#3097: Jeluak Bayi Terkena Pakaian Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah jeluak bayi yang terkena pada pakaian itu sah untuk solat? Atau hukumnya sama dengan muntah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif jeluak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jeluak adalah berbunyi sewaktu hendak muntah atau diertikan juga sebagai muntah (kerana terlalu kenyang).[1] Jadi, jeluak ialah nama lain bagi muntah.

Berkenaan hukumnya pula, secara umumnya hukumnya dibezakan berdasarkan kepada dua keadaan. Keadaan pertama, muntah atau jeluak itu keluar dari perut dalam keadaan sudah berubah sifatnya daripada sifat makanan (asalnya); dari segi rasa, warna dan bau. Ketika ini, ia dihukumkan sebagai najis. Ini adalah pendapat jumhur ulama dalam kalangan salaf dan khalaf, di antaranya imam empat mazhab, al-Zahiriyyah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim dan ramai lagi. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 1/60; Mughni al-Muhtaj, 1/79; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/102).

Tambahan lagi, dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah (4/193) dinyatakan, muntah adalah najis, sama ada daripada budak kecil atau orang dewasa; kerana ia adalah makanan yang telah berubah menjadi benda yang rosak (busuk) di dalam perut, menyerupai tahi dan darah. Oleh itu, jika ia terkena pakaian atau benda lain, wajib untuk mencucinya dengan air dengan menggosok dan memerahnya sehingga hilang ‘ain najisnya dan sebahagian daripadanya, dan tempat tersebut menjadi suci.

Keadaan kedua, muntah atau jeluak itu keluar dari dalam perut dalam bentuk makanan (asalnya) tanpa mengalami perubahan. Berkenaan hukumnya, para ulama berbeza pendapat mengenainya. Pendapat pertama, jumhur ulama berpendapat, ia adalah najis. Manakala pendapat kedua iaitu ulama Malikiyyah berpendapat, ia dalam keadaan ini adalah suci — bukan  najis.  (Lihat al-Hattab ‘ala Mukhtasar Khalil, 1/94; Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 1/70).

Malah al-Qarafi (dalam kalangan ulama Malikiyyah) jelas menyebutkan bahawa muntah adalah suci jika ia keluar dalam bentuk makanan (asalnya). (Lihat al-Zakhirah, 1/185).

Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa kenajisan muntah adalah disepakati oleh para ulama, tidak kira ia muntah manusia mahupun muntah haiwan. Begitu juga tidak kira muntah itu keluar dalam keadaan sudah berubah ataupun belum lagi berubah. Namun, terdapat pendapat menyatakan, jika muntah itu keluar dalam keadaan tidak berubah (dari sifat makanannya), maka ia adalah suci, dan ini merupakan pendapat mazhab Imam Malik. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/551).

Perbahasan lanjut mengenai kenajisan muntah bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Kenajisan Muntah.” Kami telah membahaskannya secara panjang lebar dalam artikel berkenaan.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, berdasarkan kepada pendapat dalam perbahasan mengenai kenajisan muntah atau jeluak yang keluar dalam keadaan bentuk makanan (asalnya) tanpa mengalami perubahan, dalam hal muntah bayi, terdapat sebahagian ulama berpendapat, jika ia mengalami perubahan, misalnya susu yang keluar dari mulut selepas diminum telah berubah warna dan baunya, maka ia dianggap sebagai najis. Akan tetapi jika susu itu keluar dan belum lagi mengalami perubahan pada sifatnya, seolah-olah ia seperti baru sahaja dihisap, maka ia dianggap suci.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti bahawa apa yang keluar dari seorang bayi tidak terlepas daripada dua keadaan.

Keadaan pertama: Apabila ia berubah setelah sampai ke dalam perut bayi, maka ketika ini ia mengambil hukum muntah dan ia adalah najis. Sebagai contoh, jika kamu memberinya susu dan dia muntahkan semula susu tersebut bersama dengan lendir yang sudah mengalami perubahan pada sifat dan baunya, maka ini dikira sebagai najis.

