#31: Ucapan Rib’i bin ‘Amir kepada Rustum

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya pernah terbaca berkenaan kisah peperangan al-Qadisiyyah, di mana berlaku pertembungan antara tentera Islam dan Parsi. Dalam peperangan tersebut juga, belaku pertemuan antara beberapa duta Islam dengan Rustum (pemimpin tentera Parsi), dan salah seorangnya ialah Rib’i bin Amir.  Boleh kisahkan kepada kami ucapan  Rib’i Ibn ‘Amir apabila bertemu dengan Rustum?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Latar Belakang Peperangan al-Qadisiyyah

Peperangan al-Qadisiyyah telah berlaku pada tahun ke-14 Hijrah. Peperangan ini menyaksikan pertempuran yang sangat hebat di antara tentera Islam di era pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA dan dipimpin oleh panglima perang yang disegani, Sa’ad bin Abi Waqqas RA, bertembung dengan tentera Parsi yang dipimpin oleh Rustum bin Farrukhzad al-Armani.[1]

Kekuatan tentera Islam yang menyertai peperangan ini dianggarkan seramai sekitar 30,000 sehingga 36,000 orang, yang mana 300 lebih daripada mereka adalah para sahabat Nabi SAW, 70 lebih daripada mereka adalah di kalangan ahli Badar, dan sejumlah 700 orang anak-anak para Sahabat RadhiyaAllahu ‘anhum.[2]

Tentera Parsi yang terlibat dalam peperangan ini adalah dalam sekitar 80,000 orang. Riwayat lain mengatakan tentera Parsi adalah seramai 120,000 orang berserta 33 ekor gajah.[3]

Dalam peperangan ini, Sa’ad bin Abi Waqqas RA tidak dapat menyertai tentera Islam untuk berperang secara langsung kerana keuzuran yang menimpanya. Dia telah memberi arahan kepada tentera Muslimin daripada Istana lama yang mana dia berehat di dalamnya.[4]

Sebelum Tercetusnya Peperangan

Ketika mana kedua-dua tentera sudah bersedia untuk bertempur, Rustum telah meminta dihantar kepadanya seorang yang bijak dan berilmu di kalangan tentera Islam untuk berdialog dengannya. Maka, Sa’ad RA menghantar al-Mughirah bin Syu’bah RA.

Ketika dialog antara mereka berdua sedang berjalan, Rustum telah mencuba untuk memujuk al-Mughirah RA agar mereka tidak diserang dengan mengatakan mereka adalah jiran kepada umat Islam dan tidak melakukan kejahatan terhadap umat Islam, bahkan tidak menghalang umat Islam dari masuk dan berniaga di negara mereka. Al-Mughirah RA menjawab bahawa umat Islam tidak mengejar dunia, tetapi ingin menyeru kepada Islam dan mentauhidkan Allah seterusnya menerangkan asas-asas Islam kepada Rustum. Jika mereka tidak mahu menerima Islam, maka mereka perlu membayar jizyah kepada kerajaan Islam.

Penerangan dan dakwah yang disampaikan oleh al-Mughirah serta tawaran yang diberikan telah menarik minat Rustum. Selepas sesi dialog tersebut, Rustum berbincang dengan pembesar-pembesar kaumnya tentang perkara tersebut, namun mereka menolak untuk memeluk agama Islam ataupun membayar jizyah kepada kerajaan Islam.[5]

Kemudian, Sa’ad RA mengutus Rib’i bin ‘Amir RA pada hari berikutnya, seterusnya Huzaifah bin Mihsan RA dan yang terakhir, sekali lagi Sa’ad mengutuskan al-Mughirah RA untuk berdialog serta menyampaikan mesej Islam kepada Rustum dan pembesar-pembesarnya. Namun, Rustum dan pembesar-pembesarnya menolak untuk menerima Islam atau membayar jizyah kepada kerajaan Islam.[6]

Biografi Rib’i ibn ‘Amir

Nama sebenarnya, Rib’i ibn ‘Amir ibn Khalid ibn ‘Amar al-Usaidi al-‘Amrawi al-Tamimi, salah seorang panglima tentera Islam dalam pembukaan Iraq. Beliau termasuk daripada kalangan bangsawan Arab. Rib’i ibn Amir sempat bertemu dengan Nabi SAW dan menyertai pembukaan kota Damsyiq. Begitu juga Peperangan Nahawand. Beliau sama-sama pergi ke Qadisiyah. Surat Saidina Umar yang dikirim kepada Abi Ubaidah al-Jarrah supaya menggerakkan tentera ke Negeri Iraq, salah seorang panglimanya adalah Rib’i ibn Amir.

