Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, dulu saya pernah jadi saksi kakak saya kahwin, saya tidak mendengar dengan jelas kata-kata akad nikah pengantin lelaki disebabkan tidak ada mikrofon, tapi bila wali tanya saya sah ke tidak saya kata sah. Soalan saya adakah sah nikah sekiranya saksi tidak mendengar akad nikah pengantin lelaki tu? satu lagi ada ustaz kata orang fasik tidak boleh menjadi saksi. betul ke ustaz?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya’ri bahawa Rasulullah SAW bersabda :
لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ
Maksudnya: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.
Riwayat al-Tirmizi (1102)
Hadith ini menunjukkan bahawa seorang perempuan tidak dibolehkan melakukkan akad nikah untuk dirinya sendiri melainkan walinya dan tidak boleh juga dia melakukan akad nikah untuk perempuan lain. Yang demikian merupakan pandangan ulama seperti Imam al-Syafi’I, Sufyan al-Thauri, Imam Ahmad dan Abu Ishak. (Lihat al-Tamhid, 12/21 ).
Diriwayat juga daripada ‘Aisyah katanya, Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا،
Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya.”
Riwayat Tarmizi (1102)
Menjawab persoalan di atas, kami ingin menjelaskan bahawa jika pernikahan tersebut dijalankan di hadapan khalayak ramai, ia dapat dianggap sah. Ini kerana walaupun saudara tidak mendengar dengan jelas lafaz akad nikah tersebut, tetapi pihak-pihak yang hadir menyaksikan majlis tersebut mungkin telah mendengar lafaz tersebut dengan jelas. Oleh itu, tidak perlu bagi saudara untuk bimbang atau meragui kesahihan akad perkahwinan tersebut.
Selain itu, bagi memastikan kesahihan pernikahan, saudara juga boleh merujuk kepada saksi-saksi yang hadir dalam majlis perkahwinan tersebut. Yang demikian bagi membantu saudara merasa yakin tentang kesahihan pernikahan yang telah dijalankan .
Berkenan dengan persoalan wali yang fasiq pula kami kitakan wali yang fasiq ialah wali yang tidak adil. Maksud adil ialah tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak mencemarkan maruah diri, seperti kencing di jalanan, berjalan tanpa kasut dan seumpamanya. Wali yang fasiq, iaitu tidak adil, maka dia tidak boleh mengahwinkan perempuan yang beriman, bahkan hak perwalian berpindah kepada wali adil yang seterusnya mengikut urutan.(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/558)
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
لا نِكَاحَ إِلا بِوَلِيٍّ مُرْشِدٍ وَشَاهِدَيْ عَدْلٍ.
Maksudnya: “Tidak sah nikah melainkan oleh wali yang mursyid dan dua orang saksi yang adil.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Sughra (3/19), dan Imam al-Syafi’ei di dalam kitab al-Umm (8/611)
Imam al-Syafie berkata: Maksud mursyid dalam hadith tersebut adalah adil. Hal ini adalah kerana fasiq merupakan kekurangan yang merosakkan persaksian dan ia menghalang perwalian dalam perkahwinan.
Begitu juga sebuah hadis yang merupakan dalil dalam menjadikan wali sebagai syarat sah bagi nikah adalah sabda Nabi SAW :
لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ وَلَا بِشَاهِدَي عَدْلٍ
Maksudnya: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.
Riwayat al-Tirmizi (1102)
Mazhab al-Imam al-Syafie dan selainnya berpendapat bahawa penafian yang terdapat di dalam hadis tersebut merupakan penafian terhadap kesahihan nikah, atau di dalam bahasa arabnya disebut نفي الصحة. Justeru, tanpa adanya wali mursyid ia membawa kepada implikasi tidak sahnya sesebuah pernikahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/558)
Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Ini kerana kewalian amat berhajat kepada pengamatan dan mentaqdirkan maslahat. Justeru, tidak layak seorang wali fasiq untuk mewalikan perempuan sama seperti kewalian harta. Inilah mazhab Syafi’e dan Hanbali.(Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/6701-6702)
Sebagai kesimpulannya, kami ingin menegaskan bahawa tidak perlu saudara merasa ragu-ragu tentang kesahihan perkahwinan tersebut. Kami ingin memberi nasihat supaya saudara menghindari sikap ragu-ragu ini, kerana keragu-raguan seringkali datang daripada sumber yang tidak baik, seperti pengaruh syaitan.
Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.
(Riwayat al-Tirmizi:2708)
Selain itu, adalah penting untuk diingat bahawa dalam Islam, perkahwinan yang dilakukan dengan wali yang fasiq (yang melakukan dosa besar dan terang-terangan) adalah dianggap tidak sah. Syarat utama bagi seorang wali dalam perkahwinan adalah keadilan. Oleh itu, jika wali tersebut tidak memenuhi syarat ini, perkahwinan tersebut mungkin tidak sah dari sudut syariah.
Sebahagian besar para ulama menganggap bahawa isu fasik kepada wali mengikut tahap zaman. Begitu juga pandangan yang mengharuskannya kerana mengambil kira zaman mutakhir berbeza dengan zaman ketika umat Islam begitu soleh dan solehah.
Untuk memastikan kesahihan perkahwinan dan menyelesaikan keraguan, saudara boleh mendiskusikan hal ini dengan ulama atau pakar undang-undang Islam tempatan. Mereka dapat memberikan pandangan dan nasihat yang lebih tepat berdasarkan keadaan khusus saudara.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445