#3119: Hukum Pekerjaan Yang Diperoleh Melalui Bantuan Orang Lain Ketika Ujian Kelayakan

Soalan:

Assalamualaikum dr. Didoakan Dr dalam keadaan sihat hendaknya. Saya ingin bertanya 1 soalan. Pada tahun lepas saya telah update permohonan jawatan kerajaan (SPA9) suami saya. Tidak lama kemudian dia telah ditawarkan ujian PSEE (ujian psikometrik secara atas talian) bagi jawatan tersebut. Tetapi suami saya meminta saya menjawabnya. Disebabkan saya bekerja pejabat, maka saya menjawabnya. Alhamdulillah lulus ujian tersebut & tidak lama kemudian suami saya menghadiri ujian kecergasan & temuduga bagi jawatan tersebut. Alhamdulillah lulus juga. Baru-baru ini suami saya telah ditawarkan jawatan tersebut & dia menerima serta akan melapor diri tidak lama lagi. Soalannya, memandangkan saya yang menjawab soalan PSEE tersebut, apakah dibolehkan? Kerana suami yang meminta atas alasan dia tidak pandai menjawab. Apakah hukumnya apabila dia bekerja dengan jawatan tersebut. Gaji yang diperolehinya itu halal dan berkat? Mohon jawapan & pandangan dari Dr. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah: 2)

Ayat di atas menerangkan tentang larangan Allah SWT untuk melakukan perkara yang boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara yang kemungkaran seperti meninggalkan suruhan Allah SWT, melakukan perkara yang dilarang serta segala bentuk yang boleh membantu ke arah kemungkaran dan maksiat. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490; Ma’alim al-Tanzil, 2/9; Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/13-14)

Syeikh al-Sobuni ketika menafsirkan ayat di atas mengatakan, bertolong-tolonganlah dalam perkara kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Menurut Syeikh al-Maraghi, isu bantu-membantu dalam melaksanakan sesuatu kebajikan dan ketakwaan adalah merupakan salah satu sendi utama dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sempurna seperti mana yang dianjurkan di dalam al-Quran. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa memberi pertolongan dalam mana-mana urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan ini termasuklah sesama individu ataupun masyarakat dalam soal kehidupan dunia mahupun kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)

Menjawab persoalan di atas, kami ingin menekankan bahawa tindakan tersebut tetap dianggap sebagai pelanggaran undang-undang. Walau bagaimanapun, memandangkan suami saudari telah melepasi tahap kedua dan ditawarkan pekerjaan, kami berpendapat bahawa menerima pekerjaan tersebut mungkin tidak menjadi masalah, akan tetapi hendaklah  bertaubat dan  tidak mengulanginya lagi. Ini kerana kita diperintahkan untuk bersikap jujur dalam melakukan apa-apa perkara. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094)

Al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu.( Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160).

Selain itu, Tugas yang dijalankan semasa kerja hendaklah dilakukan dengan penuh cemerlang, tanggungjawab dan amanah. Sebagai pemegang amanah, hendaklah menunaikannya dengan sebaik mungkin. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”

(Surah al-Mukminun:8)

Begitu juga hadith yang telah diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).

Kami juga ingin berpesan agar mengeluarkan zakat daripada gaji yang diterima daripada pekerjaan tersebut, sekiranya telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Selain itu, kami sangat mendorong untuk memberikan bantuan dalam perkara-perkara kebajikan, seperti membantu golongan-golongan yang kurang berkemampuan. Dengan berbuat demikian, kita bukan sahaja menjalankan tanggungjawab agama, tetapi juga memberi sumbangan yang berharga kepada masyarakat yang memerlukan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.

Wallahua’lam

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445