#3064: Wang Pencen Pasangan yang Telah Meninggal Dunia

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan pencen si mati (isteri pertama) yang diterima oleh suami.

Suami dan arwah isterinya mempunyai 2 orang anak lelaki, oleh yang demikian ibu kepada arwah memohon untuk melihat pembahagian wang pencen tersebut; berapa jumlah yang disimpan dan dijadikan simpanan untuk anak arwah.

Persoalan saya, adakah wang pencen tersebut perlu dibahagikan antara suami dan anak-anak arwah, dan perlu disimpan untuk masa depan anak-anak? atau boleh digunakan untuk perbelanjaan harian? Kami risau jika termakan harta anak-anak yatim ini (anak-anak arwah).

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami mulakan terlebih dahulu dengan sedikit maklumat tentang wang pencen yang diterima oleh pegawai Kerajaan yang telah bersara atau menamatkan perkhidmatannya. Hal ini penting kerana ia membantu kita untuk memahami dengan lebih baik hukum agama yang diaplikasikan ke atasnya, sama ada termasuk dalam harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut pembahagian yang telah ditetapkan, atau ianya bukanlah daripada harta pusaka. Ini juga bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Penentuan hukum atas sesuatu perkara, adalah satu cabang daripada gambaran tentangnya.”

Ertinya, proses penentuan hukum bagi sesuatu perkara, tidak dapat dilakukan atau dijatuhkan, selagimana gambaran yang jelas tentang perkara atau perbuatan atau peristiwa tertentu tidak diperolehi dengan benar dan tepat.

Pencen dan Pencen Terbitan

Pencen berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah bayaran tetap bulanan yang dibuat oleh kerajaan atau majikan kepada bekas pekerjanya yang telah bersara.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia, Skim Pencen Perkhidmatan Awam merupakan pencen perkhidmatan sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan terhadap perkhidmatan pegawai sepanjang tempoh beliau berkhidmat dengan penuh dedikasi, taat setia dan amanah. (Lihat Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia, hlm. 1)

Skim ini juga menawarkan faedah lain yang dikenali sebagai Ganjaran Terbitan dan Pencen Terbitan. Ia berfungsi memanjangkan faedah persaraan kepada tanggungan anggota berpencen yang meninggal dunia sama ada semasa masih dalam perkhidmatan Kerajaan ataupun selepas bersara.[1]

Berkenaan pencen ini juga, disebutkan di dalam Akta Pencen 1980, diulaskan tentang Pencen Terbitan jika pegawai  mati selepas bersara pada seksyen 15 (b):

“Jika pegawai berpencen mati dalam atau selepas tempoh dua puluh tahun dari tarikh persaraan dari perkhidmatan awam, Yang di-Pertuan Agong boleh memberi kepada orang yang ditetapkan dalam peraturan-peraturan itu pencen terbitan yang sama banyaknya dengan amaun pencen yang dibayar kepadanya.

Dengan syarat bahawa apa-apa pemberian pencen terbitan selepas tamatnya tempoh dua puluh tahun dari tarikh persaraannya hendaklah dibuat hanya jika penerima:

(i)berkenaan dengan seseorang balu atau duda, telah berkahwin dengan pegawai yang mati itu semasa pegawai itu masih dalam perkhidmatan;

(ii) berkenaan dengan seseorang anak atau anak tiri tanggungan, adalah seorang anak atau anak tiri tanggungan hasil perkahwinan semasa pegawai itu masih dalam perkhidmatan;

(iii) berkenaan dengan seseorang anak angkat, adalah seorang anak yang diangkat di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan pengangkatan atau di bawah mana-mana adat atau kelaziman semasa pegawai itu masih dalam perkhidmatan; atau

(iv) berkenaan dengan seseorang anak tak sah taraf, adalah seorang anak yang dikandungkan semasa pegawai itu masih dalam perkhidmatan.”[2]

Harta Dapatan kepada Si Mati

Kebiasaannya, negara kita mempunyai pelbagai intensif yang mungkin diperoleh oleh mereka yang telah meninggal dunia sebagai suatu alternatif untuk membantu sesebuah keluarga yang baru sahaja kehilangan seorang ahli seperti Pencen Terbitan, hibah dan lain-lain. Hal ini kerana boleh jadi orang yang meninggal itu merupakan tunjang utama sumber pencarian keluarga. Tidak terlepas juga kehidupan bermasyarakat yang tinggi nilai belas kasihannya dan sifat saling bantu-membantu, sehingga menjadi kebiasaan apabila adanya kematian, masyarakat akan memberikan bantuan termasuk yang berupa wang ringgit bagi meringankan beban pihak keluarga yang perlu menguruskan jenazah.

