Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin mendapatkan pengesahan tentang sya‘ir al-Rifa‘ie yang trending di tiktok, amat lunak dan menarik alunannya. Apakah ini boleh? Bimbang terikut-ikut perkara yang tidak jelas dan dibenarkan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ubai bin Ka‘b R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ مِنَ الشِّعْرِ حِكْمَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya di antara syair itu ada yang memiliki hikmah (pelajaran).”
Riwayat al-Bukhari (6145)
Imam Syihab al-Din al-Qastallani menyebutkan bahawa, dalam sya‘ir itu terkadang terdapat kalam yang benar dan bertepatan dengan kebenaran. Dikatakan juga bahawa yang dimaksudkan adalah dalam sya‘ir itu terdapat kalam yang bermanfaat dan menghalang dari kejahilan serta dungu. Sekiranya pada sesuatu sya‘ir itu terdapat hikmah seperti peringatan dan perumpamaan yang memberikan manfaat kepada manusia, maka tidak syak lagi dibolehkan untuk mendendangkan sya‘ir tersebut. (Lihat Irsyad al-Sari, 9/89)
Dalam pada itu, Rasulullah SAW juga memberikan perumpamaan sebagai bentuk peringatan agar ummat Islam tidak terlalu leka dan menyibukkan diri dengan mendendangkan sya‘ir sahaja sehingga lupa pada perkara yang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لِأَنْ يَمْتَلِئَ جَوْفُ أَحَدِكُمْ قَيْحًا خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمْتَلِئَ شِعْرًا
Maksudnya: “Lebih baik salah seorang daripada kamu memenuhi perutnya dengan nanah sehingga rosak perutnya daripada ia penuhi dengan sya‘ir.”
Riwayat al-Bukhari (5689) dan Muslim (4191)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani mengatakan, penyebab munculnya celaan yang cukup keras terhadap sya‘ir tersebut adalah disebabkan orang yang mendendangkan sya‘ir tersebut merupakan orang-orang yang menyibukkan diri dan menghabiskan waktunya hanya untuk bersya‘ir. Maka Rasulullah SAW melarang mereka supaya mereka kembali kepada al-Quran, berzikir, dan beribadah kepada Allah SWT. Maka sesiapa yang telah melaksanakan apa yang diperintahkan kepadanya, maka tidak mengapa sekiranya baki waktunya yang tinggal (sisa waktu yang tinggal) digunakan untuk perkara lain. (Lihat Fath al-Bari, 10/550)
Berbalik kepada persoalan utama yang diajukan, kami telah mendengar sya‘ir tersebut dan mendapati bahawa ia pada hakikatnya merupakan sya‘ir rasmi bagi sebuah institusi pengajian di Indonesia yang menggunakan nama ayah kepada pengasas pesantren tersebut, iaitu KH Achmad Rifa‘ie Basuni, yang dirasmikan pada 9 September 1999.[1]
Secara asasnya sya‘ir tersebut mengandungi banyak unsur berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan kebaikan kepada para pelajar khususnya yang menuntut di institusi pengajian tersebut. Sya‘ir ini juga mengandungi unsur bertawassul dengan kedudukan Rasulullah SAW pada awalnya, dan ia kemudiannya diakhiri dengan beberapa buah nasihat agar bersungguh-sungguh menuntut ilmu buat pelajar institusi tersebut.[2]
Sebagai pencerahan juga, para pendengar sya‘ir ini perlu tahu bahawa ia merupakan sebuah sya‘ir bagi sebuah institusi pengajian sahaja, dan ia tidaklah ditujukan buat Imam Abu al-‘Abbas Ahmad bin Abi al-Hasan ‘Ali al-Rifaʻi yang merupakan seorang tokoh besar dalam bidang tasawuf itu, akan tetapi ia sekadar nisbah kepada nama KH Achmad Rifa‘ie Basuni.
Maka, kami berpandangan bahawa tidak menjadi masalah untuk seseorang itu mendengar sya‘ir ini kerana kandungannya tidak bertentangan dengan hukum syara‘. Akan tetapi, kami sarankan agar sya‘ir yang berbentuk nasihat dan doa-doa yang warid daripada Rasulullah SAW serta ma’thur lebih diutamakan agar kita dapat beramal dengan sunnah Baginda, di samping dapat berusaha mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Manakala berkenaan isu tawassul dengan kedudukan Rasulullah SAW di sisi Allah SWT, padanya terdapat perbincangan ulama’ di antara yang membenarkannya dan melarangnya. Maka kami melihat bahawa pendekatan terbaik untuk masalah ini adalah dengan keluar daripada khilaf, dan ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الْخُرُوجُ مِنْ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya: “Keluar daripada khilaf (perbezaan pendapat) adalah dituntut.”
Syeikh Zakariyya bin Ghulam Qadir al-Pakistani meringkaskan dua syarat untuk keluar daripada khilaf yang telah disebutkan oleh ulama’:
- Perbuatan keluar daripada khilaf itu tidak menyebabkan seseorang itu meninggalkan mana-mana dalil syara‘ (yang sahih).
- Perbuatan tersebut tidak menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam khilaf yang lain. (Lihat Min Usul al-Fiqh ‘ala Manhaj Ahl al-Hadith, hlm. 182)
Imam al-Nawawi juga telah menukilkan ijma‘ – yakni persepakatan ulama’ – yang menggalakkan untuk keluar daripada khilaf, sekiranya ia tidak mengakibatkan seseorang bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW, atau menyebabkan dia terjerumus ke dalam khilaf yang lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/23)
Alangkah baiknya juga jika kita lebih mengutamakan dalam berdoa untuk bertawassul dengan nama-nama Allah SWT yang Maha Mulia, kerana mendahulukan Allah SWT dalam meminta itu merupakan tuntutan dalam Islam. Ini juga telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya sebagai tauladan untuk kita ikuti. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَسْأَلُـكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّـيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَـهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْـتَهُ أَحَداً مِنْ خَلْقِـكَ أَوِ اسْتَـأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الغَيْـبِ عِنْـدَكَ
Maksudnya: “Aku mohon kepada-Mu dengan setiap nama baik yang Engkau gunakan untuk diri-Mu, yang engkau namakan diri-Mu sendiri, atau yang Engkau turunkan di dalam kitab Engkau, atau Engkau ajarkan kepada seseorang daripada hamba-Mu, atau Engkau sembunyikan di dalam ilmu ghaib disisi Engkau.”
Riwayat Ahmad (3812), Ibn Hibban (972) dan al-Bazzar (1994)
Rasulullah SAW juga mengingatkan kita agar segala permintaan yang dilakukan hanyalah kepada Allah SWT kerana Dia jualah yang Maha Berkuasa mengabulkan semua permintaan hamba-hamba-Nya. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
Maksudnya: “Jika kamu meminta, maka mintalah kepada Allah. Jika kamu meminta pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah.”
Riwayat Imam al-Tirmizi (2516)
Semoga Allah SWT memelihara iman kita dan meletakkan dalam hati kita tauhid yang sofi dan bersih.
Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
[1] Lihat https://pondokmodernalrifaie.ponpes.id/page/sejarah-berdirinya-yayasan-pondok-modern-al-rifaie. Diakses pada 11 Sept 2023.
[2] Lihat https://vt.tiktok.com/ZSLxJsCLV/. Diakses pada 11 Sept 2023.
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445