#3130: Makan di Premis/Restoran Bukan Islam “No Pork No Lard”

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya pernah melihat orang Islam kita (saya tahu dia Islam melalui pemakaian tudung mereka) makan di sebuah restoran bukan Muslim. Saya cuba lihat ke dalam kedai kerana berkemungkinan mereka memakannya kerana premis berkenaan mempunyai sijil halal. Tetapi premis berkenaan tidak mempunyai sijil halal, sebaliknya hanya dipaparkan di hadapan restoran/premis mereka, “No Pork No Lard.” Soalannya, bolehkah seorang Muslim makan di kedai berkenaan dengan hanya berpada dengan kenyataan mereka, “No Pork No Lard.”? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan “No Pork No Lard.” Perkataan “pork” berasal daripada bahasa Inggeris yang bermaksud daging babi yang dijadikan sebagai makanan.[1] Manakala perkataan “lard” pula bermaksud lemak babi yang cair, digunakan dalam masakan.[2] Justeru, “No Pork No Lard” bermaksud premis/restoran tersebut tidak menghidangkan daging atau lemak babi. Secara umumnya, daging yang dihidangkan adalah berasaskan makanan laut, daging lembu, ayam, dan daging-daging yang diproses.

Seterusnya, kita juga hendaklah mengetahui bahawa hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan — dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sekalipun umumnya hukum asal bagi makanan dan minuman adalah diharuskan dan halal untuk dimakan melainkan adanya dalil yang menunjukkan sebaliknya. Akan tetapi perkara yang perlu diperhalusi di sini adalah apabila sesuatu premis/restoran terutamanya milik bukan Islam menyatakan bahawa premis/restoran mereka tidak menghidangkan daging atau lemak babi. Ini bukanlah bermaksud makanan yang disediakan oleh restoran mereka dijamin 100% halal. Ini kerana apabila mereka mendakwa restoran mereka tidak menyediakan makanan berasaskan daging babi dan lemak babi, tidak semestinya bahan-bahan lain yang digunakan seperti ayam, daging, bahan-bahan masakan dan seumpamanya adalah halal.

Bahkan berkenaan daging ayam, daging dan seumpamanya yang melibatkan sembelihan, maka hukum asal bagi sembelihan dan daging adalah haram. Dalam erti kata lain, tidak halal suatu sembelihan itu melainkan jika kita mengetahui bahawa ia disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa jika timbul suatu syak atau keraguan pada sembelihan yang menghalalkan haiwan itu, maka ia tidak halal untuk dimakan kerana hukum asalnya adalah haram dan perkara ini tidak ada khilaf padanya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/78).

Begitu juga al-Rafi‘i turut menyebutkan bahawa hukum asal bagi daging-daging adalah tidak harus. Tidakkah kamu melihat bahawa sekiranya haiwan yang sedang tenat (menunggu mati) disembelih, lalu timbul rasa syak pada pergerakkannya ketika disembelih, adakah pergerakkannya seperti haiwan yang disembelih (nyawa-nyawa ikan) ataupun masih mempunyai nyawa (hayah mustaqirrah), maka dalam situasi ini hukum haram lebih mendominasi. (Lihat Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz, 1/280).

Selain daripada itu, Ibn al-Qayyim ketika membahaskan berkenaan istishab, beliau menyatakan, ia adalah sifat yang mensabitkan suatu hukum sehinggalah sabit hal yang sebaliknya, dan istishab ini adalah hujah. Misalnya, istishab dalam hukum taharah, hukum hadas, hukum kekalnya nikah sehinggalah sabit hal yang sebaliknya. Syarak telah meletakkan hukumnya tertakluk kepada hukum asal, sebagaimana sabda Baginda mengenai haiwan buruan:

وإنْ وجدْتَهُ غرِيقًا في الماءِ فلا تأكُلْ، فإنّكَ لا تدْرِي الماءُ قتَلَهُ أوْ سهمُكَ؟

Maksudnya:Sekiranya kamu mendapatinya tenggelam di dalam air, maka janganlah kamu memakannya kerana kamu tidak mengetahui adalah air yang telah membunuhnya atau anak panahmu?

Riwayat Muslim (1929)

Begitu juga sabda Nabi SAW:

وَإِنْ خَالَطَهَا كِلاَبٌ مِنْ غَيْرِهَا فَلاَ تَأْكُلْ؛ فإنكَ إنما سمَّيتَ على كلبِكَ ولم تُسمِّ على غيرِهِ

Maksudnya: “Dan jika anjing-anjing itu turut bercampur dengan anjing-anjing yang lain, maka janganlah engkau memakannya kerana sesungguhnya kamu telah menyebut nama Allah untuk anjingmu sahaja dan tidak menyebut nama Allah pada anjing yang lain.”

Riwayat al-Bukhari (5476, 5483, 5486) dan Muslim (1929)

Apabila hukum asal dalam sembelihan adalah haram, lalu timbulnya syak dan keraguan padanya; adakah syarat yang menghalalkannya dipenuhi ataupun tidak? Maka ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu haram untuk dimakan. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/339-340).

Tambahan lagi, Ibn Qayyim juga ada menyebutkan bahawa hukum asal dalam bab sembelihan adalah haram melainkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Jika ada pertembungan antara dua dalil iaitu dalil yang melarang dan dalil yang mengharuskannya, maka beramal atau berpegang dengan dalil yang melarang adalah lebih utama berdasarkan kepada tiga alasan:

  • Ia dikuatkan/disokong lagi dengan hukum asalnya iaitu haram.
  • Ia adalah lebih berhati-hati (ahwat).
  • Jika kedua-dua dalil saling bertentangan, maka kedua-duanya adalah terbatal dan dikembalikan kepada hukum asalnya iaitu haram. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/538-539).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa orang Islam tidak boleh dan haram memakan makanan (terutamanya yang berasaskan daging) daripada memakan di restoran/premis bukan Islam yang hanya mendakwa “No Pork No Lard,” sehinggalah diyakini bahawa makanan tersebut halal dan tidak mengandungi bahan-bahan bernajis, yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti wain, arak, dan seumpamanya. Begitu juga alat-alat perkakas memasak juga adalah bersih dan tidak bernajis.

Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan sebagai mengambil langkah berhati-hati (ihtiyat). Lebih-lebih lagi, siapakah yang dapat benar-benar memastikan bahawa tiada sebarang bahan-bahan bernajis atau bahan-bahan yang haram di sisi Syarak tidak digunakan dalam masakan tersebut, sedangkan kebiasaannya atau kebanyakkan restoran-restoran bukan Islam tidak terjamin bebas daripadanya.

Selain itu, perbuatan meninggalkan daripada memakan di restoran yang tidak dapat dipastikan kehalalannya juga bertepatan dengan saranan agama untuk meninggalkan dan menjauhi perkara-perkara syubhah. Bahkan meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih menenangkan jiwa, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.

[1] Lihat https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english-malaysian/pork. Diakses pada 12 September 2023.

[2] Lihat https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english-malaysian/lard. Diakses pada 12 September 2023.

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445