Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan berkaitan meletakkan peratus hasil sumbangan kutipan yang dibuat oleh individu bagi kerja-kerja pembangunan masjid. Adakah saya sebagai orang yang berusaha mendapatkan sumbangan bagi kerja-kerja pembangunan masjid berhak untuk meletakkan atau mendapatkan percent (%) daripada hasil kutipan sumbangan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, kami mengucapkan tahniah dan syabas terlebih dahulu kepada semua ahli jawatankuasa masjid yang merupakan tulang belakang kepada institusi penting ini. Tanpa mereka, barangkali masjid akan terbiar dalam keadan tidak terpelihara kebajikannya dan tidak terlaksanalah aktiviti-aktiviti besar ummat Islam. Ketahuilah bahawa gerak kerja yang diusahakan oleh pihak berautoriti ini merupakan amalan yang sangat mulia kerana mereka berperanan mengimarahkan rumah-rumah Allah SWT.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, jika pihak individu yang mencari sumbangan itu ingin mengambil sejumlah peratusan tertentu daripada hasil sumbangan yang diterima, maka ia memerlukan kepada perbincangan yang jelas dan persetujuan berkaitan terma perjanjian antara individu tersebut, pihak masjid, serta penyumbang itu sendiri.
Secara zahirnya, kami melihat bahawa tidak menjadi masalah untuk individu yang bertindak mencari penyumbang tersebut untuk diberikan sedikit upah hasil daripada usahanya. Pada asasnya ia adalah halal sekiranya menggunakan kontrak ju‘alah (الجُعَالَةُ). Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, kata ju‘alah ini merujuk kepada sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada seseorang kerana sesuatu yang dilakukan. Ia juga boleh disebut sebagai Ju‘lun (جُعْلٌ) atau Ja‘ilah (جَعِيلَةٌ). Manakala ju‘alah menurut syara‘ ialah mewajibkan gantian yang diketahui untuk kerja tertentu, sama ada diketahui atau tidak diketahui, oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali. Maksudnya kerja ini dilakukan oleh seseorang pekerja yang dikenali atau tidak dikenali. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/161).
Dalil pensyariatan ju‘alah ini adalah seperti mana yang warid dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:
انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ ﷺ فِي سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ العَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ، فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ الحَيِّ، فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ شَيْءٌ. فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلاَءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ بَعْضِهِمْ شَيْءٌ، فَأَتَوْهُمْ فَقَالُوا: يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ، إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ، وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ، فَهَلْ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَيْءٍ؟ فَقَالَ بَعْضُهُمْ: نَعَمْ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرْقِي، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدِ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضَيِّفُونَا، فَمَا أَنَا بِرَاقٍ لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلًا. فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنَ الغَنَمِ. فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ، وَيَقْرَأُ: {الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ}، فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ، فَانْطَلَقَ يَمْشِي وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ. قَالَ: فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمُ الَّذِي صَالَحُوهُمْ عَلَيْهِ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: اقْسِمُوا. فَقَالَ الَّذِي رَقَى: لاَ تَفْعَلُوا، حَتَّى نَأْتِيَ النَّبِيَّ ﷺ فَنَذْكُرَ لَهُ الَّذِي كَانَ، فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا. فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَذَكَرُوا لَهُ، فَقَالَ: «وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ؟» ثُمَّ قَالَ: «قَدْ أَصَبْتُمْ، اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا». فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ
