#3134: Muazzin Menutup Telinga dengan Jari Ketika Melaungkan Azan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah seseorang muazzin itu disunatkan untuk menutup/meletakkan jarinya di telinganya ketika azan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, azan merupakan salah satu dari syiar agama Islam yang bertujuan untuk memberitahu bahawa telah masuknya waktu bagi solat-solat fardhu. Demikian juga iqamah dilaungkan dengan tujuan untuk memberitahu bahawa solat akan didirikan. Azan disyariatkan apabila masuk sahaja waktu solat seperti yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin al-Huwairith R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ

Maksudnya: “Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan.”

Riwayat al-Bukhari (628)

Syeikh Abdullah bin Hamid menyatakan, para fuqaha telah bersepakat mengenai pensyariatan azan dan iqamah secara umumnya, dan kedua-duanya termasuk dalam syiar zahir bagi agama Islam. Kalaulah penduduk suatu tempat bersepakat untuk meninggalkan kedua-duanya, maka mereka hendaklah diperangi. Sesungguhnya telah dinukilkan ijma‘ ulama ke atas perkara tersebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Qurtubi, Imam al-Nawawi dan lain-lain. (Lihat Ikhtiyarat al-Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’uhu al-Fiqhiyyah, 1/244).

Hal ini adalah sepertimana dinyatakan dalam al-Majmu‘ bahawa azan dan iqamah disyariatkan bagi solat fardhu lima waktu berdasarkan nas-nas yang sahih dan ijma‘. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/83). Begitu juga menurut Ibn Qudamah, umat telah bersepakat mengenai azan disyariatkan bagi solat fardhu lima waktu. (Lihat al-Mughni, 2/56).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, seseorang muazzin disunatkan untuk meletakkan jarinya pada telinganya ketika sedang melaungkan azan. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith Abu Juhaifah, daripada bapanya, katanya:

رَأَيْتُ بِلَالًا يُؤَذِّنُ وَيَدُورُ وَيَتْبَعُ فَاهُ هَاهُنَا وَهَاهُنَا، وَإِصْبَعَاهُ فِي أُذُنَيْهِ

Maksudnya: “Aku melihat Bilal melaungkan azan dan beliau berpusing dan mulutnya (wajahnya) mengikuti ke sana ke mari, dan jari (telunjuknya) berada di telinganya.”

Riwayat Ahmad (18010); al-Tirmizi (197) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih. Begitu juga ia dinilai sebagai sahih dalam Irwa’ al-Ghalil (230)

Seterusnya, Imam al-Tirmizi mengulas hadith ini dengan menyebutkan, inilah yang dipegang (diamalkan) oleh para ulama, di mana mereka menganjurkan supaya muazzin memasukkan kedua jarinya ke dalam kedua telinganya ketika melaungkan azan. Bahkan sebahagian ulama juga berpendapat sedemikian (iaitu digalakkan untuk memasukkan jari ke dalam telinga) ketika melaungkan iqamah, dan ini adalah pendapat al-Auza‘i. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 1/237).

Selain itu, Ibn al-Munzir juga ada menyebutkan, diriwayatkan kepada kami daripada Bilal dan Abu Mahzurah bahawa kedua-duanya meletakkan jari-jari mereka pada telinga mereka ketika azan. Di antara ulama yang berpendapat bahawa muazzin boleh (disunatkan) meletakkan kedua jari telunjuknya ke dalam kedua telinga ialah al-Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin, al-Auza‘i, Sufyan al-Thauri, Ahmad, Ishaq, al-Nu‘man, dan Ibn al-Hasan. Namun, Imam Malik berpendapat, hal tersebut adalah luas, sama ada dia hendak melakukannya atau tidak melakukannya. Tambahan lagi, Ibn Syubrumah pernah ditanya mengapa seseorang muazzin diperintahkan untuk meletakkan dua jarinya pada telinganya? Beliau menjawab, “Hal itu kerana bagi menguatkan lagi suara.” (Lihat al-Ausat fi al-Sunan wa al-Ijma‘ wa al-Ikhtilaf, 2/37).

Begitu juga menurut Imam al-Nawawi, sunnahnya adalah untuk meletakkan dua jarinya di kedua lubang telinga berdasarkan kepada apa yang disebutkan oleh pengarang (al-Muhazzab — iaitu al-Syirazi). Ini adalah pendapat yang disepakati oleh ulama dan al-Mahamili dalam al-Majmu‘ menukilkannya daripada kebanyakan ulama. Seterusnya para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) menyebutkan, dalam perbuatan tersebut terdapatnya faedah/manfaat lain iaitu boleh jadi seseorang itu tidak dapat mendengar suaranya disebabkan oleh tuli atau jauh atau sebab-sebab lainnya, maka laungan azan itu boleh ditunjukkan melalui dua jarinya (yang diletakkan di telinga). Jika pada salah satu tangannya (jari telunjuk) terdapat sebab yang menghalangnya daripada melakukan perkara tersebut, maka dia boleh menggunakan jari yang lain untuk diletakkan dalam lubang telinganya. Selain daripada itu, tidak digalakkan (sunat) untuk meletakkan jari pada telinga ketika iqamah. Ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh al-Ruyani dalam al-Hilyah dan selainnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/108).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa digalakkan (sunat) untuk meletakkan jari telunjuk di lubang telinga ketika melaungkan azan. Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama. Di antara tujuannya adalah untuk lebih menguatkan suara, memaklumkan bahawa azan sedang dikumandangkan dan seumpamanya. Bahkan sebahagian ulama turut menghukumkan sebagai sunat untuk melakukan hal sedemikian iaitu meletakkan jari di telinga ketika melaungkan iqamah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445