#3108: Solat di Sisi Imam Kerana Saf Telah Penuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ketika solat di sesetengah surau stesen minyak, ruang suraunya agak sempit. Ada juga yang terpaksa beratur menunggu giliran untuk solat. Jadi, persoalannya, boleh tak saya solat di sebelah imam, kerana saf telah penuh, disebabkan sempitnya ruang solat itu.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, perlu kita fahami terlebih dahulu berkenaan kedudukan imam dan makmum ketika berjemaah dalam solat. Hal ini dapat dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ لَيْلَةٍ فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِرَأْسِي مِنْ وَرَائِي، فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ،

Maksudnya: “Aku telah solat bersama dengan Nabi SAW pada suatu malam, maka aku berdiri di sebelah kiri Nabi. Lalu Baginda SAW pun memegang di belakang kepalaku, dan meletakkan aku di sebelah kanan Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (726)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa daripada hadith ini, dapat diambil hukum bagaimana kedudukan apabila hanya ada seorang imam dan seorang makmum. Maka kedudukan makmum adalah di sebelah imam. Sekiranya makmum dua orang atau lebih, maka kedudukan mereka di belakang imam sepertimana yang dijelaskan: “Sekiranya hadir imam dan dua orang makmum, maka dikedepankan imam dan dua orang makmum melakukan saf di belakang.” Meskipun pendapat di atas adalah pendapat jumhur ulama’, terdapat juga ulama’ yang berlainan pendapat daripada pendapat di atas seperti Abdullah bin Mas’ud dan dia pengikutnya ‘Alqamah dan al-Aswad. Sesungguhnya mereka berkata bahawa hendaklah imam dan dua makmum semuanya duduk dalam satu saf. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/297)

Meskipun begitu, bagi makmum yang berdiri di sebelah imam hendaklah memastikan kedudukan makmum sentiasa di belakang imam, seperti yang disebut oleh Ibn Naqib: “Sekiranya tumit makmum lebih terkehadapan daripada tumit imam, maka tidak sah solatnya.” (Lihat ‘Umdah al-Salik, 1/72)

Dalam isu di atas juga, terdapat sebuah hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

وَالنَّاسُ عُكُوفٌ فِي الْمَسْجِدِ يَنْتَظِرُونَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِصَلَاةِ الْعِشَاءِ الْآخِرَةِ، قَالَتْ: فَأَرْسَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أَبِي بَكْرٍ أَنْ يُصَلِّيَ بِالنَّاسِ، فَأَتَاهُ الرَّسُولُ فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُكَ أَنْ تُصَلِّيَ بِالنَّاسِ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ وَكَانَ رَجُلًا رَقِيقًا يَا عُمَرُ صَلِّ بِالنَّاسِ، قَالَ: فَقَالَ عُمَرُ: أَنْتَ أَحَقُّ بِذَلِكَ، قَالَتْ: فَصَلَّى بِهِمْ أَبُو بَكْرٍ تِلْكَ الْأَيَّامَ، ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَدَ مِنْ نَفْسِهِ خِفَّةً فَخَرَجَ بَيْنَ رَجُلَيْنِ أَحَدُهُمَا الْعَبَّاسُ، لِصَلَاةِ الظُّهْرِ وَأَبُو بَكْرٍ يُصَلِّي بِالنَّاسِ فَلَمَّا رَآهُ أَبُو بَكْرٍ ذَهَبَ لِيَتَأَخَّرَ فَأَوْمَأَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لَا يَتَأَخَّرَ وَقَالَ لَهُمَا: «أَجْلِسَانِي إِلَى جَنْبِهِ» فَأَجْلَسَاهُ إِلَى جَنْبِ أَبِي بَكْرٍ، وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ يُصَلِّي وَهُوَ قَائِمٌ بِصَلَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ أَبِي بَكْرٍ، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ

Maksudnya:  (Pada suatu ketika, Rasulullah SAW sedang sakit). Orang ramai telah berkumpul di dalam masjid menunggu Rasulullah untuk solat Isya’. Baginda pun mengutuskan seseorang untuk menemui Abu Bakr supaya dia dapat menjadi imam solat (menggantikan Rasulullah). Maka utusan Rasulullah pun menemui Abu Bakr dan menyebut: “Rasulullah memerintahkan engkau supaya mengimamkan orang ramai dalam solat.” Abu Bakr berkata (kepada ‘Umar): “Wahai ‘Umar, solatlah bersama orang ramai (sebagai imam).” Maka ‘Umar pun menjawab: “Engkau lebih berhak untuk itu.” Maka Abu Bakr pun solat mengimamkan orang ramai untuk beberapa hari. Ketika Rasulullah merasa sedikit kebah daripada sakitnya, Baginda pun keluar dengan dipapah oleh dua orang yang salah seorangnya adalah al-’Abbas, untuk solat Zuhur.

Pada ketika itu, Abu Bakr sedang solat sebagai imam kepada orang ramai. Tatkala Abu Bakr menyedari kehadiran Rasulullah, maka beliau pun mundur ke belakang. Akan tetapi, Baginda segera memberi isyarat kepadanya agar tidak mundur, dan tetap di posisi asalnya (posisi sebagai imam). Lalu Rasulullah pun mengarahkan kepada orang yang memapahnya: “Dudukkanlah aku di sisi Abu Bakr (sejajar di sebelah imam).” Maka mereka pun mendudukkan Rasulullah di sisi Abu Bakr.

Abu Bakr ketika itu tetap solat dengan berdiri bermakmumkan Rasulullah. Dan orang di belakang pula mengikuti solat Abu Bakr, manakala Nabi ketika itu solat dalam keadaan duduk.”

Riwayat Muslim (418)

Maka, berdasarkan hadith di atas, sesiapa yang memasuki masjid atau tempat solat dan mendapati masjid telah penuh dan saf-saf telah sempurna, dia boleh masuk membelah saf menuju ke bahagian hadapan untuk mengambil posisi berdiri di sisi imam. Ini adalah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika sedang sakit seperti hadith di atas, di mana Baginda datang membelah saf hingga ke saf paling hadapan dan duduk di sisi imam (Abu Bakar). (Lihat Fiqh al-Sunnah, 2/529)

Justeru, dapat difahami bahawa tidaklah menjadi masalah untuk makmum berdiri di sebelah imam ketika surau terlalu padat dan waktu solat telah singkat. Namun, hendaklah sedaya upaya memastikan tumit makmum di belakang tumit imam.

Penutup

Sesungguhnya, solat hendaklah dilakukan dengan ilmu dan keyakinan yang penuh, berbetulan mengikut kehendak neraca syarak. Jika ini kita dapat lakukan sudah pasti solat kita akan diterima oleh Allah SWT.

Begitu juga, apabila kita ingin melakukan solat secara berjemaah, maka, hendaklah memahami fiqh solat jemaah agar ia berbetulan mengikut kehendak syarak. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445