#3136: Nazar Pada Perkara Yang Bukan Ketaatan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya tentang hukum. Apa hukum sekiranya yang saya bernazar untuk tidak memakan nasi putih, memakannya. Adakah saya perlu membayar kaffarah pada makan yang kali pertama sahaja, atau pada setiap kali makan? Bolehkah nazar seumpama ini dibatalkan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan  oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Firman Allah SWT:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.

(Surah al-Hajj: 29)

Diriwayatkan daripada  Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.

Riwayat al-Bukhari: (6696)

Begitu juga, jika sekiranya seorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia menunaikannya. Namun, jika dia bernazar kemaksiatan, maka tidak boleh dia menunaikannya. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.

Riwayat al-Bukhari: (6696)

Telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji bahawa: Nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).

Rukun Nazar

Para ulama menyatakan bahawa nazar mempunyai tiga rukun iaitu :

  • Sighah(bentuk ucapan).
  • Orang yang melakukan nazar (الناذر)
  • Perkara yang dinazarkan (المنذور)

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili dalam menghuraikan rukun yang pertama iaitu sighah menyatakan : ‘’Ia (sighah) adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Dan tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang itu mengucapkan : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut : ‘’Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’, maka nazarnya sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata’’. Yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah : ‘’Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan).(Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/505)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, nazar yang diwajibkan adalah nazar yang melibatkan perkara-perkara  yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, seperti berpuasa, bersedekah, atau melibatkan diri dalam berbagai bentuk ibadah yang lain. Oleh kerana itu, nazar yang tidak memiliki tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT tidak akan dikira sebagai nazar yang sah. Hal yang demikian telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan daripada bnu Abbas bahawa beliau berkata:

بَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ قَائِمٍ، فَسَأَلَ عَنْهُ. فَقَالُوا: أَبُو إِسْرَائِيلَ، نَذَرَ أَنْ يَقُومَ وَلا يَقْعُدَ، وَلا يَسْتَظِلَّ، وَلا يَتَكَلَّمَ، وَيَصُومَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُرْهُ فَلْيَتَكَلَّمْ، وَلْيَسْتَظِلَّ، وَلْيَقْعُدْ، وَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ

Maksudnya: Ketika Nabi SAW berkhutbah, tiba-tiba ada seorang laki-laki yang berdiri di bawah terik matahari. Kemudian beliau bertanya mengenainya. Mereka berkata; orang ini adalah Abu Israil, ia bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, serta tidak berteduh, tidak berbicara, dan berpuasa lalu Rasulullah SAW berkata: “Perintahkan dia agar berbicara, berteduh, duduk dan menyempurnakan puasanya!”

Riwayat Bukhari(6704)

Ibn Battal dalam isu ini beliau menukilkan kalam Imam Malik, kata beliau: Sesiapa yang membuat nazar untuk melakukan dosa seperti berkata, ‘Aku bernazar kepada Allah bahawa aku akan minum arak, berzina, atau mencurahkan darah,’ maka tidak ada kewajipan ke atasnya dan dia harus meminta ampun dari Allah. Beliau berhujah dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.

Riwayat al-Bukhari: (6696)

Dalam hadith ini  beliau menyatakan tidak  disebutkan kifarah (langgar sumpah), aku tidak mendengar Rasulullah SAW memerintahkan untuk membayarnya .   Sama juga jika seseorang bernazar untuk melakukan sesuatu yang bukan ibadah kepada Allah dan bukan maksiat, seperti berkata, ‘Aku bernazar kepada Allah bahawa aku akan memasuki rumah, makan, atau minum,’ maka juga tidak ada kewajipan ke atasnya kerana dalam perkara tersebut tiada ketaatan kepada Allah.”(Lihat Syarh Sohih al-Bukhari, Ibn Battal,6/163)

Begitu juga Al-Khatib al-Syarbini dalam isu ini beliau menyatakan: Sekiranya bernazar dengan perkara seperti makan, tidur atau meninggalkannya atau tidak memakan manisan maka tidak wajib untuk menunaikan nazar tersebut samaada melakukan atau meninggalkannya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/235)

Justeru dalam isu ini kami katakan nazar yang dilakukan bukan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT adalah tidak dikira dan tidak dikenakan kaffarah sepertimana yang telah dinyatakan di atas. Di sini suka kami nasihati sekiranya ingin bernazar maka bernazarlah pada perkara-perkara ta’ah seperti berpuasa, bersedekah, solat dan sebagainya.

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahwa Rasulullah SAW bersabda:

لا نَذرَ إلّا فيما ابتُغِيَ به وجهُ اللهِ

Maksdunya: Tidak boleh bernazar kecuali dengan mengharapkan keredhaan Allah.

Riwayat Abu Daud(2192)

Selain itu, janganlah bernazar pada pekara yang tidak mampu kita lakukan yang hanya akan membebani kita di kemudian hari. Kami ingatkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah dimana baginda bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.

Riwayat Muslim (1640)

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالسَّدَادَ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu petunjuk dan taufik agar tetap istiqomah.”

Wallahua’lam.

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445