#3068: Maksud Hadith Qiyam Ramadhan, Iman (إِيمَانًا) dan Ihtisab (احْتِسَابًا)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami tentang qiyam Ramadhan serta syarahan maksud iman dan ihtisab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan meng- harapkan ganjaran serta keampunan, akan di ampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”

Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)

Imam al-Nawawi berkata: “Makna ” إِيمَانًا” ialah mempercayainya sebagai benar, lagi dijanjikan pahala dan fadilatnya, manakala makna “احْتِسَابًا” ialah menginginkan redha Allah Taala semata-mata, bukan bertujuan pandangan manusia, dan bukan juga apa-apa tujuan lain yang menyelisihi makna keikhlasan. Makna yang dikehendaki daripada “Qiyam Ramadhan” ialah perlaksanaan solat Tarawih. Para ulama bersepakat tentang hukumnya adalah disunatkan.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 6/39)

Namun berkata al-Hafiz al-‘Iraqi: “Bukan dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah mendirikan keseluruhan malamnya bahkan yang dimaksudkan ialah mendirikan sebahagian kecil daripada malam seperti yang difahami secara mutlak dengan pelaksanaan solat Tahajjud, solat Terawih di belakang imam seperti kebiasaan yang dilakukan serta pelaksanaan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah.” (Lihat Tarh al-Tathrib, 4/161)

Justeru Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata dalam Bab Kelebihan Barangsiapa yang Mendirikan Ramadhan: “Yakni mendirikan malam-malamnya dengan solat, dan yang dimaksudkan dengan qiamullail ialah apa-apa ibadah yang termasuk dengan lafaz mutlak “qiyam” seperti mana yang telah kami sebut sebelum ini dalam bab Tahajjud adalah sama. al-Nawawi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah solat Tarawih; oleh itu pahala qiyamullail terhasil dengan dengan solat Tarawih, bukan maksud qiyam Ramadhan tidak berlaku melainkan dengan solat Tarawih. Al-Kirmani mengeluarkan pandangan yang aneh dengan berkata: “Mereka sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah solat Tarawih.” (Lihat Fath al-Bari (4/251) (Lihat Ramadhan al-Mubarak Fadhilat dan Hukum Puasa, hlm. 152-153)

Jsuteru, marilah sama-sama kita melakukan amalan soleh dengan sebanyak-banyaknya serta meyakini kepada Allah SWT terutamanya pada bulan Ramadhan al-Mubarak. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّا

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah kami.”

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445