Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ingin bertanya adakah disyaratkan melakukan khutbah selapas solat gerhana ? Mohon pencerahan daripada Dato’.Terima Kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut al-Mu’jam al-Wasit gerhana matahari disebut sebagai al-Kusuf manakala gerhana bulan pula disebut sebagai al-Khusuf. Dinamakan al-Kusuf kerana tertutupnya cahaya matahari secara sebahagian atau sepenuhnya.(Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 234 )
Firman Allah SWT:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِ ٱلَّيۡلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُۚ لَا تَسۡجُدُواْ لِلشَّمۡسِ وَلَا لِلۡقَمَرِ وَٱسۡجُدُواْۤ لِلَّهِۤ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah.”
(Surah Fussilat: 37)
Pensyariatan solat sunat gerhana berlaku pada tahun kedua selepas hijrah yang mana bertepatan ketika meninggalnya Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Ketika zaman jahiliyyah, gerhana matahari ataupun bulan dikaitkan dengan kepercayaan khurafat di mana kematian seseorang ada kaitannya dengan gerhana. Inilah yang dipercayai oleh golongan jahiliyyah di mana matinya putera Rasulullah SAW, Ibrahim adalah disebabkan oleh gerhana.
Diriwayatkan daripada Abu Musa RA di mana beliau berkata:
خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلاَةٍ قَطُّ ثُمَّ قَالَ ” إِنَّ هَذِهِ الآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لاَ تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ ” .
Maksudnya: “Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Nabi SAW. Lalu baginda bangun dalam keadaan takut akan berlakunya hari Kiamat sehingga baginda tiba di masjid. Lalu baginda mendirikan solat yang paling panjang berdirinya, ruku’nya dan sujudnya yang pernah aku lihat Baginda lakukan di dalam solat. Kemudian Baginda berkata: Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda yang Allah hantar. Ia tidaklah berlaku kerana kematian atau kehidupan seseorang. Akan tetapi Allah menghantarnya untuk menimbulkan rasa takut pada hambaNya. Apabila kalian lihat ia berlaku, segeralah mencari perlindungan dengan mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon keampunan-Nya.”
Riwayat Muslim (912)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas mengatakan bahawa gerhana berlaku bukanlah sebagai tanda hari akan kiamat, kerana tanda-tanda kiamat yang lain telah diketahui melalui hadith-hadith lain yang sahih seperti terbitnya matahari dari sebelah barat, keluarnya al-Daabbah dan juga dajjal. Namun, bangunnya Rasulullah SAW dalam keadaan takut dan mengerjakan solat yang panjang bacaan dan ruku’nya itu kerana takut ianya dari jenis hukuman yang Allah SWT turunkan sepertimana yang berlaku ketika mana bertiupnya angin dan jelas nampak di wajah Rasulullah SAW yang Baginda tidak menyukainya.(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/215-216)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan solat gerhana merupakan solat sunat yang dituntut dan dilakukannya secara berjemaah. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Bakrah R.A beliau berkata:
كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَانْكَسَفَتِ الشَّمْسُ، فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَدَخَلْنَا فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ، حَتَّى انْجَلَتِ الشَّمْسُ فَقَالَ صلى الله عليه وسلم “ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَصَلُّوا، وَادْعُوا، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ
Maksudnya : Kami berada di sisi Rasulullah SAW, kemudian berlakunya gerhana matahari. Maka Nabi SAW pun berdiri seraya memakai rida’ sehingga baginda masuk ke dalam masjid. Maka baginda pun menjadi imam solat bersama kami sehingga selesai gerhana. Lalu baginda SAW bersabda : Sesungguhnya gerhana matahari dan bulan itu tidak berlaku disebabkan kematian seseorang. Jika kalian melihatnya maka solatlah serta berdoa, sehinggalah tamat gerhana.
Riwayat Al-Bukhari (1040).
Dalam isu ini kami katakan ulama ada berbeza pandangan:
Pandangan pertama: Tidak disyariatkan melakukan khutbah pada solat gerhana. Ini merupakan pandangan dari ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.
Al-Dusuki dalam isu ini beliau berpandangan: Dalam solat gerhana, dilakukan dua rakaat dan dibaca secara senyap, kerana dalam solat ini tidak ada khutbah, azan, atau iqamah.”(Lihat al-Syarh al-Kabir,1/402)
Al-Buhuti menyatakan dalam kitabnya kasyaf al-Qina’ bahawa: Tidak disayariatkan khutbah pada solat gerhana. Mereka berhujjah bahawa Nabi Muhammad SAW memerintahkan solat tanpa melakukan khutbah. Khutbah yang dilakukan oleh Nabi selepas solat tersebut adalah unutk menerangkan hukumnya. (Lihat Kasyaf al-Qina’,2/62)
Pandangan kedua: Disyariatkan khutbah pada solat gerhana. Ini merupakan pandangan mazhab Syafi’e, Hanafi dan satu riwayat dari mazhab Hanbali.
Imam al-Ramli menyatakan: “Kemudian, imam memberikan khutbah mengikut sunnah setelah solat gerhana tanpa takbir, seperti yang telah dijelaskan oleh Ibnu al-Ustaz. Terdapat dua khutbah dengan rukun-rukunnya dan sunnah-sunnahnya, iaitu sama dengan solat Jumaat. Oleh kerana itu, satu khutbah saja tidak sah dan syarat-syarat tidak berlaku seperti dalam solat hari raya. Namun, perlu diingat bahwa pelaksanaan sunnah ini dengan memperdengarkan dan mendengarkan khutbah, serta harus disampaikan dalam bahasa Arab seperti yang telah disebutkan.
Dalam khutbah ini, imam hendaklah berpesan kepada hadirin agar bertaubat dari dosa-dosa mereka, sambil memperingatkan mereka untuk tidak lalai dan terlalu angkuh. Selain itu, imam juga hendaklah mendorong mereka melakukan perbuatan baik, seperti membebaskan Hamba, bersedekah, berdoa, dan memohon ampun.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj,2/408)
Justeru dalam isu ini kami katakan mengadakan khutbah selepas solat gerhana tidak disyaratkan. Namun kami lebih condong kepada pendapat kedua, iaitu mengadakan khutbah selepas solat tersebut. Hak ini bagi mengikut sunnah nabi Muhammad SAW disamping menyampaikan pesanan kepada umat Islam agar merenung dan bermuhasabah diri serta bertaubat kepada Allah SWT, dengan harapan agar segala kesilapan yang telah dilakukan diampuniNya. Selain itu, di sini kami nyatakan beberapa amalan yang boleh diamalkan semasa gerhana, antaranya ialah:
- Melakukan dua kali khutbah selepas melaksanakan solat sunat gerhana,
- Memperbanyakkan doa kepada Allah memohon keselamatan dan menolak bala bencana
- Beristighfar
- Bersedekah
- Banyakkan bermunajat
- Bertakbir dan berzikir
- Mengelakkan diri daripada mempercayai sebarang khurafat, tahyul dan iktikad yang salah mengenai kejadian gerhana.
Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ، فَادْعُوا اللَّهَ، وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا
Maksudnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan itu ialah dua tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, tidaklah keduanya bergerhana kerana matinya seseorang dan tidak pula kerana hidupnya, jika kalian melihat gerhana, maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, laksanakanlah solat dan bersedekahlah.”
Riwayat al-Bukhari (1044)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445