Maksudnya: “Sekelompok sahabat Nabi SAW berangkat dalam suatu perjalanan sehinggalah mereka singgah di salah satu perkampungan Arab, lalu mereka meminta untuk menjadi tetamu, namun penduduk kampung itu enggan menjadikan mereka tetamu. Setelah itu, pemimpin kampung itu digigit oleh binatang berbisa. Mereka berusaha dengan segala upaya (untuk menyembuhkannya), tetapi tidak berhasil. Sebahagian mereka berkata: ‘Bagaimana kalau kamu mendatangi rombongan yang singgah di tempat kita, barangkali ada salah seorang di antara mereka yang dapat menolong.’ Maka mereka pergi kepada mereka dan berkata: ‘Wahai ahli rombongan, sesungguhnya pemimpin kami disengat binatang berbisa, dan kami telah berusaha dengan segala upaya (untuk merawatnya, tetapi tidak berhasil. Maka adakah ada salah seorang di antara kamu yang dapat menolong?’ Maka mereka berkata: ‘Ya, demi Allah, sesungguhnya aku boleh merawatnya (meruqyah), akan tetapi demi Allah kami telah meminta untuk dijadikan tetamu namun kamu tidak mahu menjadikan kami tetamu, maka aku tidak akan merawatnya untuk kamu sehinggalah kamu meletakkan upah (sagu hati) bagi kami.’ Maka penduduk di tempat itu sepakat dengan mereka untuk memberikan sejumlah kambing. Maka sahabat tersebut berangkat (untuk mengubatinya) dan menyemburkan sedikit ludah (kepada pemimpin kampung yang sakit itu) lalu membaca: “الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِين” (Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam) [Surah al-Fatihah: 1]. Setelah itu, seakan-akan pemimpin itu terlepas daripada ikatan, dia bangkit dan berjalan tanpa rasa sakit.” Dia berkata: “Maka mereka (penduduk di tempat itu) memberikan upah (sagu hati) mereka yang telah disepakati. Sebahagian sahabat berkata: ‘Bahagikanlah.’ Lalu orang yang mengubati itu berkata: ‘Jangan kamu lakukan sehingga kita pergi kepada Nabi SAW, lalu kita menceritakan kepadanya apa yang terjadi dan kita menunggu apa yang Baginda perintahkan kepada kita.’ Maka mereka datang kepada Rasulullah SAW dan menceritakan kejadian itu kepada Baginda. Lalu Baginda bersabda: ‘Apakah yang membuatkan engkau tahu bahawa itu adalah ruqyah?’ Kemudian Baginda bersabda: ‘Kamu benar, bahagikanlah (di antara kamu) dan berilah kepada aku sebahagian.’ Lantas Rasulullah SAW pun tertawa.”
Riwayat al-Bukhari (2276) dan Muslim (2201)
Ju‘alah ini terbina di atas 4 rukun asas, iaitu:
- Kerja.
- Bayaran sagu hati.
- Sighah (lafaz persetujuan).
- Pihak yang berkontrak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 148)
Aplikasi sistem ju‘alah ini dalam perbincangan utama kita dapat dilihat lebih jelas seperti yang berikut:
- Kerja: Usaha mencari penyumbang untuk tabung pembinaan masjid.
- Bayaran sagu hati: Sejumlah peratusan yang diberikan kepada individu yang mencari penyumbang.
- Sighah: Persetujuan antara individu yang mencari penyumbang, ppenyumbang, dan juga ahli jawatankuasa masjid.
- Pihak yang berkontrak: Semua pihak yang terlibat dengan sumbangan ke tabung masjid.
Meskipun kami kemukakan cadangan untuk menggunakan sistem ju‘alah dalam permasalahan ini, ia mestilah diikat dengan syarat, iaitu memberikan keutamaan sumbangan tersebut kepada pembangunan masjid agar tujuan asal pencarian sumbangan tersebut tercapai. Manakala peratusan kecil yang diberikan kepada individu yang terlibat dalam mencari sumbangan hanyalah sebagai bentuk penghargaan terhadap usaha mereka yang sedaya upaya membantu untuk menjayakan kerja-kerja pembinaan masjid yang pastinya memerlukan sumber kewangan yang banyak.
Pihak yang terlibat dalam akad ju‘alah ini juga perlu berpada-pada dalam mengambil kadar upah dan tidak melampaui batasan. Elakkan juga daripada menjadikan akad ini sebagai helah untuk pihak-pihak yang terlibat mengambil kesempatan terhadap tabung masjid. Hal ini kerana ia boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara kemungkaran sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Sedangkan telah datangnya pengharaman yang jelas seperti mana dalam firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.
Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445