#3096: ‘Iddah Kematian Berdasarkan Kiraan Hari atau Bulan?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai ‘iddah bagi seorang isteri kematian suami. Untuk makluman ayah saya baru bertemu dengan Sang Penciptanya pada 3 Sep 2023. Persoalannya, di mana dalam penerangan seorang isteri kematian suami tempoh ‘iddah adalah 4 bulan 10 hari. Adakah 4 bulan bermaksud mengikut kitaran bulan lengkap atau 130 hari?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Dapat difahami melalui firman Allah SWT di atas, ‘iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari. Imam Ibn Kathir menukilkan sebuah riwayat daripada Qatadah, katanya: “Aku bertanya kepada Sa‘id bin al-Musayyib: ‘Ada apa dengan tambahan 10 hari itu?’, Lalu dia menjawab: ‘Kerana ketika itulah ditiupkan roh’.”

Diriwayatkan juga daripada al-Rabi‘ bin Anas, katanya: “Aku bertanya kepada Abu al-‘Aliyyah: ‘Mengapa dijadikan 10 hari itu bersama dengan 4 bulan?’, jawab beliau: ‘Kerana ketika itu ditiupkan roh’.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/481)

Termasuklah juga di dalam bilangan ‘iddah tersebut hukum ihdad (berkabung) bagi si isteri. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ummu ‘Atiyyah R.Anha meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

‏ لاَ تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلاَ تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ وَلاَ تَكْتَحِلُ وَلاَ تَمَسُّ طِيبًا إِلاَّ إِذَا طَهُرَتْ نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ

Maksudnya: “Janganlah seorang wanita itu berihdad (berkabung) ke atas si mati melebihi tiga hari melainkan ke atas suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Dan janganlah dia memakai pakaian bercorak dan berwarna-warni melainkan pakaian yang berwarna putih dan dia juga tidak boleh bercelak serta memakai wangian. Adapun ketika haid maka diperbolehkan baginya untuk mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain untuk menghilangkan bau tidak enak.”

Riwayat Muslim (938)

Imam Ibn Kathir menyebutkan, al-Ihdad (الإِحْدَادُ) bererti meninggalkan perhiasan seperti berwangi-wangian, mengenakan pakaian serta perhiasan yang menarik pasangan. Inilah yang diwajibkan dalam tempoh ‘iddah kematian suami secara sebulat suara. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/482)

Rahsia  ‘Iddah Kematian Selama 4 Bulan 10 Hari

Allah SWT pastinya tidak menjadikan sesuatu hukum syara‘ itu dengan sia-sia tanpa sebarang hikmah dan rahsianya yang tersendiri, dan tidaklah kita mengetahui rahsia Allah SWT ini secara tepat dan terperinci melainkan Dia jualah yang lebih mengetahuinya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

 وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: “Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah: 216)

Dan juga dalam firman Allah SWT:

وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

(Surah al-Isra’: 85)

Sebahagian ulama’ cuba menyebutkan hikmah yang zahir daripada tempoh ‘iddah ini, antaranya seperti yang dinukilkan daripada Sa‘id bin al-Mussayyib, Abu al-‘Aliyyah dan selain mereka, hikmah dijadikan tempoh ‘iddah kematian selama 4 bulan dan 10 hari kerana berkemungkinan terdapatnya kandungan dalam rahim si isteri, apabila ditunggu selama tempoh ini boleh jadi akan terzahir (perut membesar kerana mengandung) jika benar si isteri mengandung. Ini berdasarkan hadith tentang penciptaan manusia yang diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ خَلْقَ أَحَدِكُمْ يُجْمَعُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا وَأَرْبَعِينَ لَيْلَةً، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَهُ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَهُ، ثُمَّ يُبْعَثُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فَيُؤْذَنُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ، فَيَكْتُبُ رِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَعَمَلَهُ وَشَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ ثُمَّ يَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ

Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat perkara, lalu dia menuliskan amalnya, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya, kemudian ditiupkan roh kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (7454) dan Muslim (2643)

Maka kiraan 40 hari sebanyak 3 hari itu bersamaan dengan 4 bulan, dan tambahan sebanyak 10 hari pula adalah sebagai langkah behati-hati kerana boleh jadi terdapat beberapa bulan yang sedikit (bilangan harinya), dan ia juga agar (dapat dilihat) terzahirnya pergerakan janin yang telah ditiupkan roh. (Lihat Tafsri al-Quran al-‘Azim, 1/481)

‘Iddah Kematian Berdasarkan Kiraan Bulan Islam

Berdasarkan ijtihad ulama’ terdahulu terhadap hikmah dan rahsia tempoh ‘iddah kematian ini juga kami katakan, tempoh yang tepat untuk diikut ketika sedang menjalani ‘iddah kematian adalah selama 4 bulan dan 10 hari. Ia tidak semestinya bertepatan dengan kiraan 130 hari kerana yang zahir dalam nas syara‘ adalah kiraan tempoh ‘iddah mengikut bilangan bulan bersama 10 hari tambahan. Dan yang lebih tepat juga adalah tempoh ‘iddah itu berdasarkan bulan Qamariyyah, yakni bulan-bulan Islam.

Disebutkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa, pengiraan bulan ‘iddah untuk talak, fasakh atau kematian adalah berdasarkan bulan Qamariyyah (bulan Islam) dan bukan Syamsiyyah (kiraan masihi).

Sekiranya talak atau meninggal ketika hilal (bulan sabit yang menandakan permulaan bulan baru), maka kiraan bukan berdasarkan al-ahillah (kiraan bulan lengkap). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

۞ يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.”

(Surah al-Baqarah: 189)

(Kiraan berdasarkan bulan itu) meskipun bilangan harinya sedikit. Hal ini kerana Allah SWT memerintahkan untuk menjalani ‘iddah berdasarkan kiraan bulan, seraya berfirman:

فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ

Maksudnya: “maka ‘iddahnya ialah tiga bulan.”

(Surah al-Talaq: 4)

Dan juga firman Allah SWT:

أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ

Maksudnya: “selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Oleh yang demikian, wajib mengikut kiraan bulan, meskipun bulan tersebut terdapat 30 hari atau kurang.

Sekiranya perpisahan atau meninggal berlaku pada pertengahan bulan, maka di sini terdapat 2 pandangan menurut fuqaha’:

Pertama: Tempoh ‘iddah pada bulan pertama dikira berdasarkan hari, dan bulan-bulan seterusnya berdasarkan bulan yang lengkap. Ini adalah pandangan ulama’ Mazhab Maliki, Hanbali dan Syafi‘i.

Mereka berhujjah dengan mengatakan bahawa Allah SWT menjadikan al-hilal (bulan sabit) sebagai tanda untuk mengetahui waktu (permulaan bulan baru). Maka kiraan bulan ditukar (daripada melihat kepada bulan) kepada kiraan hari apabila terdapat keuzuran untuk menentukan 1 bulan lengkap.

Kedua: Tempoh ‘iddah dikira berdasarkan hari sepenuhnya, iaitu sebanyak 130 hari. Ini merupakan salah satu pandangan Imam Abu Hanifah, dan juga al-Qadhi Abu Yusuf al-Hanafi.

Hujjah mereka adalah, sekiranya satu bulan tidak dapat ditentukan berdasarkan al-hilal, maka bulan lain juga begitu. Ia diqiaskan kepada masalah orang yang mula puasa sebanyak 2 bulan (sebagai bayaran diyah). Jika dikira dengan kiraan hari sahaja, maka mungkin akan terlebih sedikit tempoh ‘iddah. Dan jika dikira berdasarkan al-hilal, mungkin akan berkurangan tempoh ‘iddah. Maka didahulukan kiraan ‘iddah melebihi tempoh sebagai langkah berhati-hati. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/315-316)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan hujjah bagi setiap pandangan yang kami bawakan di atas, kami cenderung memilih pandangan yang mengutamakan kiraan berdasarkan al-hilal kerana ia lebih menepati nas-nas syara‘.

Maka kiraan ‘iddah kematian perlu berdasarkan kiraan bulan Qamariyyah atau bulan Islam. Dan terdapat dua keadaan dengan cara kiraannya:

  • Jika kematian itu berlaku pada awal bulan, maka kiraan tempoh ‘iddah perlu berdasarkan al-hilal atau mengikut kalender bulan-bulan Islam sepenuhnya.
  • Jika kematian itu berlaku pada pertengahan bulan, maka kiraan tempoh ‘iddah pada bulan pertama sahaja dilakukan berdasarkan kiraan hari, manakala bulan-bulan seterusnya berdasarkan al-hilal atau mengikut kalender bulan-bulan Islam sepenuhnya.

Semoga dengan pencerahan ringas ini dapat memberikan kefahaman kepada para wanita di luar sana yang perlu menjalani tempoh ‘iddah ini, dalam masa yang sama menambahkan lagi kefahaman kita terhadap hukum syara‘.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445