#3135: Menyebar Gambar Wanita Non-Muslim dalam Laporan Sekolah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum menyebar gambar non muslim contohnya dalam fb sekolah, laporan bergambar yang melibatkan murid sekolah rendah dan staf wanita non muslim?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Aurat dan Hukumnya yang Asas

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185)

Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1626: Wanita Tidak Menutup Aurat Dalam Design Website[1]

#2007: Melukis Gambar yang Tidak Menutup Aurat di Buku Teks[2]

#33 Muatnaik Gambar Lama Tidak Tutup Aurat[3]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan Imam al-Ramli menyatakan bahawa haram bagi seorang lelaki yang telah baligh melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, namun tidak haram jika sekiranya aurat itu sekadar gambar, imej atau pantulan (mithal). Maka, tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin, sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama’ disebabkan ia tidak dikira melihat aurat secara langsung. Akan tetapi, perlu difahami bahawa keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah dan mendatangkan syahwat. (Lihat Nihayatul Muhtaj (6/187), Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah (40/353-354) dan I’anatu at-Thalibin (3/301)

Oleh itu, gambar yang bercetak atau berbentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada gambaran objek yang terpantul pada cermin atau air. Oleh itu, dalam isu ini, tujuan gambar tersebut disebarkan adalah sebagai laporan aktiviti sekolah, maka hukumnya adalah harus jika terdapat keperluan dan selagi mana ia tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat dan seumpamanya. Sebagaimana kaedah menyebut:

الْحَاجَةُ تٌنزَّلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ

Maksudnya: Sesuatu hajat atau keperluan itu diraikan setakat yang diperlukan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Wallahua’lam.

 Kami akhiri dengan doa dan munajat:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

[1] https://maktabahalbakri.com/1626-wanita-tidak-menutup-aurat-dalam-design-website/

[2] https://maktabahalbakri.com/2007-melukis-gambar-yang-tidak-menutup-aurat-di-buku-teks/

[3] https://maktabahalbakri.com/muatnaik-gambar-lama-tidak-tutup-aurat/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445