#3145: Tanda-Tanda Kiamat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tanda-tanda kiamat. Adakah sudah berlaku tanda-tandanya? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kiamat merupakan hari dimana seluruh hidupan akan mati dan waktunya hanya diketahui oleh Allah SWT. Ibn Ḥajar menyatakan bahawa ‘tanda kiamat’ bermaksud tanda-tanda yang berakhir dengan berlakunya hari kiamat (Lihat Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, 13/79).

Namun, terdapat hadith berkenaan waktu akan berlakunya kiamat. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا، وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari ialah pada hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam, padanya juga dimasukkan Adam ke dalam syurga dan padanya juga dikeluarkannya (Adam AS) daripada syurga serta tidak akan berlaku kiamat melainkan pada hari Jumaat.”

Riwayat Muslim (854)

Antara hadith yang sahih menceritakan berkenaan tanda-tanda besar Kiamat ini adalah:

  • Daripada Huzaifah Bin Asid al-Ghifari berkata: Telah muncul Rasulullah SAW di samping kami apabila kami sedang berbincang. Maka Baginda SAW bertanya: Apa yang kamu bincangkan? Mereka menjawab: Kami sedang membicarakan perihal al-Sa’ah (hari Kiamat). Lalu Nabi SAW bersabda:

إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ – فَذَكَرَ – الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda”. “Baginda SAW menyebut (tanda-tanda tersebut): Asap, Dajjal, al-Dabah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya’juj dan Ma’juj dan tiga gerhana iaitu satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka”.

Riwayat Muslim (2901)

  • Dalam riwayat yang lain, hadith yang lebih kurang sama daripada Huzaifah bin Asid bahawa Nabi SAW di dalam bilik dan kami berada di bawahnya. Maka Nabi SAW bertanya: Apa yang kamu bincangkan? Mereka menjawab: perihal al-Sa’ah (hari Kiamat). Lalu Nabi SAW bersabda:

إنَّ السَّاعَةَ لَا تَكُونُ حَتَّى تَكُونَ عَشْرُ آيَاتٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَالدُّخَانُ وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ، وَيَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قُعْرَةِ عَدَنٍ تَرْحَلُ النَّاسَ”.

Maksudnya: ““Sesungguhnya al-Sa’ah (hari Kiamat) tidak akan berlaku sehingga berlaku sepuluh tanda ini iaitu gerhana di Timur, gerhana di Barat, gerhana di rantau arab, asap, Dajjal, Dabah yang melata di bumi (sejenis haiwan),Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yang keluar dari lembah Aden yang akan mengiringi manusia ”.

Riwayat Muslim (2901)

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: طُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، أَوِ الدُّخَانَ، أَوِ الدَّجَّالَ، أَوِ الدَّابَّةَ، أَوْ خَاصَّةَ أَحَدِكُمْ أَوْ أَمْرَ الْعَامَّةِ

Maksudnya: “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari Barat, asap, Dajjal, al-Dabah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (Kiamat)”.

Riwayat Muslim (2947)

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: الدَّجَّالَ، وَالدُّخَانَ، وَدَابَّةَ الْأَرْضِ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَأَمْرَ الْعَامَّةِ، وَخُوَيْصَّةَ أَحَدِكُمْ

Maksudnya: “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Dajjal, Asap, Dabah yang melata di bumi, terbit matahari dari Barat, urusan umum (Kiamat) dan perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian)”.

Riwayat Muslim (2947)

 Pandangan para ulama tentang kronologi tanda besar kiamat adalah seperti berikut:

  1. Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī telah membahagikan tanda-tanda besar kiamat kepada dua bahagian, iaitu tanda-tanda yang berlaku di bumi, dan tanda-tanda yang berlaku di langit. Tanda pertama yang diizinkan oleh Allah berlaku di bumi adalah kemunculan al-Dajjāl, dan tanda terakhir yang diizinkan berlaku di bumi adalah kematian Nabi Isa. Manakala tanda pertama yang diizinkan berlaku di langit adalah terbitnya matahari di barat, dan pada hari itu juga akan keluarnya al-Dābbah (Lihat Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, 11/353).
  2. Abū Abdullah Muḥammad bin Aḥmad Shams al-Dīn al-Qurtubī Menurut al-Qurṭubī, tanda pertama yang muncul adalah al-Dajjāl, kemudian diikuti dengan turunnya Nabi Isa, kemudian keluarnya Yakjuj dan Makjuj, kemudian al-Dābbah, kemudian terbit matahari dari barat (Al-Tazkirah bi Aḥwāl al-Mawtā wa Umūr al-Ākhirah (Lihat Al-Tazkirah bi Aḥwāl al-Mawtā wa Umūr al-Ākhirah, hlm 1264).

iii. Abū Abdullah al-Ḥākim al-Nīsabūrī Menurut al-Mubarakfurī, al-Bayhaqī telah menyebut bahawa susunan yang dinyatakan oleh alḤākim adalah sama dengan susunan yang dikemukakan oleh al-Qurṭubī (Lihat Tuḥfah al-Aḥwazī bi Syarḥ Jāmi’ al-Tirmidh, 6/346).

  1. ‘Umar Sulaymān al-Asyqar Beliau berpandangan bahawa tanda besar kiamat pertama yang akan muncul adalah al-Dajjāl, kemudian turunnya Nabi Isa, lalu diikuti dengan kemunculan Yakjuj dan Makjuj. Tanda terakhir pula adalah kemunculan api yang menghalau manusia menuju ke al-Mahsyar. Manakala tertib tanda-tanda lain tidak dapat dikenal pasti kerana dalil tidak menyebut secara jelas (Lihat Al-‘Aqīdah fī Ḍaw’ al-Kitāb wa al-Sunnah, 2/226).
  2. Sharf Maḥmūd al-Quḍāh Menurut Sharf Maḥmūd, susunan yang tepat adalah berlaku bencana di Timur, Barat, dan kepulauan Arab, kemudian dituruti dengan kemunculan al-Dajjāl, kemudian diikuti dengan turunnya Nabi Isa, kemudian kemunculan Yakjuj dan Makjuj, kemudian keluarnya matahari dari barat, kemudian keluarnya al-Dābbah, kemudian al-Dukhān, dan terakhir keluarnya api dari Yaman menghalau manusia ke al-Maḥsyar (Lihat Kharīṭah al-Mustaqbal fi al-Ḥadīth al-Nabawī, hlm 70; seperti dalam Tanda-Tanda Besar Kiamat: Analisis Metode Dan Kronologi oleh Abdul Muhaimin Mohd Rapingi dan Mohd Yusuf Ismail, hlm 149)

Berkenaan isu berkaitan akhir zaman juga, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1599: Kematian Dajjal[1]

#632: Bilangan Dajjal yang Muncul[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan setakat pengamatan kami, belum ada lagi tanda-tanda besar berdasarkan hadith di atas yang jelas berkenaan kiamat, namun yang pastinya ia sudah hampir. Sesungguhnya kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal.”

 Riwayat Muslim (588)

Semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.

Wallahu a’lam.

[1] https://maktabahalbakri.com/1599-kematian-dajjal/

[2] https://maktabahalbakri.com/bilangan-dajjal-yang-muncul/

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445