Pertemuan dan Ucapannya Ketika Bertemu Rustum

Kisah pertemuannya dengan Rustum telah diceritakan oleh Ibn Kathir dalam kitab Tarikhnya yang masyhur, al-Bidayah wa al-Nihayah. Sebelum terjadi peperangan Qadisiyah antara tentera Muslimin pimpinan Sa’ad bin Abi Waqqas R.A dengan tentera Parsi pimpinan Rustum, Sa’ad terlebih dahulu mengirim utusan kepada Rustum beberapa kali. Di antara utusan tersebut adalah Rib’i bin ‘Amir R.A.

Maka Rib’i pun pergi dan menemui Rustum. Mereka telah menghiasi pertemuan itu dengan hamparan bantal yang dijahit dengan benang emas, serta permaidani-permaidani dari sutera. Mereka menzahirkan kekayaan mereka dengan berbagai jenis perhiasan berupa permata yaqut, permata-permata yang mahal, dan perhiasan lain yang mengaburi mata. Rustum memakai mahkota dan duduk di atas singgahsana daripada emas.

Ia amat jauh berbeza keadaannya dengan Rib’i. Beliau masuk dengan hanya memakai baju yang sangat sederhana, dengan pedang, perisai dan kuda yang pendek. Rib’i tetap di atas kudanya sehingga menginjak hujung permaidani. Kemudian beliau turun dan mengikatkan kuda tersebut di sebahagian bantal-bantal yang terhampar. Setelah itu beliau lantas masuk dengan senjata, baju besi, dan penutup kepalanya.

Mereka berkata, “Letakkan senjatamu!” Beliau menjawab, “Aku tidak pernah berniat datang kepadamu tetapi kamulah yang mengundangku datang ke mari. Jika kamu memerlukan aku maka biarkan aku masuk dalam keadaan seperti ini. Jika kamu tidak izinkan, maka aku akan segera kembali.” Lantas Rustum berkata, “Biarkan dia masuk.” Maka Rib’i datang sambil bertongkat dengan tombaknya dalam keadaan posisi hujung tombak ke bawah sehingga menyebabkan bantal-bantal yang dilaluinya penuh dengan lubang-lubang bekas tombaknya.

Mereka bertanya, “Apakah yang membuatkan kamu datang ke sini?”

Beliau menjawab:

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، فَأَرْسَلَنَا بِدِينِهِ إِلَى خَلْقِهِ لِنَدْعُوَهُمْ إِلَيْهِ، فَمَنْ قَبِلَ ذَلِكَ قَبِلْنَا مِنْهُ وَرَجَعْنَا عَنْهُ، وَمَنْ أَبَى قَاتَلْنَاهُ أَبَدًا حَتَّى نُفْضِيَ إِلَى مَوْعُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka sesiapa yang menerima perkara tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi sesiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya sehinggalah kami berjaya memperoleh apa yang dijanjikan Allah SWT.”[7]

Seterusnya, mereka bertanya, “Apa yang dijanjikan Allah (kepada kamu)?” Rib’i ibn Amir menjawab, “Syurga bagi sesiapa sahaja yang mati dalam memerangi orang-orang yang enggan dan kemenangan bagi yang hidup.”

Rustum pun berkata, “Sesungguhnya aku telah mendengar perkataan-perkataan kamu. Tetapi bolehkah kamu memberi penangguhan perkara ini sehingga kami mempertimbangkannya dan kamu pun mempertimbangkannya?”

