#3139: Istikharah dan Keputusannya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami untuk kami mengetahui bagaimana cara istikharah, doa dan juga natijah serta keputusannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Istikharah (الإستخارة) pada bahasa bermaksud menuntut kebaikan dalam sesuatu perkara. Dikatakan beristikharahlah kepada Allah SWT nescaya diberi pilihan untukmu. Pada istilahnya pula memohon pilihan atau memohon kurniaan sesuatu perkara yang menjadi pilihan Allah SWT, sama ada dengan cara bersolat atau berdoa sebagaimana yang sabit berkenaan hadith Istikharah.

Asal bagi perkataan istikharah ialah daripada perkataanخير yang membawa makna kebaikan. Penambahan huruf Alif,Sin dan Ta’ menambah lagi maknanya. استخار  membawa makna memohon pilihan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Munzir di dalam Lisan al-Arab. (Lihat Lisan al-Arab, 4/264)

Ada juga yang berpendapat sebagai meminta pilihan pada sesuatu iaitu, memohon mendapatkan kebaikan. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata:

طَلَبُ خَيْرِ الْأَمْرَيْنِ لِمَنَ احْتَاجَ إِلَى أَحَدِهِمَا

Maksudnya:Memohon diberi petunjuk yang terbaik dalam dua perkara bagi sesiapa yang menginginkan salah satu daripadanya.”  (Lihat Fath al-Bari, 11/183)

Dalil  Solat Istikharah

Daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الِاسْتِخَارَةَ فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ يَقُولُ: إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالْأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah  mengajar  kami  bagaimana membuat pilihan (beristikharah) yang terbaik dalam semua perkara seperti mengajar satu surah dalam al-Quran. Baginda bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu ingin melakukan sesuatu perkara, maka kerjakanlah solat dua rakaat iaitu selain daripada solat fardhu.”

Baginda bersabda lagi: Kemudian hendaklah dia berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ.

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon pilihan yang terbaik daripada-Mu menurut ilmu-Mu. Aku juga mohon takdir yang terbaik menurut takdir-Mu. Aku mohon limpah kurnia-Mu yang agung, kerana hanya Engkau sahaja yang mentakdirkan bukan aku yang mentakdirkan. Hanya Engkau sahaja yang tahu dan aku tidak tahu. Hanya Engkau sahaja yang mengetahui ilmu ghaib. Ya Allah, jika Engkau tahu perkara ini baik untuk  diriku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau baginda bersabda; Untuk urusanku di dunia dan akhirat, takdirkanlah ia untukku kemudian berkatilahku dalam urusan ini. Jika Engkau tahu perkara ini tidak baik untukku, untuk agamaku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau baginda bersabda: Untuk urusanku di dunia dan akhiratku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah diriku daripadanya. Takdirkanlah diriku beroleh kebaikan yang sepatutnya kemudian buatkanlah diriku redha dengannya. Baginda bersabda: Seterusnya nyatakanlah hajatnya.”

Riwayat al-Bukhari (1162), Abu Dawud (1538), al-Tirmizi (480), al-Nasaie (3253), Ibn Majah (1383) dan Ahmad (14707)

Tatacara Solat Istikharah

Terdapat tiga cara berkenaan dengan Istikharah:

  • Yang paling masyhur dan disepakati dalam kalangan empat mazhab iaitu solat sunat dua rakaat dengan niat Istikharah kemudian diikuti dengan doa yang ma’thur selepas itu.
  • Ulama Hanafi, Maliki dan al-Syafie berpendapat, harus dengan doa sahaja tanpa solat.
  • Sebahagian ulama Hanafi dan al-Syafie tidak menjelaskannya tetapi berpendapat: Harus doa selepas mana-mana solat. Dan doa yang disertakan dengan niat adalah lebih utama.

Ibn Qudamah tidak menyebut kecuali keadaan yang pertama iaitu Istikharah dan doa.

Niat boleh dilafazkan seperti berikut:

أُصَلِّي سُنَةً الإِسْتِخَارَة رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah SWT.”

Cara melakukan solat Istikharah boleh dilakukan seperti berikut:

  • Niat ketika takbiratu al-Ihram
  • Membaca surah al-Fatihah
  • Membaca surah seperti surah al-Kafirun
  • Rukuk
  • Iktidal
  • Sujud
  • Duduk di antara dua sujud
  • Sujud kedua
  • Bangun untuk rakaat kedua
  • Membaca surah al-Fatihah
  • Membaca surah seperti surah al-Ikhlas
  • Rukuk
  • Iktidal
  • Sujud
  • Duduk di antara dua sujud
  • Sujud kedua
  • Duduk tawaruk
  • Membaca Tahiyat akhir
  • Memberi salam
  • Membaca doa Istikharah dengan penuh Tadharru’ dan menghadirkan hati dengan perasaan mengagungkan kebesaran dan Qudrat-Nya.

