِمْ رَبُّهُمُ اطِّلاَعَةً فَقَالَ هَلْ تَشْتَهُونَ شَيْئًا قَالُوا أَىَّ شَىْءٍ نَشْتَهِي وَنَحْنُ نَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شِئْنَا فَفَعَلَ ذَلِكَ بِهِمْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ فَلَمَّا رَأَوْا أَنَّهُمْ لَنْ يُتْرَكُوا مِنْ أَنْ يُسْأَلُوا قَالُوا يَا رَبِّ نُرِيدُ أَنْ تَرُدَّ أَرْوَاحَنَا فِي أَجْسَادِنَا حَتَّى نُقْتَلَ فِي سَبِيلِكَ مَرَّةً أُخْرَى.‏ فَلَمَّا رَأَى أَنْ لَيْسَ لَهُمْ حَاجَةٌ تُرِكُوا ‏

Maksudnya: “Adapun kami telah bertanya tentang hal ini (kepada Rasulullah SAW), lalu Baginda SAW menjawab: ‘Sesungguhnya roh-roh para syuhada’ itu ada di dalam rongga burung hijau. Baginya ada pelita-pelita yang tergantung di ‘Arash. Mereka bebas keluar dari syurga sebagaimana yang mereka mahu, kemudian mereka (roh-roh orang yang syahid) menuju ke arah pelita-pelita itu. Kemudian Rabb melihat kepada mereka dengan jelas, lalu Dia bertanya: ‘Apakah kalian inginkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Apalagi yang kami inginkan sedangkan kami bebas keluar dari syurga dengan semahu-mahu kami?’ Rabb mereka mengizinkan hal itu berlaku kepada mereka sebanyak tiga kali. Tatkala mereka melihat bahawasanya mereka tidak ditinggalkan daripada meminta sesuatu. Mereka berkata: ‘Wahai Rabb kami! kami ingin Engkau pulangkan semula roh-roh kami ke dalam jasad-jasad kami sehingga kami dibunuh di jalan-Mu sekali lagi. Maka tatkala Dia melihat bahawasanya mereka tidak mempunyai keinginan lagi, maka mereka ditinggalkan’.”

Riwayat Muslim (1887)

Di dalam sebuah riwayat lain, daripada Ummu Hani’ Fakhitah binti Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَكُونُ النَّسَمُ طَيْرًا تَعْلُقُ بِالشَّجَرِ، حَتَّى إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ دَخَلَتْ كُلُّ نَفْسٍ فِي جَسَدِهَا

Maksudnya: “Roh-roh orang yang beriman seperti burung yang bertenggek di pohon-pohon, sehinggalah tibanya hari kiamat, setiap daripadanya (roh) akan kembali ke jasad masing-masing.”

Riwayat Ahmad (27387). Al-Albani mengatakan bahawa status hadith ini hasan li ghairihi di dalam al-Silsilah al-Sahihah (2/178)

Abdul Ra’uf al-Manawi ketika mengulas setiap lafaz hadith di atas mengatakan, yang dimaksudkan dengan ‘roh-roh orang yang beriman’ adalah selepas mereka meninggal dunia. ‘Seperti burung’ yakni mereka itu dalam bentuk burung atau berada dalam rongga burung, ‘bertenggek di pohon-pohon’ dengan memakan daripada hasilnya di syurga, ‘sehinggalah tibanya hari kiamat’ iaitu apabila ditiupkan kembali roh setiap orang pada tiupan kedua (ketika hari kebangkitan), dan ‘setiap daripadanya (roh) akan kembali ke jasad masing-masing’ ketika di dunia dahulu. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 1/456)

Ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ka‘ab bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ طَائِرٌ فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى جَسَدِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya roh orang mukmin berterbangan di pohon Syurga sehingga Allah membangkitkannya ke dalam jasadnya pada hari Kiamat.”

Riwayat al-Nasa’ie (2073), Ahmad (15787) dan Ibn Majah (3465)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa, qiyas dan akan tidak mampu untuk menghukum dalam perkara ini, kerana semuanya merupakan perkara yang boleh berlaku. Jika Allah SWT hendak menjadikan roh tersebut selepas dicabut daripada seorang mu’min atau mereka yang mati syahid, berada pada pelita-pelita atau dalam jasad burung atau sebagaimana saja yang Dia inginkan, maka berlakulah perkara tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/32)

Al-Qadhi ‘Iyyadh menyebutkan bahawa, dikatakan bahawa yang dimaksudkan adalah orang yang mati syahid oleh kerana mereka itu bersifat dengan sifat keimanan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”

(Surah Ali ‘Imran: 169)

Dikatakan juga bahawa yang dimaksudkan adalah umum orang-orang beriman yang dijanjikan syurga tanpa balasan, dan dalilnya adalah umum hadith yang disebutkan. Dan dikatakan juga bahawa roh orang-orang beriman berada di perkarangan kubur mereka. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim bi Fawa’id Muslim, 6/307)

Kesimpulan

Berdasarkan beberapa hadith yang kami bawakan di atas, sememangnya terdapat golongan tertentu yang Allah SWT ganjarkan kepada mereka nikmat setelah meninggal dunia, iaitu berada dalam badan burung yang berterbangan di dalam syurga, bertenggek dan makan daripada hasil pohon-pohon syurga. Sebahagian riwayat menyatakan bahawa mereka adalah orang yang mati syahid, dan sebahagian riwayat lain hanya menyebutkan umum orang beriman.

Hal ini juga termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak dapat disingkap oleh akal manusia, dan ia seharusnya dilihat berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah bagi mendapat pemahaman yang jelas lagi tuntas berkaitan isu ini. Allah SWT jualah yang lebih mengetahui tentang siapakah golongan yang dikurniakan nikmat ini kepada mereka.

Semoga dengan perkongsian ringkas ini dapat menambahkan info dan maklumat yang baharu kepada kita, disamping mendapat manfaat dan kefahaman yang benar.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah manfaat terhadap apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, dan ajarkan kepada kami sesuatu yang bermanfaat bagi kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445