#3126: Hutang Yang Dilakukan Oleh Anak Kandung Menggunakan Nama Ayahnya Yang Telah Meninggal Dunia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan seperti berikut:

Adakah wajib bagi anak-anak tiri untuk membayar hutang lapuk arwah ayah tiri yang dibuat oleh anak kandung ayah tiri atas nama arwah (kami tiada pertalian darah – lain ibu & ayah kandung)? Kami tidak pernah mengetahui kewujudan hutang tersebut sehinggalah beberapa agensi pemberi hutang menelefon salah seorang adik beradik kami untuk meminta hutang yang dibuat sebelum ibu kami mengahwini arwah ayah tiri dan kini status hutang tertunggak sehingga ribuan ringgit. Untuk pengetahuan Dato’, ibu saya tidak menerima sebarang harta faraid kerana anak-anak arwah telah mengambil semua harta yang boleh difaraidkan dan dibahagikan sesama adik beradik mereka. Adik-beradik kami sangat tertekan kerana kerap menerima panggilan dari pelbagai agensi untuk menuntut hutang-hutang tersebut. Mohon penjelasan Dato’ atas perkara di atas kerana kami kasihan dengan arwah, pada masa yang sama, kami kurang berkemampuan untuk melunaskan hutang-hutang tersebut.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hutang adalah hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, (6/82), Mughni al-Muhtaj, (2/117) dan al-Taqrirat al-Sadidah,hlm. 45)

Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai al-qardh (القَرضَ). Al-Qardh dari segi bahasa bermaksud potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir[2]: ‘قَرَضْتُ الشَّيْءَ قَرْضًا’ bermaksud saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia  (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut.

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dalam bahasa Arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa.(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang).(Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411)

Syeikh  al-Sa’di menyatakan ayat ini mengandungi hukum yang besar dan bermanfaat dari aktiviti merekod hutang bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/118)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).

Riwayat Ibnu Majah (2413), al-Tirmizi (1079) dan al-Baihaqi (6891)

Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadith ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193 dan Mir’at al-Mafatih, 8/152)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara perkara yang mesti didahului dalam mengurus harta peninggalan si mati adalah sepertimana berikut:

  • Pengurusan jenazah
  • Melangsaikan hutang si mati
  • Malaksanakan wasiat si mati
  • Membahagikan harta faraid kepada si waris

Imam al-Nawawi menyatakan : Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. (Lihat Minhaj al-Tolibin, 180)

Dalam isu ini, kami ingin menyatakan bahawa jika hutang tersebut dibuat sendiri oleh bapa tiri saudara, maka tanggungjawab untuk melangsaikannya perlu dilakukan, baik semasa hayat beliau mahupun selepas kematian. Jika bapa tiri telah meninggal dunia, maka harta peninggalannya harus digunakan untuk melunaskan semua hutang tersebut.

Namun, jika hutang tersebut dibuat oleh anak kandungnya dan hanya menggunakan nama bapanya yang merupakan bapa  tiri saudara, maka kami katakan bahawa hutang tersebut pada asalnya adalah tanggungjawab anak kandung itu sendiri dan bukan tanggungjawab bapa tiri saudara untuk melangsaikannya.

Justeru Kami syorkan supaya adakan satu perbincangan yang harmoni bersama adik beradik dan ahli waris si mati  bagi menyelesaikan segala isu yang berlaku dan kami juga ingatkan di sini bahawa harta peninggalan si mati hendaklah difaraidkan mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh syara’. Hal Ini sepertimana yang telah  diriwayatkan daripada Abdullah Bin Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ألْحِقُوا الفَرائِضَ بأَهْلِها، فَما بَقِيَ فَهو لأوْلى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Syeikh Soleh al-Fauzan ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan: hadith ini menunjukkan bahawa kewajipan memberikan harta  pusaka kepada waris yang berhak ke atas harta tersebut sebagaimana yang telah ditetapkan dalam al-Quran seperti 1/2, 1/4, 1/8, 1/3, 2/3, dan 1/6. Mereka didahulukan daripada ‘asabah dalam menerima harta pusaka. (Lihat Minhah al-Allam, 7/97)

Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 3/284-286)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445