Bilangan Rakaat

Berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari, jelas menunjukkan solat Istikharah hanya dua rakaat. Walaupun begitu, solat sunat Istikharah boleh dikerjakan sebanyak dua rakaat dengan satu salam atau dapat dilaksanakan berulangkali seperti dua belas rakaat dengan enam salam. Sampai memperolehi isyarat dan petunjuk bagi yang melaksanakannya. Justeru, rakaat solat Istikharah seperti berikut:

  • Dua rakaat.
  • Empat rakaat.
  • Enam rakaat.
  • Lapan rakaat.
  • Sepuluh rakaat.
  • Dua belas rakaat.

Ulama fiqh bersepakat yang afdal dalam solat Istikharah sebanyak dua rakaat. Manakala ulama Hanafi, Maliki serta Hanbali tidak menyebut secara jelas tentang bilangan yang lebih daripada itu.

Ulama al-Syafie pula berpendapat, harus lebih daripada dua rakaat dan mereka menganggap bahawa dua rakaat itu sekadar penjelasan kadar rakaat yang paling sedikit.

Waktu Solat Istikharah

Berdasarkan kepada hadith, jelas menunjukkan tiada waktu yang khusus untuk melakukan solat Istikharah. Justeru, solat ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki. Selepas mengerjakan solat-solat sunat Rawatib atau solat sunat Tahiyyatu al-Masjid. Juga boleh dikerjakan pada waktu siang iaitu pada waktu malam, pagi ataupun petang. Asalkan bukan pada waktu yang terlarang atau makruh iaitu selepas solat Subuh, ketika matahari tepat di atas kepala dan selepas solat Asar.

Tetapi sebahagian ulama pula berpendapat alangkah baiknya jika solat ini dikerjakan pada waktu malam, ketika suasana sepi dan hening, sebelum mengerjakan solat Witir.

Waktu Makruh Untuk Solat Istikharah

Antaranya:

  • Selepas solat Subuh.
  • Ketika matahari tepat di atas kepala.
  • Selepas solat Asar.

Waktu Terbaik untuk Solat Istikharah

  • Waktu malam sebelum mengerjakan solat Witir.

 

Bacaan dalam Solat Istikharah

Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan dengan surah atau ayat yang sunat dibaca dalam solat Istikharah.

  • Mazhab Hanafi, Maliki dan al-Syafie berpendapat sunat dibaca pada rakaat pertama selepas al-Fatihah dengan surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua. Imam al-Nawawi Rahimahullah mengemukakan sebab iaitu, amat munasabah dibacakan dengan kedua surah tersebut dalam solat kerana dikehendaki daripadanya untuk mengikhlaskan dan benar penyerahan kepada Allah SWT. Begitu juga, menzahirkan kelemahan dan mereka menambah, harus ditambah bacaan yang lain daripada al-Quran.
  • Sebahagian ulama salaf menggalakkan untuk ditambah dalam solat Istikharah selepas bacaan al-Fatihah pada rakaat pertama iaitu ayat 68-70 daripada surah al-Qasas:

وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ ۗ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ ۚ سُبْحَانَ اللَّهِ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ ‎﴿٦٨﴾‏ وَرَبُّكَ يَعْلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُمْ وَمَا يُعْلِنُونَ ‎﴿٦٩﴾‏ وَهُوَ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ لَهُ الْحَمْدُ فِي الْأُولَىٰ وَالْآخِرَةِ ۖ وَلَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan), tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. Dan Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan. Dan Dia lah Allah tiada Tuhan melainkan Dia. Segala puji tertentu bagi-Nya, di dunia dan di akhirat, dan hanyalah Dia yang berkuasa menghukum, serta kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.

(Surah al-Qasas: 68-70)

Dan pada rakaat kedua ayat 36 daripada surah al-Ahzab:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Maksudnya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

 (Surah al-Ahzab: 36)

  • Mazhab Hanbali dan sebahagian ahli fiqh tidak menyebut surah tertentu untuk dibaca dalam solat Istikharah.

Imam al-Nawawi pula menyatakan kaifiatnya adalah seperti berikut :

  • Rakaat yang pertama selepas membaca al-Fatihah harus membaca surah al-Kafirun
  • Rakaat yang kedua selepas membaca al-Fatihah harus membaca surah al-Ikhlas.

Berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi ataupun doa-doa yang sesuai. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/54)

 

Doa Istikharah

Berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari dan Ibn Majah, doa Istikharah seperti berikut:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيْمِ فإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ َوَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوْبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِي (أَوْ قَالَ) عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي ويَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيْهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شّرٌلِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي (أَوْ قَالَ) فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْلِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِيْ بِهِ .

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon pilihan yang terbaik daripada-Mu menurut ilmu-Mu. Aku juga mohon takdir yang terbaik menurut takdir-Mu. Aku mohon limpah kurnia-Mu yang agung, kerana hanya Engkau sahaja yang mentakdirkan bukan aku yang mentakdirkan. Hanya Engkau sahaja yang tahu dan aku tidak tahu. Hanya Engkau sahaja yang mengetahui ilmu ghaib. Ya  Allah, jika Engkau tahu perkara ini baik untuk diriku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau Baginda bersabda; Untuk urusanku di dunia dan akhirat, takdirkanlah ia untukku kemudian berkatilahku dalam urusan ini. Jika Engkau tahu perkara ini tidak baik untukku, untuk agamaku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau Baginda bersabda: Untuk urusanku di dunia dan akhiratku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah diriku daripadanya. Takdirkanlah diriku beroleh kebaikan yang sepatutnya kemudian buatkanlah diriku redha dengannya. Baginda bersabda: Seterusnya nyatakanlah hajatnya.”

Riwayat al-Bukhari (1162), Abu Dawud (1538), al-Tirmizi (480), al-Nasaie (3253), Ibn Majah (1383) dan Ahmad (14707)

Mazhab Hanafi, Maliki dan al-Syafie berpendapat, sunat dimulakan doa tersebut dengan meraikan adab doa seperti mengucap Alhamdulillah, selawat  dan salam atas Nabi Muhammad  SAW. Begitu juga, dengan menghadap kiblat seraya mengangkat kedua-dua tangannya ketika berdoa.

Adapun tempat doa Istikharah mengikut ulama mazhab yang empat adalah selepas solat sebagaimana nas hadith. Imam al-Syubri dan Ibn Hajar dari kalangan mazhab al-Syafie dan al-Adawi dari kalangan mazhab Maliki mengharuskan doa ketika solat dalam sujud atau selepas bacaan tasyahud.

 

Cara Mengetahui Isyarat Istikharah

Isyarat atau tanda-tanda dari Solat Istikharah ini cepat diperolehi atau tidaknya terletak kepada ketekunan seseorang itu dalam melaksanakannya. Isyarat-isyarat itu datang dengan cara:

  • Hati yang Tenang

Isyarat atau tanda-tanda yang akan didatangkan itu berupa ketenangan dan kemantapan hati.

  • Gerakan Hati

Isyarat itu kata Rasulullah SAW sebagaimana yang telah dijelaskan dalam perbahasan di atas adalah gerakan hati yang terdahulu sekali setelah solat atau doa dibacakan.

  • Mimpi

Pendapat yang lain pula mengatakan, boleh jadi isyarat itu datang di dalam mimpi sewaktu tidur. Mimpi yang dimaksudkan di sini tentulah mimpi orang-orang yang sebelum tidurnya melaksanakan ajaran agama tentang adab-adab sebelum tidur, seperti berwuduk, tidur pada rusuk yang sebelah kanan atau menghadap kiblat, membaca ayat al- Kursi Surah al-`Ala, Surah al-Ikhlas, Surah al-Nas dan surah-surah lainnya yang dirasakan perlu.

Maksud dari isyarat mimpi di sini adalah tanda-tanda yang baik yang diperolehi dari mimpi di waktu tidur yang menunjukkan kepada kebaikan.  Akan tetapi sebaliknya jika ada tanda-tanda yang buruk dari mimpi tersebut, maka sebaiknya tidak usah diteruskan maksud itu kerana akan akibat buruk akhirnya.

  • Solat

Ada juga pendapat yang lain mengatakan, isyarat itu datang ketika di dalam solat.

  • Kecenderungan Hati

Di samping ada kecenderungan hati terhadap sesuatu yang dipilih maka badan seseorang itu berasa berat berbelok ke sebelah kanan, maka isyarat ini menyuruh agar meneruskan pekerjaan yang kita hajati. Namun jika berasa berat sebelah kiri maka isyarat ini menyuruh agar kita tidak meneruskan pekerjaan tersebut.

Isyarat ini biasanya boleh didapati ketika seseorang itu membaca ayat berulangkali dalam Surah al-Fatihah:

‏ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(Surah al-Fatihah: 5)

Ia dibaca pada rakaat pertama sehingga mendapat isyarat. Setelah itu, hendaklah meneruskan solat Istikharah sehingga selesai.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445