Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara untuk kita bertaaruf (berkenalan) sebelum berkahwin? Ini kerana kami merasa sangsi apakah tindakan kami jika bertemu dengan pasangan kami dibenarkan dalam Islam.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
Surah al-Najm (45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
Surah Ar-Ra’d (38)
Bertaaruf dari segi bahasa bermaksud berkenalan. Perkataan ‘taaruf’ adalah berasal daripada perkataan orang Arab yang bermaksud kenal. Taaruf sebelum kahwin adalah bermaksud satu proses perkenalan diri dengan lebih mendalam bagi kedua-dua pasangan yang mahu berkahwin. Ia boleh dilakukan di antara kedua-dua calon tanpa wakil (menggunakan medium seperti media sosial) ataupun dengan melantik wakil untuk menguruskan proses taaruf tersebut (Lihat Portal Baitul Muslim)
Berkenaan perkahwinan, kami telah banyak menjawab berkaitannya:
#2886: Hikmah Perkahwinan kepada Individu[1]
#2842: Keluar Bersama Dengan Tunang[2]
#2550: Melihat Pasangan yang Ingin Dilamar dengan Cara Bertukar-Tukar Gambar[3]
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam bertaaruf, syara‘ memberikan keharusan kepada lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin untuk melihat antara satu sama lain bagi membantu mereka membuat keputusan yang betul dan yakin. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya:
كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِي أَعْيُنِ الأَنْصَارِ شَيْئًا
Maksudnya: “Aku bersama Rasulullah SAW semasa datangnya seorang lelaki yang kemudian memberitahu Baginda bahawa dia ingin mengahwini wanita Ansar, lalu Rasulullah SAW bertanya: ‘Adakah engkau telah melihatnya?’ Lelaki tersebut menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Pergilah lihat dia, sesungguhnya pada mata orang Ansar ini ada sesuatu.”
Riwayat Muslim (1424)
Keduanya, bertaaruf dengan menggunakan orang tengah. Melalui cara ini, ia dianggap lebih sopan dan mengelakkan berlaku fitnah. Orang tengah tersebut boleh kita lantik dari ahli keluarga sendiri ataupun sahabat yang boleh dipercayai. Bahkan dalam sirah, Saidatina Khadijah R.A. juga telah menggunakan orang tengah iaitu sahabatnya yang bernama Nafisah untuk menyatakan keinginannya bagi melamar Rasulullah S.A.W. Tidak kisah pihak lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya tidak salah melantik orang tengah untuk menyampaikan hasrat hati. Ia adalah salah satu bentuk usaha anda untuk mendapatkan jodoh.
Ketiganya, berkenalan dengan ahli keluarganya. Melalui cara ini, kita dapat lebih mengenali ibu bapa dan adik-adiknya. Malah itu menunjukkan keseriusan saudara dalam mendirikan rumahtangga.
Kami katakan apabila ingin berjumpa atau bertemu, elakkanlah hanya berdua-duaan serta di tempat yang sunyi. Ini kerana boleh terdedah kepada maksiat. Begitu juga, jagalah keterampilan dengan menutup aurat sepenuhnya. Sebaik-baiknya pertemuan diadakan di rumah perempuan. Hal ini supaya ia dapat disaksikan oleh kaum keluarga perempuan dan lebih mudah untuk membuat sebarang bentuk keputusan yang terbaik.
Dengan cara ini, sudah tentu menatijahkan kebaikan bagi kedua-dua belah pihak sehingga akhirnya kedua-dua ini dapat menoktahkan hubungan mereka ke jinjang pelamin.
Akhir sekali, apabila sudah saling mengenali dan berkenan. Maka, janganlah lupa untuk membuat solat Istikharah dan berdoa kepada Allah SWT. Hal ini kerana hanya Allah yang tahu perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Sebagaimana firman Allah SWT:
وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Surah al-Baqarah (216)
Semoga dengan penerangan ringkas kami ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat, sejurus memupuk rasa ikhlas dan sifat sabar dalam mendepani cabaran kehidupan berumahtangga dengan berlandaskan telunjuk syara‘.
Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
[1] https://maktabahalbakri.com/2886-hikmah-perkahwinan-kepada-individu/
[2] https://maktabahalbakri.com/2842-keluar-bersama-dengan-tunang/
Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445