Keadaan kedua: Apabila yang keluar tidak mengalami perubahan dalam sifatnya. Contohnya, jika bayi masih baru dalam proses penyusuan, kemudian ia memuntahkan susu tanpa mengalami perubahan pada sifatnya, maka ia dianggap sebagai suci. Ini adalah situasi yang biasa disebut sebagai “qals” (القلس), di mana bayi memuntahkan sebahagian daripada susu yangdia telah minum semasa penyusuan, biasanya disebabkan oleh lebihan susu dalam perut bayi selepas kekenyangan. Apa yang dikeluarkan oleh bayi sama ada bayi lelaki atau perempuan ketika mereka kenyang selepas minum susu, dan seumpama dengannya, dianggap suci. (Lihat Syarh Zad al-Mustaqni‘, 22/18).

Selain itu, perkara ini juga ada disebutkan oleh Ibn al-Qayyim, iaitu berkenaan bayi yang sering muntah, dan kebiasaannya orang ramai tidak membersihkan mulut bayi selepas muntah. Oleh itu, adakah air liur bayi turut dianggap sebagai najis kerana perkara itu?

Ibn al-Qayyim menyatakan, permasalahan ini termasuk dalam umum al-balwa.[2] Sesungguhnya Syarak mengetahui bahawa bayi sering muntah, dan tidak mungkin untuk membersihkan mulutnya. Air liurnya akan terus mengalir kepada orang yang menjaga dan mendukungnya, dan Syarak tidak pula memerintahkan untuk membersihkan pakaian disebabkan oleh hal tersebut, mahupun melarang daripada mendirikan solat dengan memakainya atau memerintahkan supaya berjaga-jaga dengan air liur bayi.

Sekelompok fuqaha berpendapat, ini termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan disebabkan oleh kesukaran (untuk mengelakkannya) dan keperluan, seperti tanah di jalan-jalan, najis selepas istijmar,[3] dan najis di bahagian bawah khuf dan kasut selepas memijak tanah.

Syeikh kami (guru kami) dan selainnya daripada kalangan ashab berpendapat, bahkan air liur bayi itu sendiri telah membersihkan mulutnya kerana keperluan, sama seperti air liur kucing yang dianggap membersihkan mulutnya. Nabi SAW telah memberitahu bahawa air liur kucing tidak najis, dalam keadaan diketahui bahawa kucing itu memakan tikus (bangkai) dan sebagainya. Oleh itu, Abu Qatadah memahami dari situ bahawa mulut kucing dan air liurnya adalah suci. Jadi, air liur telah membersihkan mulut kucing dan mulut bayi kerana keperluan. (Lihat Tuhfah al-Maudud bi Ahkam al-Maulud, hlm. 218).

Tambahan lagi, sebahagian ulama yang menganggap muntah sebagai najis juga ada memberikan pengecualian dalam kes-kes tertentu apabila keadaan sukar dijaga, maka hukumnya adalah dimaafkan. Ulama Syafi‘iyyah berpendapat, jika seseorang yang dibalakan (menerima ujian kesukaran) dengan kerapnya muntah, maka dimaafkan muntah pada baju dan badan, tetapi tetap menajiskan jika masuk ke dalam air, seperti darah kutu. Yang dimaksudkan sebagai dibalakan itu ialah keadaan yang menjadikan banyak dan kerap wujudnya sehingga kurangnya keadaan yang sunyi daripada selainnya. Hal yang sama juga diqiyaskan tentang mulut bayi yang muntah kemudian menyusu ibunya, maka muntah yang berbaki dalam mulut itu tidak menajiskan tubuh ibunya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah, 34/86), al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/49).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa seseorang yang diuji dengan kerapnya muntah seperti bayi yang kerap muntah termasuk dalam perkara yang dimaafkan jika terkena pada badan dan bajunya, atau terkena baju ibu ayah atau sesiapa sahaja yang memeliharanya, dalam kadar yang sedikit pada uruf kerana kesukaran menjaga diri daripada terkena najis tersebut. Begitu juga sah mendirikan solat dengan memakai pakaian yang terkena jeluak tersebut pada kadar yang sedikit mengikut uruf. Hal ini kerana ia termasuk dalam perkara ‘umum al-balwa dan najis yang dimaafkan kerana kesukaran untuk mengelakkan daripada terkenanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=jeluak. Diakses pada 7 September 2023.

[2] Iaitu sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku serta sukar dielakkan.

[3] Beristinja’ dengan menggunakan batu

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445