#3123: Penyewa Tinggalkan Barang Emas di Rumah Sewa Setelah Berpindah Meninggalkan Rumah Tersebut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Didoakan berada dalam keadaan sihat. Saya nak minta bantuan penyelesaian. Tenant (penyewa) rumah saya telah berpindah. Dia tertinggal atau tercicir barang emas. Saya cuba hubungi telepon dia serta nombor adiknya tapi dah not in service. Saya tidak ada alamat atau  nama kenalan dia. Macam mana cara saya nak selesaikan masalah ini. Barang orang saya tak nak simpan atau ambil. Setakat ini saya belum lagi advertise di dalam surat khabar mencari dia. Adakah perlu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Luqatah mengikut syara’ adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak diketahui hak miliknya”. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 7/69).

Dalam Kamus al-Wasit (2/834), “luqatah” diertikan sebagai “Suatu barang yang dipungut, atau suatu yang ditemui atas keadaan boleh diminta, dan seseorang itu memungut apabila dia mengambil sesuatu itu daripada bumi, seperti yang Allah SWT ceritakan perihal Musa A.S:

فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ

Maksudnya: “Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun.”

(Surah al-Qasas: 8)

Maka luqatah itu adalah suatu barang yang ditemui oleh penemu lalu dia mengambilnya, atau sesuatu yang hilang daripada tuannya kerana jatuh, lalai dan seumpamanya.”

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Ibnu Qudamah yang menyebut bahawa al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain”. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/4856).

Dalam hal ini, terdapat nas-nas yang menyebut tentang perkara yang perlu dilakukan apabila seseorang menemui sesuatu barang. Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy R.A, katanya:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ‏”‏ اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏”‏

Maksudnya: “Nabi SAW ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.”

Riwayat Muslim (1722)

Daripada ‘Iyadh bin Himar, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدَ لُقَطَةً فَلْيُشْهِدْ ذَا عَدْلٍ أَوْ ذَوَيْ عَدْلٍ ، ثُمَّ لاَ يُغَيِّرْ وَلاَ يَكْتُمْ ، فَإِنْ جَاءَ رَبُّهَا ، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا ، وَإِلاَّ فَهُوَ مَالُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjumpai barang luqatah (tercicir), maka hendaklah dia minta persaksian seorang yang adil atau orang-orang yang adil, kemudian dia tidak menggantinya dan tidak menyembunyikannya. Jika pemiliknya datang, maka dia (pemilik) lebih berhak ke atasnya. Jika tidak, maka ia adalah harta Allah yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki.”

Riwayat Abu Dawud (1709), al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (5808), Ibn Majah (2505) dan Ahmad (17481). Syeikh Syuaib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1709) menyatakan bahawa sanadnya sahih.

Secara asasnya, sesiapa yang menjumpai sesuatu yang bernilai, hendaklah dia mengiklankan barang tersebut sehingga cukup tempoh setahun seperti mana yang disebutkan di dalam hadith di atas pada ibarat kemudian umumkan ia selama satu tahun.

Namun begitu, para fuqaha’ turut mengklasifikasikan kepada luqatah yang tidak mempunyai nilai iaitu pada kebiasaan iaitu tidak akan dituntut oleh pemiliknya. Seperti tamar yang terjatuh, maka boleh untuk terus memakannya seperti mana hadith daripada Anas R.A, beliau berkata: Nabi SAW pernah menjumpai sebiji kurma di jalan, lalu Baginda bersabda:

لَوْلَا أَنِّي أَخَافُ أَنْ تَكُونَ مِنْ الصَّدَقَةِ لَأَكَلْتُهَا

Maksudnya: “Seandainya aku tidak bimbang bahawa ia adalah kurma sedekah, nescaya aku akan memakannya.”

Riwayat al-Bukhari (2431)

Selain itu, disebutkan sekiranya barang yang dijumpai kurang daripada 10 Dirham, perlu dihebahkan beberapa hari sehingga satu tempoh yang dirasakan perlu untuk diiklankan sehingga tempoh di mana pemiliknya tidak akan lagi menuntut selepas tempoh tersebut. Sekiranya 10 Dirham atau lebih, hebahkanlah selama setahun. (Lihat Fath al-Qadir, 6/122; al-Mudawwanah, 6/173; al-Mu’tamad, 3/685).

Kesimpulan

Justeru, berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa barang emas yang penyewa sebelum ini tertinggal atau tercicir itu termasuk dalam bab al-luqatah yang mesti dicari pemilik sebenarnya serta diiklankan dengan apa cara sekalipun seperti iklan di media sosial, akhbar dan seumpamanya yang memungkinkan untuk mencari pemiliknya. Justeru, kami katakan bahawa saudara sebagai pemilik rumah mesti menyimpan barangan emas tersebut dan dalam masa yang sama berusaha mengiklankan dan mencari pemilik emas tersebut sedaya upaya yang mampu. Sekiranya ia dituntut dalam tempoh yang sangat lama seperti melebihi setahun, maka bolehlah disedekahkan barangan berharga tersebut kepada baitul mal ataupun disedekahkan untuk kegunaan maslahah umum.

Dalam permasalahan ini, kami katakan bahawa setiap penyewaan rumah itu perlu ada penyudahnya yang sempurna, iaitu sebagaimana rumah itu sebelum di sewa begitu, maka selepas selesai sewaan itu, rumah itu mestilah berada dalam keadaan yang baik sebagaimana yang telah ditetapkan dalam terma antara pemilik rumah dan penyewa rumah. Selain itu, kami syorkan juga supaya diletakkan dalam terma penyewaan itu seperti penyewa tidak boleh meninggalkan barang-barangnya di dalam rumah sewa tersebut sekiranya telah tamat sewa, sekiranya meninggalkan juga dan selepas diwar-warkan dan tidak diambil dalam tempoh tertentu, maka barangan tersebut boleh disedekahkan atau dilupuskan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445