Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimanakah cara mengatasi Islam liberal? Mohon pencerahan daripada Dato’ Seri. Terima Kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ
Maksudnya: “Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”
(Surah ‘Ali Imran:19)
Imam Ibn Kathir Rahimahullah menafsirkan ayat ini dengan berkata: “Allah SWT mengkhabarkan bahawa tiada agama yang diterima disisi-Nya daripada seseorang kecuali agama Islam.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/25)
Imam Abu Hayyan menjelaskan perkataan al-Din ini bermaksud agama dan syarak. Dimana agama yang diterima di sisi Allah SWT atau memberi manfaat di sisi Allah SWT serta diperakui Allah Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bahr al-Muhit, 3/171)
Begitu juga, dalam nas al-Quran yang lain, Allah SWT berfirman:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
(Surah Ali Imran:85)
Menjawab bagi persoalan di atas, Islam liberal pada mulanya diperkenalkan oleh buku “Liberal Islam : A Source Book” yang ditulis oleh Charles Kuzman (London, Oxford University Press, 1988) dan buku “Islamic Liberalism : A Critique of Development Ideologies ” yang ditulis oleh Leonard Binder (Chicago, University of Chicago Press, 1998). Walaupun buku ini terbit tahun 1998, tetapi idea yang mendokong liberalisasi telah muncul terlebih dahulu seperti gerakan modernisasi Islam, gerakan sekularisasi dan sebagainya. Oleh sebab itu walaupun Jaringan Islam Liberal di Indonesia bermula tahun 2001, tetapi idea-idea Islam Liberal di Indonesia sudah ada sejak tahun 1970 dengan munculnya idea sekularisasi dan modernisasi Islam yang dibawa oleh Nurkholis
Majid, Harun Nasution, Mukti Ali, dan kawan- kawannya (Lihat 50 Tokoh Islam Liberal di Indonesia, 2007).
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 74 pada 25-27 Julai 2006 ketika memutuskan berkenaan gerakan pemikiran liberal yang mengandungi fahaman-faham menyeleweng telah menyenaraikan konsep pluralisme sebagai salah satu doktrin yang sesat lagi menyesatkan. Muzakarah menyimpulkan bahawa pluralisme agama adalah satu konsep yang berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality), bererti semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.
Telah dinyatakan dalam Mausu’ah Mazahib al-Fikriyyah al-Mua’sarah bahawa: Seorang Muslim adalah individu yang berserah kepada Allah dengan mengakui keesaan-Nya, tunduk kepada-Nya dalam ketaatan, dan terbebas dari syirik dan pengikutnya. Oleh itu, sesiapa yang menghendaki kebebasan yang tidak diawasi kecuali oleh undang-undang sekular, dia adalah seorang yang menentang syariat Allah, menghendaki pemerintahan jahiliyyah dan pemerintahan yang zalim. Oleh yang demikian, dia tidak boleh dianggap sebagai seorang Muslim. Sesiapa yang menafikan apa yang telah diketahuinya dari agama secara asas, seperti perbezaan antara seorang Muslim dan seorang kafir, dan menghendaki kebebasan yang tidak tunduk kepada batasan syariah, serta menolak hukum-hukum syariah, termasuk hukum-hukum khusus berkaitan wanita, suruhan kepada kebaikan dan larangan terhadap perkara munkar, dan kewajipan berjihad di jalan Allah, maka dia telah melakukan perkara-perkara yang membatalkan Islam. Orang yang mengatakan dirinya sebagai ‘Muslim liberal’ adalah bertentangan dengan apa yang telah disebutkan, maka dia perlu bertaubat kepada Allah daripada pemikiran-pemikiran ini untuk menjadi seorang Muslim yang sejati.” (Lihat Mausu’ah Mazahib al-Fikriyyah al-Mua’sarah, 1/240 )
Justeru dalam isu ini kami katakan hendaklah bagi penganut agama islam mempelajari ilmu yang sohih yang bersandarkan pemahaman terhadap ajaran al-quran dan al-Sunnah yang betul. Selain itu adalah amat penting untuk menghadiri majlis-majlis ilmu dan mendekati para ulama agar kita mendapat pemahaman yang betul dalam mengamalkan ajaran islam serta tidak mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyelisihi ketetapan agama islam yang lurus. Sekiranya terdapat sebarang ketidakjelasan berkaitan dengan amalan agama, amat disyorkan untuk mendapatkan pandangan daripada ilmuan terlebih dahulu sebelum melaksanakannya. Yang demikian supaya kita tidak tersesat dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Marilah kita merenung dengan penuh kesedaran bahawa agama yang mendapat keredhaan mutlak daripada Allah SWT adalah agama Islam, sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam firman-Nya
الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ
Maksudnya: “Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
Diriwayatkan daripada al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib R.A, bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
ذَاقَ طَعْمَ الإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالإِسْلامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُوْلاً
Maksudnya: “Akan merasakan kelazatan dan kemanisan orang bagi orang yang redha kepada Allah sebagai Rabb-nya, Islam sebagai agamanya serta (Nabi) Muhammad SAW sebagai Rasul-nya.”
Riwayat Muslim (34)
Hadith yang agung ini menunjukkan besarnya keutamaan dan kelebihan redha kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan agama Islam, bahkan sifat ini merupakan petanda benarnya dan sempurnanya iman seseorang. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/2 dan Tuhfah al-Ahwazi, 7/311)
Imam al-Nawawi ketika menjelaskan makna hadith ini berkata: “Orang yang tidak menghendaki selain daripada (redha) Allah SWT, dan tidak menempuh selain jalan agama Islam, serta tidak melakukan ibadah kecuali dengan apa yang sesuai dengan Syariat (yang dibawa oleh) Rasulullah SAW, tidak diragukan lagi bahawa sesiapa sahaja yang memiliki sifat ini, maka nescaya kemanisan iman akan masuk ke dalam hatinya sehingga dia dapat merasai kemanisan dan kelazatan iman tersebut. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/2)
(Surah al-Maidah:3)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”
Wallahua`lam.
Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445