#3164: Niat Semasa Membayar Kaffarah

Soalan:

Assalamualaikum Dato. Saya tak terfikir nak tanya tempoh hari. Adakah terdapat niat yang perlu dibaca semasa membuat bayaran kaffarah sumpah? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105)

Manakala pada istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahi, wallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213; Taudhih al-Ahkam, 7/105)

Sumpah hendaklah hanya dilakukan dengan menggunakan nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”

Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)

Melanggar Sumpah

Firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Maidah: 89)

Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Wajib dilaksanakan kafarah sumpah mengikut turutan kemampuan seperti berikut :

  • Membebaskan hamba yang beriman.
  • Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin.
  • Lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
  • Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.

Jika tidak dapat menyediakan perkara tadi maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263.)

Sesungguhnya kaffarah sumpah adalah pilihan antara memberi makan sepuluh orang miskin, memberikan pakaian kepada mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Jika seseorang itu tidak dapat dan tidak mampu melaksanakan salah satu dari tiga pilihan ini, maka dia mesti berpuasa selama tiga hari untuk membayar kaffarah tersebut. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak boleh seseorang itu menangguhkan kaffarah sumpah, dan dia mesti melaksanakan kaffarah itu sesegera mungkin setelah pelanggaran sumpah itu dilakukan, kerana ini adalah asas dalam perkara ini. Oleh itu, jika seseorang itu tidak mampu untuk memberi makan, memberi pakaian, atau memerdekakan hamba dengan segera, maka dia wajib berpuasa selama tiga hari. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiah, 19/454)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan apabila seseorang hendak membayar kaffarah sumpah, adalah sangat penting untuk berniat kerana tindakan ini merupakan ibadah kepada Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada daripada Amirul Mukminin Abi Hafs Umar bin al-Khattab RA berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907).

Berdasarkan hadis ini juga, ulama’ mengeluarkan satu kaedah fiqhiyyah yang utama:

‌الأُمُورُ ‌بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara dinilai berdasarkan niat.”(Lihat Al-Asybah wa Al-Nazair, hlm. 8)

Dalam isu ini Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Tolibin menyatakan bahawa: Disyaratkan untuk berniat iaitu ketika membayar kafarah dan tidak perlu untuk menentukannya secara khusus. (Lihat  Minhaj al-Tolibin,hlm.247 )

Namun dalam hal ini, tidak dikhususkan apa-apa bacaan dalam melafazkan niat kerana niat itu tempatnya di hati. Yang demikian telah dinyatakan dalam Fath al-Qarib bahawa:   Niat itu adalah memaksudkan melakukan sesuatu yang disertai dengan pekerjaan  dan tempat niat adalah di dalam hati. (Lihat Fath al-Qarib, hlm. 75)

Justeru kami katakan di sini niat adalah perkara yang penting; ia merupakan roh perbuatan, dan dengan niatlah perbuatan  itu menjadi baik dan diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap perbuatan yang baik hendaklah disertakan dengan niat yang tulus agar apa-apa perbuatan yang dilakukan kerana Allah SWT diterima olehNya.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

 Wallahua’lam

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445