Soalan:
Assalamualaikum Dr Mohon pencerahan daripada Dr. Seorang isteri telah berada di Makkah untuk menunaikan ibadah umrah dapat berita suami meninggal di Malaysia bagaimanakah iddahnya? Dan sekiranya dia belum sempat menunaikan ibadah umrah wajib perlukah beliau melakukannya? Terima kasih banyak kepada Dr.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.
Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)
Sekiranya seseorang wanita itu kematian suami perlu beriddah dalam empat bulan sepuluh hari sebagaimana firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”
(Surah al-Baqarah: 234)
Manakala bagi wanita yang kematian suami dalam keadaan hamil, maka tempoh iddahnya adalah sehingga dia melahirkan anaknya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ
Maksudnya: Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.
(Surah al-Talaq: 4)
Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan ‘iddah bagi wanita yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari. Manakala sekiranya dia sedang hamil ‘iddahnya adalah sehingga melahirkan anak tersebut. Hal ini telah dijelaskan dalam nas-nas yang telah dinyatakan di atas.
Dalam situasi yang diajukan, pada asalnya wanita yang kematian suami hendaklah menjalani tempoh ‘iddah di rumah suaminya sehingga habis tempoh tersebut. Namun dalam situasi seperti ini, sekiranya wanita tersebut sedang mengikut rombongan umrah bersama travel dan telah sampai ke Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah maka kami katakan sempurnakanlah umrah tersebut dengan segera. Ini kerana Allah berfirman:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ ۚ
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah..”
(Surah al-Baqarah :196)
Ayat di atas bermaksud lakukanlah kedua-duanya dengan sempurna. Dalam ayat di atas, digunakan kalimat perintah pada haji dan umrah yang menunjukkan kepada kefardhuan kedua-duanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/315).
Kami mengesyorkan agar waktu yang dihabiskan di Mekah dan Madinah dipendekkan. Sebaiknya, berbincanglah dengan pihak agensi travel untuk merancang ziarah yang ringkas di Madinah. Selain itu, jika ada peluang untuk pulang, disarankan agar wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah itu pulang ke rumah suaminya bagi menjalani tempoh ‘iddahnya.
Namun sekiranya, tidak berpeluang untuk pulang, wanita tersebut hendaklah menjalani tempoh i’ddah di bilik hotel dan hendaklah baginya menghadkan aktiviti ketika berada di Makkah dan Madinah melainkan keluar bagi memenuhi keperluan dan hajat sahaja. Kelonggaran ini dibenarkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA:
طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan dan dia ingin memetik buah tamarnya, tetapi seorang lelaki telah menegahnya keluar. Lalu, dia pergi menemui Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda: “Ya, keluarlah dan petiklah buah tamar itu. Mudah-mudahan engkau akan bersedekah ataupun melakukan kebaikan.”
Riwayat Muslim (1483)
Imam al-Nawawi menyatakan dalam syarahnya: “Hadith ini adalah dalil membolehkan wanita beriddah bain untuk keluar bagi suatu hajat keperluan. Pendapat mazhab Malik, al-Tsauri, al-Laits, al-Syafie, Ahmad dan lain-lain ulama bahawa dibenarkan wanita beriddah ba’in itu keluar pada hari siang bagi suatu hajat. Mereka juga mengharuskan juga keluar bagi wanita yang kematian suami dan dalam hal ini dipersetujui juga oleh Abu Hanifah sekalipun dalam kes talak bain beliau berkata tidak boleh keluar, sama ada malam atau pun siang. Hadith ini juga adalah dalil bahawa digalakkan bersedekah dengan tamar apabila tiba masa menuainya, begitu juga dengan memberinya sebagai hadiah. Digalakkan juga agar pemilik tamar itu sendiri yang melakukan serta mengingatkan perkara yang makruf dan kebaikan.(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/108)
Justeru kami ingatkan, selama tempoh ‘iddah sangat penting untuk mematuhi larangan-larangan yang telah ditetapkan, seperti tidak berhias, tidak menggunakan bau-bauan, seperti wangi-wangian atau bersolek, serta tidak mengenakan pakaian yang menjolok mata atau berwarna terang. Selain itu, pemakaian barang kemas atau perhiasan juga hendaklah dihindari.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah:201)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445