#3148: Keliru Dalam Membaca al-Fatihah Ketika Masbuq

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamu’alaikum datuk. Saya telah masbuk ketika solat maghrib. Dan saya sempat mengikuti imam ketika sedang rukuk pada rakaat pertama, tanpa membaca surah al-fatihah. Selepas, imam memberi salam, saya angkat untuk menambah satu lagi rakaat, kerana saya perlu mengganti al-fatihah pada rakaat pertama yang saya tertinggal. Kerana saya berpendapat, tidak sah solat jika tidak membaca al-fatihah (rujuk hadith riwayat muslim 907). Adakah apa yang saya lakukan sudah terlebih rakaat? Harap dapat jawapan untuk soalan saya kali ini.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ulama’ Syafi‘iyyah berpandangan wajib membaca al-Fatihah ke atas makmum, sama ada dalam solat sirriyyah (bacaan secara perlahan) atau jahriyyah (bacaan secara kuat), berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak (sah) solat bagi orang yang tidak membaca fatihah al-kitab (yakni Surah al-Fatihah)”

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (394)

Para ulama Syafieyyah dan Hanabilah menaskan bahawa makruh ke atas makmum untuk membaca (al-Fatihah) semasa imam sedang membaca secara jahar, tetapi Syafieyyah mengecualikan keadaan apabila makmum itu berasa takut akan terlepas (atau tidak sempat menghabiskan) sebahagian bacaan al-Fatihah.

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2769: Makmum Tidak Sempat Baca al-Fatihah[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sekiranya saudara sempat untuk rukuk bersama imam, maka tidak perlu untuk saudara menambah rakat lagi kerana ia sudah dikira sempurna rakaat tersebut. Justeru kami katakan, selama mana saudara sebagai masbuq yang tidak sempat membaca al-fatihah padaa rakaat pertama tetapi sempat rukuk bersama imam , maka saudara telah sempuran rukuk dan rakaat serta tidak perlu menambah satu rakaat lagi semata-mata untuk membaca al-fatihah. Hal ini berdasarkan hadith:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ

Maksudnya:“Sesungguhnya adanya imam adalah untuk diikuti, maka janganlah kalian menyelisihinya”.

[Riwayat al-Bukhari (805) dan Muslim (411)]

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1] https://maktabahalbakri.com/2769-makmum-tidak-sempat-baca-al-fatihah/

 

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445