#3157: Tanda Kemunculan Imam Mahdi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tanda kemunculan Imam Mahdi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara tanda-tanda besar kedatangan Hari Kiamat adalah munculnya Imam Mahdi. Disebut bahawa pada akhir zaman, akan keluar seorang lelaki dari kalangan Ahlul Bait, di mana Allah SWT akan mengukuhkan agama Islam dengannya. Dia akan menjadi pemimpin selama tujuh tahun. Bumi akan dipenuhi dengan keadilan. Seluruh umat akan merasa kenikmatan pada zamannya dengan kenikmatan yang belum dirasakan sebelumnya. Bumi mengeluarkan pelbagai tumbuhan, langit menurunkan hujan dan harta dilimpah-ruahkan tanpa batas. (Lihat Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 257)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan beberapa hadith sahih yang menceritakan tentang kemunculannya:

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي

Maksudnya: “Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan Ahli Baitku, yang namanya bersamaan dengan namaku.”

Riwayat al-Tirmizi (2230). Beliau berkata: “Ini hadith hasan sahih.”

Al-Mubarakfuri menukilkan bahawa al-Tibi berkata: “Tidak disebut al-’ajam (selain Arab) sedangkan mereka juga dimaksudkan (dalam hadith ini) adalah kerana apabila bangsa Arab memerintah dan bersatu padu, maka mereka akan menguasai seluruh umat.” Al-Qari pula berkata: “Boleh jadi, disebut bangsa Arab sahaja disebabkan penguasaan dan dominasi mereka pada zaman tersebut, atau kerana kemuliaan mereka, atau kerana dalam bentuk lafaz berpada di mana sebenarnya ia juga bermaksud bangsa Arab dan selain Arab.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/485)

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ لَطَوَّلَ اللَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ  حَتَّى يَبْعَثَ فِيهِ رَجُلاً مِنِّي  أَوْ ‏‏ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي وَاسْمُ أَبِيهِ اسْمَ أَبِي ‏يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجَوْرًا

Maksudnya: “Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari, nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku. – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh keadilan dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi dengan kegelapan dan kezaliman.”

Riwayat Abu Daud (4282)

Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: “Dalam hadith ini, terdapat keterangan bahawa sebelum kemunculan al-Mahdi, maka dunia dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Kemudian selepas kedatangannya, dunia akan berubah dengan dipenuhi oleh keadilan dan tersebarnya kebaikan.” (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 1/2)

Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَخرُجُ في آخِرِ أُمَّتي المَهديُّ، يَسْقيه اللهُ الغيْثَ، وتُخرِجُ الأرضُ نَباتَها، ويُعْطي المالَ صِحاحًا، وتَكثُرُ الماشيةُ، وتَعظُمُ الأُمَّةُ، يَعيشُ سَبعًا، أو ثَمانيًا، يَعْني حِجَجًا.

Maksudnya: “Al-Mahdi akan keluar daripada generasi akhir umatku. (Ketika pemerintahannya), Allah menurunkan banyak hujan, dan bumi mengeluarkan banyak tumbuh-tumbuhan. Dia memberikan harta dengan adil, haiwan ternakannya menjadi banyak, dan umat manusia menjadi mulia. Dia akan hidup selama tujuh atau lapan tahun.”

Riwayat Abu Daud (4285), Ahmad (11130) dan al-Hakim (8673). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Daripada Thauban R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيتُمْ الرَّايَاتَ السُّودِ قَدْ جَاءَتْ مِنْ قِبَلِ خُرَاسَانَ فَأتوهَا، فَإِنَّ فِيهَا خَلِيفَة الله المَهْدِي

Maksudnya: “Apabila kamu semua melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan, maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi.”

Riwayat Ibn Majah (4084), Ahmad (22441) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/502). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad.

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: Lafaz ‘السُّودِ ’ di sini, boleh jadi juga adalah bentuk kinayah (kiasan) terhadap ramainya tentera-tentera umat Islam dari arah Khurasan. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 8/3447)

Dalam kitab al-Fitan wa al-Malahim, Ibn Kathir berkata: Aku mengira bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku sebelum turunnya Nabi Isa AS. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا ‏.‏ فَيَقُولُ لاَ ‏.‏ إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ ‏.‏ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ

Maksudnya: “Isa bin Maryam SAW turun, lalu pemimpin mereka (al-Mahdi) berkata: ‘Marilah, solatlah mengimami kami.’ Lalu Isa berkata: ‘Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini.”

Riwayat Muslim (247)

Daripada Thauban R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَقْتَتِلُ عِنْدَ كَنْزِكُمْ ثَلاَثَةٌ؛ كُلُّهُمْ اِبْنُ خَلِيْفَةٍ، ثُمَّ لاَ يَصِيْرُ إِلَـى وَاحِدٍ مِنْهُمْ، ثُمَّ تَطْلُعُ الرَّايَاتُ السُّوْدُ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ، فَيَقْتُلُوْنَكُمْ قِتْلاً لَمْ يَقْتُلْهُ قَوْمٌ… (ثُمَّ ذكر شَيْئًا لاَ أَحْفَظُهُ، فَقَالَ:) فَإِذَا رَأَيْتُمُوْهُ؛ فَبَايِعُوْهُ، وَلَوْ حَبْوًا عَلَى الثَّلْجِ؛ فَإِنَّهُ خَلِيْفَةُ اللهِ اَلْمَهْدِيُّ.

Maksudnya: “Terdapat tiga orang yang akan saling membunuh di sisi simpanan kamu; mereka semua adalah putera khalifah. Kemudian ia tidak akan kembali kepada salah seorang daripada mereka. Akhirnya, muncullah bendera-bendera hitam dari arah timur, lalu mereka akan memerangi kamu dengan peperangan yang tidak pernah dilakukan oleh satu kaum pun…(lalu Baginda menuturkan sesuatu yang tidak aku fahami, kemudian Baginda bersabda): Jika kamu melihatnya, maka bai’ahlah dia. Walaupun dengan merangkak di atas salji, kerana sesungguhnya dia ialah khalifah Allah, al-Mahdi.”

Riwayat Ibn Majah (4084), al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/464) dan katanya: “Hadith ini sahih dengan syarat al-Syaikhan.” Hal ini disepakati oleh al-Zahabi. Ibn Kathir berkata: Sanadnya kuat dan sahih. (Lihat al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)

Menurut Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan simpanan pada lafaz tersebut ialah simpanan Ka’bah. Tiga orang putera khalifah akan saling berbunuhan di sisinya untuk merebutkannya hingga tiba akhir zaman. Kemudian, keluarlah al-Mahdi dan beliau datang dari arah timur. Beliau didokong oleh orang-orang dari timur yang menolongnya, menegakkan kekuasaannya, memperkuat sendi-sendinya dan bendera mereka ketika itu juga berwarna hitam yang melambangkan ketenangan, sepertimana bendera Rasulullah SAW di mana ia juga berwarna hitam dengan sebutan al-’Uqab. Dia akan dibai’ah di Masjid al-Haram (berhampiran Ka’bah), sepertimana diisyaratkan dalam sebahagian hadith. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/16)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445