#3109: Angkat Takbir Selepas Rakaat Kedua

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mohon bertanya tentang angkat takbir selepas rakaat kedua mengikut riwayat Ibn ‘Umar. Adakah ia bermaksud hanya untuk rakaat kedua atau maksudnya selepas tahiyyat awal? Sebab kalau masbuk pun boleh jadi rakaat pertama dia sudah tahiyat awal mengikut imam. Dia bangkit angkat takbir juga walaupun tidak sampai dua rakaat.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Nafi’, yang menceritakan perbuatan Ibn ‘Umar R.Anhuma, menyebut:

 وَإِذَا قَامَ مِنَ الرَّكْعَتَيْنِ رَفَعَ يَدَيْهِ‏.‏ وَرَفَعَ ذَلِكَ ابْنُ عُمَرَ إِلَى نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ‏.‏

Maksudnya: “Dan apabila bangun daripada rakaat kedua, beliau mengangkat kedua-dua tangannya. Ibn ‘Umar menyandarkan hadith ini sebagai marfu’ kepada Nabi SAW.”

Riwayat al-Bukhari (739)

Dalam mazhab al-Syafi’i, sunat mengangkat tangan dalam solat pada empat tempat. Hal ini dijelaskan dalam kitab-kitab Fiqh, antaranya seperti disebut dalam kitab Safinah al-Naja: Fasal (pada menyatakan): disunatkan mengangkat tangan pada empat tempat iaitu takbiratul ihram, ketika hendak rukuk, ketika i’tidal dan ketika bangun daripada tasyahhud awal. (Lihat Safinah al-Naja’, hlm. 63)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami datangkan umum hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَلاَ تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ، فَإِذَا رَكَعَ، فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا، فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ،

Maksudnya: “Dijadikan imam itu untuk diikuti, maka janganlah kamu berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, hendaklah kamu rukuk, apabila dia membaca ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’, hendaklah kamu membaca ‘رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ’. Apabila dia sujud, sujudlah kamu. Jika imam solat sambil duduk, solatlah kamu sambil duduk (hukum ini telah dimansuhkan).

Riwayat al-Bukhari (722) dan Muslim (435) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebut bahawa makmum wajib untuk mengikut imam ketika takbir, qiyam, rukuk, sujud dan lain-lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/131)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa jika seseorang ingin mengangkat takbir juga, maka tidak mengapa walaupun kedudukannya bukan pada rakaat kedua disebabkan dia masbuk. Dalam isu ini, adalah kerana dia mengikut imam.

Selain itu, masalah ini juga terdapat keluasan padanya kerana hukum mengangkat tangan itu sendiri selepas tahiyyat awal adalah termasuk dalam sunat hai’ah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445