#3163: Berkongsi Tanaman dengan Jiran yang Memelihara Anjing

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika seorang Muslim berjiran dengan non-muslim dan mereka sama-sama menanam pokok bunga di kedua-dua tanaman mereka, apakah hukum jika Muslim tersebut menggunakan tumbuhan di kawasannya yang diusahakan oleh jiran non-muslim itu, sekiranya jiran tersebut mempunyai haiwan peliharaan iaitu anjing? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, orang bukan Islam bukanlah najis pada hakikatnya, berbeza dengan pendapat sebahagian ulama dalam kalangan Zahiriyyah yang berpendapat bahawa orang bukan Islam itu dianggap sebagai najis secara ainnya (yakni hakiki) dan mereka berhujah mengenai perkara tersebut berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.

(Surah al-Taubah: 28)

Kemudian, jumhur ulama menjawab pendapat tersebut dengan menyatakan, najis dalam ayat itu bermaksud kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka. Mereka berhujahkan bahawa Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Para jumhur juga menjawab bahawa Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi. (Lihat Nail al-Autar, 1/35).

Begitu juga, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (bukan Islam). Manakala najis yang dimaksudkan di dalam ayat 28 daripada Surah al-Taubah ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis, dan bukannya kenajisan pada jasad mereka. (Lihat Asna al-Matalib, 1/10).

Bahkan Nabi SAW juga pernah menempatkan rombongan Thaqif — mereka dalam kalangan orang kafir — di masjid. Kalaulah tubuh badan mereka dianggap najis, sudah tentu Baginda tidak akan menempatkan mereka di dalamnya bagi menjaga kesucian masjid. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/78).

Di samping itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukum sucinya) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir. Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/577).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah kerana tumbuhan atau apa-apa benda yang berada di atas tanah dihukumkan sebagai suci sekalipun ia dipegang atau diusahakan oleh jiran non-muslim dan dikhuatiri atau adanya kemungkinan mereka memegang najis sebelum itu, selagi mana tidak terdapatnya sebarang bukti mahupun tanda-tanda yang jelas/kukuh ia bernajis. Cukuplah dalam hal ini, kita berpegang kepada kaedah yang menyebutkan:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّاهِرِ، وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya:Kita berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/324).

Apatah lagi hukum asal sesuatu benda seperti tanah, tumbuhan dan lain-lain adalah suci dan bersih sehinggalah ternyata kepadanya kenajisannya. Ini adalah sebagaimana kaedah menyebutkan:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya:Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

Begitu juga, al-Sa‘di turut menyebutkan kaedah:

والأَصْلُ في مِيَاهِنَا الطهارةُ # والأرضُ والثيابُ والحجارةُ

Asal bagi air kita adalah suci bersih.

            Begitu juga tanah, pakaian dan batu.”

(Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/3).

Tambahan lagi, diandaikan pernah terdapatnya persentuhan dengan najis seperti anjing misalnya atau seumpamanya, akan tetapi ia telah kering dan telah berlalu selama beberapa hari, di samping panas matahari, hujan, angin, tanah dan seumpamanya, secara tidak langsung, turut membantu dalam menghilangkan dan menyucikannya. Keadaan ini, sekiranya berlaku adalah seperti ‘umum al-balwa.[1] Sementelahan, untuk mengawalnya adalah sangat susah. Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang. Hal ini bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Selain daripada itu, pada masa yang sama kita turut diperintahkan untuk menghormati dan memuliakan jiran kerana ia termasuk dalam hak jiran. Rasulullah SAW pernah bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani – setelah menyebut beberapa riwayat yang lain berkaitan memuliakan jiran dan berbuat baik kepadanya, – menyatakan, perintah ‘memuliakan’ berbeza-beza mengikut perbezaan individu dan keadaan. Terkadang berupa fardhu ‘ain dan terkadang berupa fardhu kifayah, dan terkadang pula mustahab (digalakkan/sunat) Namun, semuanya termasuk akhlak yang mulia. (Lihat Fath al-Bari, 29/144).

Bahkan Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Semua ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/18).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

[1] Iaitu sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku serta sukar dielakkan.

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445