Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah wajib untuk dihilangkan sesuatu di tangan sebelum mandi wajib? Contohnya ada sesuatu di tangan seperti terkena inai dan susah untuk dihilangkan. Ia mungkin boleh dihilangkan, tetapi ambil masa yang lama sedikit.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”
Surah al-Nisa’ (43)
Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)
Secara asasnya, antara syarat sah wudhu (dan mandi wajib) adalah tidak terdapat perkara yang menghalang air daripada terkena pada anggota wudhu’ dan mengalirkan air pada anggota yang dibasuh. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/70)
Selain itu, bukan semua bahan yang melekat pada kulit itu akan menghalang air daripada sampai ke anggota wudhu’. Imam al-Nawawi berkata:
وَلَوْ بَقِيَ عَلَى الْيَدِ وَغَيْرِهَا أَثَرُ الْحِنَّاءِ وَلَوْنُهُ دُونَ عَيْنِهِ أَوْ أثر دُهْنٍ مَائِعٍ بِحَيْثُ يَمَسُّ الْمَاءُ بَشَرَةَ الْعُضْوِ وَيَجْرِي عَلَيْهَا لَكِنْ لَا يَثْبُتُ صَحَّتْ طَهَارَتُهُ
Maksudnya: “Sekiranya berbaki pada tangan kesan inai dan warnanya tanpa ain fizikalnya, atau kesan minyak cair yang jika air menyentuh dan lalu atas anggota itu, nescaya tidak akan melekat; maka sahlah taharahnya.” (Lihat al-Majmu’, 1/467)
Al-Syarwani pula menjelaskan:
وَلَوْ كَانَ عَلَى أَعْضَائِهِ أَثَرُ دُهْنٍ مَائِعٍ فَتَوَضَّأَ وَأَمَسَّ الْمَاءَ الْبَشَرَةَ وَجَرَى عَلَيْهَا وَلَمْ يَثْبُتْ صَحَّ وُضُوءُهُ؛ لِأَنَّ ثُبُوتَ الْمَاءِ لَيْسَ بِشَرْطٍ
Maksudnya: “Sekiranya pada anggotanya terdapat kesan minyak yang cair (tidak pejal), lalu dia berwudhu’, kemudian air wudhu’ itu menyentuh dan lalu di atas kawasan anggota yang berminyak itu, sekalipun tidak melekat (kerana sifat minyak yang tidak bercampur dengan air), sah wudhu’nya. Ini kerana melekatnya air bukanlah syarat sah wudhu’.” (Lihat Hasyiyah al-Syarwani ‘ala al-Tuhfah, 1/187)
Justeru, kami katakan bahawa sekiranya inai tersebut adalah telap air, maka tiada masalah dan sah mandi wajib tersebut. Tetapi, jika ia tidak telap air, maka hukumnya adalah tidak dibolehkan.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445