Persoalannya, adakah ianya termasuk dalam senarai harta pusaka yang perlu dibahagiakan sesama ahli waris?

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mendefinisikan harta pusaka sebagai “segala apa yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya sama ada dalam bentuk harta alih seperti emas, perak, duit, perabot dan sebagainya, atau dalam bentuk harta tidak alih seperti tanah, rumah dan sebagainya.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/71)

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan senarai beberapa harta yang tidak termasuk dalam harta pusaka atau fara’id, antaranya:

  1. Harta yang telah diberi (hibah), dijual, diwakafkan, dan dipegang amanah oleh si mati kepada seseorang semasa hayatnya.
  2. Khairat kematian.
  3. Pemberian oleh orang yang menziarahi kematian.
  4. Imbuhan, pampasan dan saguhati.
  5. Pencen terbitan.
  6. Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO).
  7. Harta yang dipinjamkan daripada orang semasa hayatnya.[3]

Jabatan Mufti Negeri Perak juga telah mengeluarkan keputusan rasmi senarai beberapa harta yang tidak termasuk dalam harta pusaka, dalam Mesyuarat  Jawatankuasa Syariah yang bersidang pada hari ini 16 Rabi‘ al-Awwal 1420H bersamaan 29 Julai 1999 buat kali ke 146 bahawa wang pencen si mati adalah bukan harta pusaka.[4]

Berdasarkan maklumat yang kami bawakan, kesemua harta atau wang yang disebutkan tersebut tidaklah termasuk dalam harta pusaka yang wajib dibahagikan kepada ahli waris. Bahkan, jika wang tersebut diberikan ketika orang datang untuk menziarahi si mati, maka sebaiknya wang tersebut digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga untuk mempermudahkan urusan keluarga.

Maka, wang pencen terbitan daripada isteri yang telah meninggal dunia yang diperoleh oleh suami (selaku duda) tidak perlu dibahagikan kepada ahli waris kerana  ia tidak termasuk dalam harta pusaka. Lebih tepat lagi, ia merupakan bantuan alternatif yang diusahakan oleh pihak Kerajaan untuk keluarga si mati, sama ada untuk suami atau anak-anak yang ditinggalkan. Adapun ibu kepada si mati, dia tidaklah termasuk dalam senarai mereka yang diberikan kelebihan Pencen Terbitan yang diberikan jika pegawai meninggal dunia selepas bersara.

Kesimpulan

Natijahnya, wang penceng arwah isteri pertama tersebut adalah hak suami dan anak-anak yang ditinggalkan. Jika suami jalankan tanggungjawab dengan baik, maka tiada keperluan untuk ibu kepada si mati melihat pembahagian wang pencen terbitan yang diberikan.

Akan tetapi jika anak-anak si mati bertindak meminta bantuan kelengkapan daripada ibu si mati (nenek mereka), maka ini bermasalah dan sememangnya terdapat keperluan untuk dilihat bagaimana harta tersebut dibahagikan. Hal ini agar hak setiap pihak yang layak diperoleh dengan sebaiknya.

Kami juga memuji sikap saudari yang bertanya kerana menitik beratkan perihal harta pusaka, hal ini penting bagi mengenalpasti dengan cara menyenaraikan terlebih dahulu harta-harta si mati daripada harta yang bernilai rendah sehinggalah harta yang tinggi nilainya. Hal ini kerana, kesilapan yang terkadang berlaku kerana sebahagian pihak menyangka bahawa semua harta yang terkait dengan si mati adalah harta pusaka. Perkara ini juga merupakan salah satu langkah berhati-hati agar tidak tersilap mengambil hak orang lain dengan cara yang batil. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah: 188)

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://www.jpapencen.gov.my/skim_faedah_persaraan.html. Diakses pada 7 Sept 2023.

[2] Lihat https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PA/Akta-227/18/. Diakses pada 7 Sept 2023.

[3] Lihat https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/2015-11-20-07-49-26/faraid-pusaka. Diakes pada 7 Sept 2023.

[4] Lihat https://mufti.perak.gov.my/artikel-minda-mufti/127-minda-mufti/669-hukum-wang-pencen. Diakses pada 7 Sept 2023.

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445