#3152: LGBT: Fitrah atau Bukan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah LGBT termasuk dalam fitrah atau bukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa LGBT tidak termasuk dalam fitrah, kerana Allah SWT berfirman:

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Najm: 45)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Firman-Nya, ‘وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ’ ditafsirkan oleh firman-Nya, ‘الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ’. Ini adalah isim jenis yang mencakupi seluruh makhluk hidup, sama ada yang boleh bercakap (manusia), mahupun haiwan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 425)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

وَمَا خَلَقَ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Demi Yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina).”

(Surah al-Lail: 3)

Al-Syaukani berkata: Ini merupakan sumpah Allah dengan jenis lelaki dan perempuan, sama ada dari golongan manusia atau selainnya. (Lihat Fath al-Qadir, 5/550)

Allah SWT berfirman:

 فَجَعَلَ مِنْهُ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis – lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Qiyamah: 39)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Kemudian Allah jadikan daripada manusia yang sempurna susunannya itu, dua jenis; lelaki dan juga perempuan.” (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 221)

Sebaliknya, LGBT telah melanggar daripada fitrah tersebut. Kerana itulah mereka dipanggil sebagai luar tabi’i. Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ‎﴿٥﴾‏ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ‎﴿٦﴾‏ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang menginginkan selain daripada demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5-7)

Imam al-Syafi’i ketika mengulas ayat di atas berkata: “Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki.” (Lihat al-Umm, 5/102)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata bahawa sifat orang yang beriman yang mendapat kejayaan mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya adalah mereka yang memelihara kemaluan daripada liwat, zina dan selainnya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/759)

Syeikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Isyarat kepada mereka yang mencari selain daripada halal dan isyarat padanya adalah keterangan bahawa ini merupakan ‘illah hukum dan hukumnya adalah mereka yang melampau, zalim dan melebihi had sempanada halal kepada yang haram. Justeru, dia dianggap zalim kerana melakukan yang haram; zalim terhadap keturunannya, zalim terhadap masyarakat dan lain-lain. (Lihat Zahratu al-Tafasir, 10/5048)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ’, yakni maka sesiapa yang mencari dan menginginkan selain pasangan yang sah dan hamba yang dimiliki, seperti melakukan istimna’ (onani/masturbasi), mereka adalah orang-orang yang melampaui sesuatu yang halal menuju kepada yang tidak halal. Mereka adalah orang-orang yang terlalu berlebihan dalam melakukan perlanggaran dan melampaui batasan-batasan Syarak. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/287)

Allah SWT berfirman:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِين إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

(Surah al-A’raf: 80-81)

Ibn Kathir berkata bahawa perbuatan keji ini tidak pernah menjadi adat dan dilakukan oleh manusia, bahkan tidak pernah terlintas dalam akal mereka, sehingga kaum Sodom melakukannya dan Allah melaknat mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/445)

Ulama bersepakat secara ijma’ bahawa perbuatan homoseksual seperti kaum Lut itu ialah maksiat dan dosa besar, tetapi mereka berbeza pandangan tentang adakah hukumannya sama seperti zina atau tidak. Inilah yang disebut oleh Ibn Hazm dalam Maratib al-Ijma’ (1/131). Sebahagian ulama’ berpendapat, dosanya lebih keji daripada zina kerana merosakkan fitrah manusia.

Sesungguhnya, jelas bahawa perbuatan ini dikeji dari sudut agama, emosi, kemanusiaan dan kesongsangan budayanya.

Kami katakan, bahawa LGBT adalah penyakit yang melanda sesebuah ummah. jika tidak ditangani dengan sebaik mungkin, ia boleh membarah, dan akhirnya merosakkan manusia itu sendiri. Sejarah membuktikan umat terdahulu binasa kerana budaya luar tabi‘i dan songsang ini telah menjadi umum di kalangan masyarakat. Samalah seperti kisah kaum Nabi Lut A.S sehingga zahir kemurkaan tuhan melalui hukuman dibenamkan ke dalam tanah dan direndahkan sehingga menjadi laut mati.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445