#3121: Memakai Baju Bertulis Kalimah Allah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bolehkah kita memakai baju yang bertulis kalimah Allah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan yang diajukan, suka untuk kami sebutkan terlebih dahulu tentang kemuliaan Lafz al-Jalalah (الله). Kebanyakan ulama’ Islam berpandangan bahawa nama Allah adalah nama yang paling agung, di mana jika lafaz tersebut diseru ketika berdoa, maka doanya dikabulkan, dan jika memohon, maka permohonannya akan diperkenankan.

Imam al-Ghazali menyebutkan, lafaz ‘Allah’ adalah nama Allah SWT yang paling agung daripada semua 99 al-Asma’ al-Husna, kerana lafaz itu menunjukkan Zat Ketuhanan yang mencakupi padanya Sifat Ketuhanan seluruhnya, tanpa terkecuali satu pun. Antara bukti keistimewaan lafaz Allah adalah:

  • Ia Nama Allah yang paling banyak disebut dalam al-Quran.
  • Ia disebut oleh Nabi SAW dalam hadithnya sebagai al-Ism al-A‘zam (الاسْمُ الْأَعْظَم)
  • Segala Nama Allah pasti merujuk atau kembali kepada Zat Allah.
  • Jika diseru lafaz Allah, seolah-olah menyeru dengan semua Nama Allah yang lain.
  • Allah telah mengikat hati dan lisan semua manusia dengan Nama Allah.
  • Segala perkara yang baik jika diawali dengan menyebutnya akan mendapat berkah.
  • Lafaz Allah telah dikenali dan diperakui oleh semua umat manusia tanpa kecuali.
  • Jika lafaz tersebut diangkat dari permukaan bumi, maka akan berlakulah Kiamat. (Lihat al-Maqsad al-Asna, hlm. 37; Dengan Nama Allah, hlm. 9-10)

Berbalik kepada persoalan utama, hukum memakai baju yang mempunyai kalimah Allah SWT adalah dibolehkan. Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri mempunyai cincin yang diukir padanya kalimah ‘Allah’, sepertimana dalam riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik R.A, katanya:

كَانَ نَقْشُ خَاتَمِ النَّبِيِّ ﷺ ثَلاَثَةَ أَسْطُرٍ مُحَمَّدٌ سَطْرٌ وَرَسُولُ سَطْرٌ وَاللَّهِ سَطْرٌ

Maksudnya: “Adalah ukiran pada cincin Nabi S.A.W terdapat tiga baris. Baris yang pertama tertulis kalimah Muhammad. Baris yang kedua tertulis kalimah Rasul dan baris yang ketiga tertulis kalimah Allah.”

Riwayat Al-Tirmizi (1748)

Berdasarkan riwayat di atas, maka diharuskan bagi seseorang itu untuk memakai cincin yang tertera padanya kalimah Allah atau Rasulullah, dan diqiaskan ke atasnya hukum memakai baju yang bertulis padanya  kalimah Allah. Ini selama mana dia memeliharanya dari perkara-perkara yang boleh dianggap menghina dan mencemarkan kemuliaan nama-nama tersebut.

Antara hujjah lain yang menguatkan lagi pandangan bahawa pemakaian baju bertulis kalimah Allah ini dibolehkan adalah apabila terdapatnya perbahasan ulama’ agar menanggalkan apa-apa sahaja yang tertera padanya nama Allah ketika masuk ke dalam tandas. Dalam erti kata lain, jika  para ulama’ sudah membincangkan tentang isu menanggalkan pakaian yang bertulis nama Allah di dalam tandas, pasti tidak menjadi masalah pada asalnya untuk memakai pakaian yang bertulis  kalimah Allah di luar tandas.

Perbincangan mereka itu berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَانَ إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi S.A.W apabila masuk ke dalam tandas, baginda akan menanggalkan cincinnya.”

Riwayat Ibn Majah (303)

Imam al-Nawawi mengatakan, hadith Anas ini merupakan sebuah hadith yang masyhur. Adapun hukum berkenaan permasalahan ini maka para ashab kami (al-Syafi‘iyyah) telah bersepakat bahawa sunat hukumnya menanggalkan apa-apa yang terdapat nama Allah padanya ketika seseorang itu mahu masuk ke dalam tandas, dan ianya tidak wajib ditanggalkan. Di antara yang menyatakan secara jelas bahawa hukumnya mustahab adalah musannif (Imam al-Shirazi), serta gurunya al-Qadhi Abu Al-Thayyib. Kata Al-Mutawalli dan Al-Rafi‘i dan selain keduanya: Tidak ada beza di antara ianya tertulis di atas dirham, dinar, atau cincin, dan selainnya. (Lihat al-Majmu‘, 2/73)

Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi pula menyebutkan, apabila seseorang itu hendak masuk ke dalam bilik air dan terdapat bersamanya sedikit daripada sebutan nama Allah maka disunatkan untuknya membukanya. (Lihat al-Mughni, 1/167)

Imam Al-Mardawi al-Hanbali mengatakan, pendapat yang sahih dalam mazhab adalah makruh bagi seseorang itu masuk ke dalam bilik air dengan membawa sesuatu yang terdapat padanya nama Allah. (Lihat al-Insaf, 1/94-95)

Akan tetapi, terdapat juga pandangan ulama’ kontemporari yang mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Syeikh Abdul  ‘Aziz bin Bazz menyebutkan bahawa hukum memakai baju yang bertulis nama Allah adalah haram kerana ia boleh membawa kepada penghinaan terhadap Lafz al-Jalalah, sama ada dengan terkena najis padanya atau terkena darah haid, atau ianya dibuang, atau orang lain terduduk di atasnya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 1/181)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan di atas, kami cenderung memilih pandangan yang membolehkan pemakaian baju yang bertulis kalimah Allah padanya. Hal ini kerana terdapat dalil yang jelas bahawa Rasulullah SAW sendiri memakai cincin yang bertatah kalimah Allah.

Akan tetapi, kami sarankan agar ummat Islam memilih pakaian lain yang tidak mempunyai nama-nama Allah SWT atau Rasulullah SAW. Hal ini bagi mengambil langkah berhati-hati (ihtiyat), maka lebih baik mengelakkan diri daripada memakai apa-apa objek yang terkandung kalimah Allah seperti di topi dan juga baju agar tidak berlakunya unsur penghinaan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445