#3115: Isteri Pertama Cemburu Dengan Kesenangan Madunya yang Lain

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kadang-kadang rasa tidak adil juga pada isteri pertama yang hidup ibarat “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” dengan suami. Tiba-tiba isteri yang kedua dan selebihnya itu hidup mewah dan senang bila berkahwin dengan si suami yang sudah stabil dari sudut kewangan dan kehidupannya. Bolehkah kalau nak bagi mereka rasa hidup susah juga sebagaimana isteri yang pertama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَىٰ فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa poligami merupakan salah satu perkara yang Allah SWT halalkan bagi para lelaki yang berkemampuan untuk menunaikan hak isteri-isterinya. Dan Allah SWT kemudiannya menyebutkan bagi mereka yang tidak mampu untuk tidak mengahwini lebih daripada seorang supaya dapat mencegah diri dari melakukan kezaliman terhadap pasangan.

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah SWT (وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا), yakni jika seorang lelaki itu takut tidak berlaku adil pada memberikan mahar kepada dan juga nafkah-nafkah yang wajib ke atasnya untuk para isteri. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/11)

Syeikh al-Sa‘di pula ketika menafsirkan firman Allah SWT (فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا) berkata, jika seseorang lelaki takut untuk tidak memperlakukan dengan adil dan dia khuatir tidak memenuhi hak-hak para isteri jika berkahwin dua, tiga atau empat, maka berpada baginya seorang sahaja atau mana-mana hamba perempuan yang dia miliki agar dia tidak menzalimi mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 163)

Kami amatlah memahami perkara ini kerana perasaan cemburu untuk berbahagi kasih adalah normal, bahkan ia merupakan sifat semulajadi yang Allah SWT telah ciptakan dalam diri manusia. Terdapat beberapa kisah yang menggambarkan perasaan cemburu isteri junjungan kita Rasulullah SAW antara satu sama lain.

Antaranya, kisah cemburu Saidatina ‘Aisyah R.Anha terhadap Saidatina Khadijah R.A. Diriwayatkan dalam sebuah hadith bahawa ‘Aisyah R.Anha berkata:

“Tidak pernah aku cemburu pada mana-mana isteri Nabi SAW seperti mana aku cemburu pada Khadijah, sedangkan aku tidak pernah bertemunya. Akan tetapi Nabi SAW sering bercerita tentangnya, dan terkadang menyembelih kambing lalu membahagikannya kepada kawan-kawan Khadijah. Aku pernah berkata kepada Baginda SAW: ‘Seperti tiada wanita lain di dunia ini melainkan Khadijah’.” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهَا كَانَتْ، وَكَانَتْ، وَكَانَ لِي مِنْهَا وَلَدٌ

Maksudnya: “Khadijah ini sekian dan sekian, dan aku dikurniakan daripadanya anak.”

Riwayat al-Bukhari (3818) dan Muslim (2435)

Adapun hal yang terkait dengan perasaan si isteri, maka ia merupakan suatu perkara yang berada di luar kemampuan suami. Maka keadilan atau kesamarataan yang dimaksudkan tidaklah termasuk dalam soal perasaan hati kerana kecenderungan hati tidak boleh dikawal. Meskipun demikian, Allah SWT memberi peringatan kecenderungan perasaan seorang suami dan kecintaannya terhadap seorang isteri tidak seharusnya membuatkan isteri-isterinya yang lain terabai.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nisa’: 129)

Diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin  ‘Aisyah R.Anha bahawa kebiasaannya Rasulullah SAW memperuntukkan hari-hari antara isteri-isteri Baginda dengan sama rata. Rasulullah SAW akan berdoa:

اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلاَ تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلاَ أَمْلِكُ

Maksudnya: “Ya Allah, Ini adalah bahagian yang aku berikan seperti yang boleh aku kawal, maka jangan salahkan aku dengan apa yang Engkau kawal, tetapi aku tidak mampu mengawalnya (iaitu perasaan).”

Riwayat Abu Dawud (2134), al-Nasa’ie (3943), al-Tirmizi (1140) dan Ibn Majah (1971). Al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif di dalam Irwa’ al-Ghalil (7/81)

Imam Ibn Ruslan menyebutkan tentang apa itu perkara yang tidak mampu dikawal oleh manusia, beliau mengatakan bahawa ia adalah perasaan kecintaan dan kebencian. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 18/566)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa tidak boleh seorang suami membiarkan isteri kedua, ketiga dan keempat merasa susah sebagaimana isteri pertama yang pernah merasa susah ketika di awal perkahwinan mereka. Hal ini kerana seorang suami wajib berlaku adil kepada semua isterinya. Tambahan pula, setiap orang itu diuji dengan cara yang berbeza, boleh jadi isteri pertama diuji dengan kesusahan ketika di awal perkahwinan, tetapi isteri-isteri yang seterusnya diuji dengan cara yang berbeza sesuai dengan kemampuan mereka. Apa yang paling penting, apabila diuji dengan kesusahan, mesti bersabar dan apabila diuji dengan kesenangan, mesti bersyukur.

Diriwayat daripada Suhaib Bin Sinan al-Rumi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ المُؤْمِنِ، إنّ أمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وليسَ ذاكَ لأَحَدٍ إلّا لِلْمُؤْمِنِ، إنْ أصابَتْهُ سَرّاءُ شَكَرَ، فَكانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرّاءُ، صَبَرَ فَكانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa suami tidak boleh membiarkan isteri merasa susah sebagaimana isteri pertama kerana suami perlu bersikap adil dari sudut tanggungjawab kepada semua isterinya. Hal ini juga kerana setiap orang itu diuji dengan cara yang berbeza, boleh jadi isteri pertama diuji dengan kesusahan ketika di awal perkahwinan, tetapi isteri-isteri yang seterusnya diuji dengan cara yang berbeza sesuai dengan kemampuan mereka. Apa yang paling penting, apabila diuji dengan kesusahan, mesti bersabar dan apabila diuji dengan kesenangan, mesti bersyukur.

Adapun perihal perasaan hati dan rasa cemburu, maka ia di luar kemampuan suami, dan ia juga tidaklah termasuk dalam keadilan dan kesamarataan yang dimaksudkan oleh syara’. Antara cara yang para isteri perlu lakukan untuk menghilangkan rasa cemburu itu adalah dengan sentiasa bersyukur dan redha dengan segala pemberian dan nikmat yang Allah berikan kepadanya.

Meskipun begitu, bagi mengekalkan keharmonian rumahtangga, suami perlu bijak menjaga perasaan setiap isteri agar tidak ada di antara mereka yang merasa seakan disisih. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A:

اتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kalian dengan kalimah Allah… dan menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”

Riwayat al-Nasa’ie (9135)

Perkahwinan itu matlamatnya bukanlah membahagiakan satu pihak sahaja bahkan semua pihak yang terlibat. Nasihat saya, berbincanglah sebaiknya antara pasangan. Banyak contoh kehidupan poligami yang bahagia. Banyak juga contoh  kehidupan poligami yang membawa sengsara. Sunnahnya poligami itu bukan semata-mata melihat kepada bilangan tetapi kemampuan untuk menterjemahkan roh rumahtangga Nabawi dalam kehidupan masa kini.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebahagian di dalam rumahtangga dan memberikan kita kefahaman dalam memahami dan mengamalkan agama ini. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445