Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya bekerja di sektor swasta yang mana saya diberi kebenaran untuk memesan apa-apa barang yang saya perlukan untuk maintenance department. Saya ada membeli beberapa barang gantian (spare part), tetapi pihak syarikat telah terlebih bayar disebabkan oleh kekeliruan dari pihak saya dan pembekal.
Persoalannya, adakah boleh untuk pembekal dan saya mengganti semula duit yang terlebih bayar itu dengan membeli barang lain seperti makanan untuk rakan-rakan sekerja tanpa pengetahuan majikan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Ganti rugi menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat didefinisikan sebagai wang atau barang untuk silihan kerugian, pampasan, yakni memberikan sesuatu atau membuat bayaran untuk mengatasi atau meluputkan kerugian yang dialami oleh seseorang dan sebagainya.
Melihat pada konteks persoalan yang dikemukakan, terdapat sejumlah peruntukan yang diberikan kepada pekerja syarikat tersebut untuk membeli kelengkapan dan keperluan bagi maintenance department seperti barang gantian (spare part) dan sebagainya. Pekerja di syarikat tersebut boleh memesan barangan yang diperlukan, dan pihak syarikat akan melunaskan bayaran dengan pihak pembekal tersebut.
Secara asasnya, persetujuan antara pihak syarikat dan saudara yang bertanya untuk menanggung pembayaran barangan yang dipesan merupakan suatu bentuk kontrak yang terbina atas perjanjian dua pihak. Islam telah mewajibkan untuk ditunaikan janji yang telah dimeterai antara dua pihak dalam apa jua bentuk kontrak.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”
(Surah al-Ma’idah: 1)
Apabila barang yang menjadi hak atau milik orang lain digunakan sama ada sengaja ataupun tidak, maka hendaklah diganti rugi oleh orang yang menggunakannya. Dalam hal ini, Imam al-Mawardi telah menyebutkan sebuah kaedah tentang ganti rugi dalam banyak tempat, katanya:
الْعَمْدِ وَالْخَطَأُ فِي ضَمَانِ الْأَمْوَالِ سَوَاءٌ
Maksudnya: “Sengaja atau tersilap dalam (masalah) ganti rugi harta, sama sahaja (hukumnya).” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 8/359)
Imam al-Syafi‘i menerangkan kadar ganti rugi yang perlu dibayar oleh orang yang bertanggungjawab terhadap sesuatu barang dengan menyatakan, sekiranya seseorang merampas sesuatu barangan makanan daripada orang lain sama ada sebutir bijian, sebiji tamar atau barang masakan, kemudian dia memakannya, maka dia perlu membayar ganti rugi dengan sesuatu yang sejenis dengannya. Sekiranya dia tidak memperoleh ganti yang sejenis, maka perlu membayar dengan nilai yang setara dengannya. (Lihat al-Umm, 3/259)
Dalam permasalahan kita ini, sekiranya saudara yang bertanya dan pihak pembekal tersilap dalam urusan membeli beberapa barang gantian (spare part) sehingga menyebabkan kerugian wang kepada pihak syarikat, maka bayaran ganti rugi yang wajib adalah dalam bentuk wang juga dan diberikan kepada pihak syarikat.
Sekiranya saudara yang bertanya tidak mendapati wang yang menyamai jumlah kerugian tersebut, maka wajib mencari sesuatu yang sama nilainya dengan jumlah kerugian tersebut jika mendapat persetujuan pihak syarikat.
Adapun membeli makanan dan membahagikannya kepada rakan-rakan sekerja, ia merupakan suatu bentuk sedekah yang amat baik. Bahkan mereka yang mempunyai sifat terpuji ini didoakan oleh malaikat, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيْهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُوْلُ أَحَدُهُمَا: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا. وَيَقُوْلُ اْلآخَرُ: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksudnya: “Tiada satu hari pun di mana seorang hamba berpagian, melainkan dua Malaikat turun kepadanya. Salah satu dari keduanya berkata: ‘Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian.’ Manakala Malaikat satu lagi berkata: ‘Ya Allah! Jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan’.”
Riwayat al-Bukhari (1442) dan Muslim (1010)
Akan tetapi, ia bukanlah cara yang tepat untuk membayar semula ganti rugi yang ditanggung oleh pihak syarikat. Hal ini kerana, pemilik harta tersebut (lebihan pembayaran yang dibuat) adalah pihak syarikat dan bukannya rakan-rakan sekerja, maka yang berhak menerima ganti rugi adalah pihak syarikat.
Kami kataka, tidak sepatutnya jika perbuatan ganti rugi itu juga dilakukan dengan cara sembunyi-sembunyi, tanpa pengetahuan pemilih hak tersebut. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW telah memberi peringatan untuk menjaga nyawa, harta dan maruah seorang muslim yang tidak boleh diganggu dan dirosakkan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ حَرامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ
Maksudnya: “Setiap muslim itu adalah haram (tidak boleh diganggu) darah, harta dan maruah kehormatannya.”
Riwayat Bukhari (6064) dan Muslim (2564)
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah dengan ikhlas semata-mata kerana-Nya.
Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445