#3153: Herba Ji Nei Jin (Emas dalam Ayam)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah herba Ji Nei Jin dalam perubatan tradisional Cina halal dan boleh digunakan oleh orang Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan takrifan dan pengenalan ringkas mengenai Ji Nei Jin ini. Ji Nei Jin ini sebenarnya adalah kulit hempedal ayam. Hempedal[1] adalah sejenis otot kecil yang merupakan sebahagian daripada perut ayam. Otot ini membantu ayam untuk memecahkan dan mencerna biji-bijian dan makanan lain. Semua burung, termasuk itik dan ayam belanda, mempunyai hempedal.

Petua naikkan selera makan anak, wanita kongsi cara orang Cina guna 'emas' hempedal ayam - Sinar Plus

Gambar di atas: Hempedal ayam dan kulit hempedal ayam

Hempedal ayam adalah makanan jalanan yang popular di Haiti dan Asia Tenggara, di mana mereka dipanggang. Di Indonesia dan Jepun, Hempedal ayam sering digoreng. Di Portugal, Hempedal ayam dijumpai dalam masakan stew. Di Afrika, Hempedal ayam dijumpai dalam masakan panggang. Di Amerika Syarikat, terutamanya di negeri-negeri Selatan, Hempedal ayam sering disajikan dengan sos pedas.

Kulit hempedal ayam adalah lapisan dalam hempedal ayam, yang mempunyai warna kekuningan-emas. Itulah sebabnya namanya dalam bahasa Cina ialah “Ji Nei Jin” yang bermaksud “Emas dalam Ayam.” Bahan ini telah digunakan dalam Perubatan Tradisional Cina selama lebih kurang 2000 tahun, seperti yang tercatat dalam The Divine Farmer’s Materia Medica (Shen Nong Ben Cao Jing).

Chicken Gizzard Skin (Ji Nei Jin) - All Things Health

Gambar di atas: Ji Nei Jin[2]

Dalam Perubatan Tradisional Cina, kulit hempedal ayam termasuk dalam kategori “Herba yang Melegakan Kegagalan Pencernaan Makanan.” Herba seperti ini biasanya mempunyai sifat pencernaan yang menggalakkan pergerakan makanan. Sesetengah herba ini tinggi dengan enzim pencernaan dan mungkin membantu dalam pencernaan makanan.

Mengikut Perubatan Tradisional Cina kulit hempedal ayam dikatakan mempunyai manfaat kesihatan berikut.

Pada zaman dahulu, kulit hempedal ayam dikatakan digunakan sebagai rawatan untuk cirit-birit. Kemudian, ia dikatakan baik untuk menggalakkan penghadaman dan penghasilan cecair astringing, yang merupakan pendekatan terapeutik untuk merawat cirit-birit, tetapi juga boleh digunakan untuk mengurangkan gejala lain seperti loya, muntah dan senak perut.

Kulit hempedal ayam dengan itu boleh melegakan senak perut disebabkan oleh masalah limpa dan pengumpulan makanan dalam saluran penghadaman. Herba ini boleh merawat limpa yang bermasalah juga untuk merawat kekurangan zat makanan bayi yang disebabkan oleh masalah limpa. Untuk meningkatkan keberkesanannya dalam merawat gejala masalah limpa, pedal ayam boleh digabungkan dengan herba lain yang mampu merawat limpa seperti Keladi Cina (Shan Yao).

Kulit hempedal ayam boleh menahan pelepasan air mani, ejakulasi pramatang, kencing berlebihan dan melegakan enuresis. Untuk menangani masalah sebegini, kulit pedal ayam boleh dibakar secara kacau, dikisar menjadi serbuk untuk dimakan, atau dicampurkan dengan herba lain yang menguatkan buah pinggang, mengamankan air mani atau menghilangkan enuresis.

Dikatakan kulit hempedal ayam boleh digunakan untuk mengurangkan gangguan pencernaan kronik, seperti ulser perut, senak perut, gastritis atropik, refluks asid dan prolaps perut. Selain itu, kulit hempedal ayam boleh digunakan untuk melegakan kekejangan, memecahkan lemak abdomen bawah perut wanita dan menghilangkan batu karang.[3]

Dalam menjawab soalan di atas, kita hendaklah mengetahui bahawa haiwan yang halal dimakan sekiranya disembelih mengikut syarak dan kemudiannya mati disebabkan oleh sembelihan itu, maka ia adalah suci dan tidak dianggap sebagai najis. Manakala haiwan yang tidak boleh dimakan pula, sekiranya ia mati, kesemuanya tetap menjadi najis sekalipun disembelih mengikut syarak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 127).

Begitu juga tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80). Bahkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/153) ada dinukilkan bahawa tidak syak lagi, sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya.

Oleh yang demikian, semua haiwan yang halal dimakan termasuklah ayam, apabila disembelih maka semua bahagian-bahagiannya seperti kepalanya, dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan organ dalaman termasuklah hempedal serta lain-lain selagi mana ia bukan najis adalah halal untuk dimakan. Ini adalah sebagaimana dinukilkan daripada al-Mudawwanah bahawa semua yang disandarkan kepada daging yang terdiri daripada lemak, hati, perut, jantung, paru-paru, limpa, ginjal, halkum, testis, kaki haiwan yang tiada daging, kepala dan seumpamanya, adalah sebagaimana hukum daging — yakni halal dimakan. (Lihat Mawahib al-Jalil, 4/349).

Namun, sebahagian ulama menghukumkan sebagai makruh memakan organ dalaman haiwan (yang bukan najis) kerana ia termasuk dalam benda yang dianggap jijik oleh tabiat semula jadi manusia yang sihat. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/70; al-Taj wa al-Iklil, 4/342). Perbahasan lanjut berkenaan memakan bahagian organ dalam haiwan yang halal bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #697 Makan Telur Lembu.[4]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa herba berasaskan kulit hempedal ayam atau dipanggil juga sebagai Ji Nei Jin adalah suci dan halal dengan syarat ia diambil daripada ayam yang disembelih menurut syarak. Hal ini kerana sembelihan yang dilakukan ke atas haiwan yang halal dimakan, turut menghalalkan semua bahagian anggota haiwan tersebut dan harus untuk kita mengambil manfaat dengannya selagi mana bukan najis dan tidak memudaratkan. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Dalam erti kata lain, semua bahagian-bahagian haiwan itu adalah cabang atau sebahagian daripada haiwan yang disembelih tersebut. Justeru, hukum yang sama turut terpakai ke atas bahagian tersebut — yakni kulit hempedal ayam dan ia adalah halal dimakan.

Namun, jika Ji Nei Jin itu diambil daripada bangkai ayam atau ayam yang tidak disembelih menurut syarak, maka ia adalah najis dan haram dimakan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih)”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Ini kerana pengharaman bangkai itu merangkumi pengharaman kepada semua bahagian-bahagiannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

[1] Hempedal atau pedal ialah bahagian berdinding tebal dlm perut unggas tempat makanan dihancurkan. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=hempedal. Diakses pada 18 September 2023).

[2] Sumber gambar: https://tcmwiki.com/wiki/ji-nei-jin. Diakses pada 18 September 2023.

[3] Lihat https://www.allthingshealth.com/en-us/glossary/chicken-gizzard-skin-ji-nei-jin/. Diakses pada 18 September 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/697-makan-telur-lembu/. Diakses pada 18 September 2023.

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445