Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah seseorang yang menghidap penyakit mental turut ditaklifkan dalam agama (mukallaf)? Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sedikit penjelasan dan takrifan berkenaan penyakit mental. Secara ringkasnya, menurut Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Kajian pemantauan penyakit yang dijalankan di Malaysia pada tahun 1996 mendapati hampir 11.1% daripada golongan dewasa Malaysia dikesan mengalami penyakit mental. Bahkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara 5 penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi penyebab kedua tertinggi.
Jenis-jenis penyakit mental
Penyakit mental bukanlah hanya sejenis penyakit sahaja. Ia terdiri dari berbagai kategori penyakit. Secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan utama:
Neurosis
Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka.
Individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar akan keadaan kesihatan mereka. Fungsi harian mereka mungkin terganggu sedikit. Antara contoh penyakit neurosis adalah seperti berikut:
- Kemurungan: Kemurungan adalah perasaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Sedih adalah perasaan yang sering kita alami. Akan tetapi jika perasaan sedih itu terlalu berat untuk ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh 2 minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian maka ia bukanlah sedih lazim tetapi penyakit kemurungan.
- Kebimbangan: Penyakit ini digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah. Seseorang itu akan berasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar-debar dan berasa takut melampau akan bahaya yang mereka tidak ketahui puncanya
Psikosis
Mereka yang mengalami penyakit psikosis mengalami perubahan yang amat ketara di dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas.
Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengan mereka. Ia dikenali sebagai halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan. Ia dipanggil delusi. Antara contoh delusi ialah – ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan.
Mereka mungkin bercakap dengan merapu/mengarut; berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab. Contoh psikosis yang sering dialami adalah:
- Schizophrenia: Antara ciri utama ialah: halusinasi; delusi; kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkah laku. Prestasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.
- Kecelaruan manik-depresif (dwikutub): Penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi emosi. Mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa manik) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).
Kecelaruan Personaliti
Secara asasnya kecelaruan ini membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.[1]
Dalam menjawab soalan di atas, terdapat hadith daripada riwayat Ali bin Abu Talib R.A, Rasulullah SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ. وَفِيْ رِوَايَةٍ: وَعَنِ المعتوهِ حتى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.” Dalam riwayat lain: “dan cacat mental hingga dia berakal (sembuh).”
Riwayat Abu Dawud (4403), Ahmad (1183), Tirmizi (1423), Nasa’i (3432), dan Ibn Majah (2041)
Al-San‘ani ketika mensyarahkan sabda Nabi SAW “dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar” menyatakan maknanya adalah tidak diambil tindakan ke atasnya.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 16/20). Syeikh Abdullah al-Tayyar pula menyatakan, yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf. (Lihat Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh li Ibn al-Qudamah, 9/9).
Sebagaimana dimaklumi penyakit mental adalah berkait rapat dengan kewarasan mental dan fikirannya. Oleh itu, ia boleh juga dipanggil sebagai gila atau majnun (المَجْنُون). Hal ini kerana menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, gila diertikan sebagai tidak sihat atau tidak waras fikirannya (otaknya, ingatannya).[2] Dalam bahasa Arab, gila atau junun (الْجُنُونُ) diertikan sebagai sejenis penyakit yang menghilangkan akal. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 5/267).
Berkenaan orang gila, para fuqaha’ telah bersepakat bahawa gila termasuk daripada ‘awaridh al-ahliyyah iaitu perkara yang menghalang daripada beban hukum dijatuhkan ke atas seseorang dalam keadaan gila yang berterusan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 17/92).
Selain itu, dalam bahasa Arab orang yang menghidap penyakit mental boleh juga dipanggil sebagai ma‘tuh (المَعْتُوه). Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, perkataan ‘atah (الْعَتَهُ) dari segi bahasa bermaksud kekurangan akal bukan disebabkan oleh gila mahupun kebingungan. Manakala dari segi istilah pula ia merujuk kepada kecacatan yang mengakibatkan gangguan dalam akal, dan individu yang mengalaminya akan bercakap secara campur aduk. Sebahagian percakapannya menyerupai ucapan orang yang waras, manakala sebahagian yang lain menyerupai ucapan orang gila. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 7/162).
Menurut al-Sam‘ani, ‘atah (الْعَتَهُ) adalah sejenis penyakit gila melainkan individu yang menghidapnya masih mempunyai sedikit akal. (Lihat Qawati‘ al-Adillah fi al-Usul, 2/389).