Rib’i menjawab, “Ya, berapa lama masa yang kamu mahu? Sehari atau dua hari?” Rustum menjawab, “Tidak, tetapi sehingga kami menulis surat kepada para pemimpin kami.”

Maka Rib’i pun berkata, “Rasul kami tidak pernah mengajarkan kepada kami untuk menangguhkan peperangan semenjak bertemu musuh lebih daripada tiga (hari). Maka pertimbangkanlah perkaramu dan mereka, dan pilihlah satu daripada tiga pilihan apabila masa penangguhan telah berakhir.”

Rustum bertanya, “Adakah kamu pemimpin mereka?” Beliau menjawab, “Tidak, tetapi kaum muslimin ibarat jasad yang satu. Yang paling rendah dari mereka dapat memberikan jaminan keamanan terhadap yang paling tinggi.”

Akhirnya Rustum mengumpulkan para pemimpinnya kemudian berkata, “Pernahkah kamu melihat (walau sekali) yang lebih mulia dan lebih benar dari perkataan lelaki ini?” Mereka menjawab, “Kami minta perlindungan Allah supaya engkau tidak terpengaruh kepada sesuatu dari (ajakan) ini dan dari menyeru agamamu kepada (agama) anjing ini. Tidakkah engkau melihat kepada pakaiannya?”

Rustum menjawab:

وَيْلَكُمْ لَا تَنْظُرُوا إِلَى الثِّيَابِ، وَانْظُرُوا إِلَى الرَّأْيِ وَالْكَلَامِ وَالسِّيرَةِ، إِنَّ الْعَرَبَ يَسْتَخِفُّونَ بِالثِّيَابِ وَالْمَأْكَلِ، وَيَصُونُونَ الْأَحْسَابَ

Maksudnya: “Celaka kamu! Janganlah kamu melihat kepada pakaian. Akan tetapi lihatlah kepada pendapat, perkataan, dan jalan hidupnya! Sesungguhnya orang ‘Arab menganggap ringan masalah pakaian dan makanan. Tetapi mereka menjaga harga diri mereka.”[8]

Begitulah keberanian dan jelasnya matlamat yang ditunjukkan oleh para Sahabat R.Anhum dalam menegakkan dan mempertahankan syiar Islam. Ini hanyalah beberapa catatan ringkas mengenai kisah peperangan agung di dalam sejarah Islam, iaitu peperangan al-Qadisiyyah serta beberapa pengajaran dan iktibar di sebalik peristiwa ini. Kami mengesyorkan kepada semua umat Islam untuk membaca, menganalisis dan meneliti kisah dan pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa peperangan al-Qadisiyyah.

Untuk mengetahui kisah peperangan al-Qadisiyyah dengan lebih mendalam dan terperinci, kami ingin mencadangkan beberapa buah kitab yang ada membicarakan secara khusus tentang peperangan ini:

  • Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah karangan al-Hafiz ibn Kathir, jilid ke-9, muka surat 618 sehingga 635.
  • Kitab Tarikh ar-Rusul wa al-Muluk (Tarikh al-Tobari) karangan Imam ibn Jarir al-Tobarijilid ke-3, muka surat 477 sehingga 579.
  • Kitab al-Kamil fi at-Tarikh karangan Imam ‘Izzudin ibn al-Athir, jilid ke-2, muka surat 284 sehingga 316.

Semoga peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam dapat kita ketahui dengan sebaiknya, seterusnya mampu menjadikannya sebagai satu iktibar dan pengajaran untuk kita teladani serta sebagai suatu motivasi buat seluruh umat Islam di masa kini yang menghadapi pelbagai ujian dan tekanan daripada pelbagai aspek.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H

[1] Lihat Tarikh al-Tabari, 3/487

[2] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/616; Tarikh al-Tabari, 3/487

[3] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/619

[4] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/629

[5] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/621

[6] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/622-623

[7] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/623; Tarikh al-Umam wa al-Muluk2/402, Hayat al-Sahabah, 1/259

[8] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/623; Tarikh al-Umam wa al-Muluk2/402, Hayat al-Sahabah, 1/259