Selain daripada itu, ‘Abd al-‘Aziz al-Bukhari al-Hanafi juga ada menyebutkan, ‘atah (الْعَتَهُ) adalah sejenis penyakit yang menyebabkan kecacatan atau gangguan pada akal, dan individu yang menghidapnya akan bercakap secara campur aduk. Sebahagian percakapannya menyerupai ucapan orang yang waras, manakala sebahagian yang lain menyerupai ucapan orang gila, dan begitulah juga keadaannya pada perkara-perkara yang lain. Sebagaimana orang gila menyerupai keadaan awal kanak-kanak dari segi ketiadaan akalnya, manakala ‘atah ini pula menyerupai keadaan kanak-kanak yang lain dari segi wujudnya asas akal tersebut dalam keadaan terdapat kecelaruan padanya. Oleh itu, diperlakukan kepada ma‘tuh (orang yang kekurangan akal/penyakit mental) sebagaimana diperlakukan kepada kanak-kanak. Tidak diwajibkan kepada mereka ibadat, dan begitu juga tidak sabit pada hak mereka hukuman (kerana meninggalkan ibadat itu) sebagaimana pada hak kanak-kanak. Inilah pendapat yang dipilih oleh kebanyakan ulama terkemudian (muta’akhirin). (Lihat Kasyf al-Asrar Syarh Usul al-Bazdawi, 4/274).
Tambahan lagi, Dr. ‘Abd al-Karim al-Namlah ada menyatakan, terdapat beberapa perbezaan antara orang gila dan ma‘tuh (orang yang kekurangan akal/penyakit mental). Antara perbezaannya yang paling utama ialah:
Pertama, ma‘tuh masih mempunyai akal, tetapi dia lemah untuk mengetahui dan memahami suatu ucapan/perintah (al-khitab). Manakala orang gila pula langsung tidak mempunyai akal.
Kedua, ma‘tuh boleh jadi dia seorang mumayyiz atau boleh jadi juga bukan mumayyiz. Berbeza halnya dengan orang gila yang tidak mungkin menjadi mumayyiz.
Ketiga, ma‘tuh tidak bertindak ganas mahupun mengalami kekeliruan, berbeza halnya dengan orang gila yang mungkin bertindak ganas dan mengalami kekeliruan.
Orang yang ma‘tuh tidak ditaklifkan secara mutlak (yakni bukan mukallaf). Ini merupakan pendapat jumhur dan ia adalah pendapat yang sahih berdasarkan qiyas kepada orang gila dan kepada kanak-kanak yang belum mumayyiz, di mana kedua-duanya memiliki akal yang lemah atau ketidakmampuan akal untuk mengetahui hakikat sesuatu perkara dan tidak mampu untuk memahami khitab (perintah) syarak sebagaimana yang dikehendaki. (Lihat al-Muhazzab fi Usul al-Fiqh al-Muqaran, 1/335).
Begitu juga Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin juga pernah menyatakan, sesiapa yang tidak mempunyai akal, maka tidak diwajibkan kepadanya syariat (hukum syarak). Oleh sebab itu, orang gila tidak diwajibkan ke atasnya syariat, begitu juga ia tidak diwajibkan kepada kanak-kanak yang belum mumayyiz, bahkan kepada kanak-kanak yang belum lagi baligh. Kesemua ini merupakan rahmat Allah SWT. Begitu juga seumpamanya iaitu individu yang mengalami kecacatan pada akalnya (atau gangguan mental) yang tidak sampai kepada tahap gila. (Lihat Fatawa Arkan al-Islam, hlm. 266).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa dalam menentukan sama ada seseorang yang mengalami penyakit mental atau gangguan mental boleh dianggap sebagai mukallaf ataupun tidak, hendaklah dibezakan berdasarkan kepada tahap-tahapnya.
Jika tahap gangguan mentalnya berada pada tahap kronik sehingga langsung tidak mampu untuk dikawal serta menepati sejenis gila, bahkan mungkin boleh bertindak ganas sehingga mencederakan orang lain atau seumpamanya, maka ketika ini kami berpendapat tidak syak lagi lagi bahawa dia bukan lagi seorang mukallaf — yakni tidak lagi dibebani dengan taklifan dalam agama dan kewajipan tersebut sudah tergugur daripadanya.
Akan tetapi jika tahap gangguan mentalnya tidak kronik, bahkan masih lagi mampu untuk berfikir dan bertindak secara rasional, cuma kadang-kadang sahaja gangguan tersebut datang atau seumpamanya, maka kami berpendapat bahawa ketika dia tidak didatangi dengan gangguan/penyakit mental tersebut atau ketika dia masih dalam keadaan waras, dia masih dikira sebagai seorang mukallaf dan perlu menunaikan taklifan dalam agama sekadar yang dia termampu. Sesungguhnya agama Islam bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/penyakit-mental/. Diakses pada 12 September 2023.
[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=gila. Diakses pada 12 September 2023.
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445