Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana peranan manusia dalam menghadapi Artificial Intelligence?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menghadapi gelombang ledakan Artificial Intelligence, kami nyatakan di sini beberapa prinsip yang perlu dijadikan landasan:
Pertama: Perlu kefahaman yang jelas berkaitan tujuan dan matlamat penggunaan serta penciptaannya. Ini kerana Nabi SAW bersabda:
وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap orang memperoleh apa yang diniatkan.”
Riwayat al-Bukhari (1)
Kaedah yang masyhur menyatakan:
الْأُمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا
Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 30)
Kedua: Sebarang bentuk AI hendaklah menyanggahi sifat sanam (berhala) atau timthal (patung) yang bernyawa. Ini sebahagian daripada sadd al-zari’ah (menutup jalan kerosakan).
Ketiga: Elakkan sebarang bentuk gharar dan penipuan. Justeru, sebarang penggunaan dan penciptaan AI wajar disertakan penafian (disclaimer) yang boleh diketahui umum.
Keempat: Penggunaan dan penciptaan AI hanya untuk tujuan urusan harian kehidupan dan perkara teknikal berkaitan agama. Ia tidak mungkin menggantikan taklif rabbani (kewajiban yang dituntut oleh Allah SWT) terhadap manusia seperti perintah pelaksanaan ibadat, solat dan lain-lain. Begitu juga, ia tidak menyanggahi norma manusia seperti perkahwinan dengan AI sepertimana yang berlaku di Jepun dan di sebahagian negara barat.
Kelima: AI tidak boleh menyentuh sensitiviti agama seperti itu ghaibiyyat (perkara-perkara ghaib) dan lakaran wajah Rasulullah SAW misalnya.
Keenam: Perlu dibuat kajian yang lebih mendalam tentang penisbahan kesalahan jenayah, kemalangan dan kesalahan AI sama ada melibatkan sistem atau manusia. Kami menjangkakan, pihak kehakiman dan perundangan juga perlu melihat isu ini dengan lebih serius.
Ketujuh: Jika ada keperluan untuk pentarjihan[1] hukum, kepakaran manusia masih diutamakan kerana AI sama sekali tidak akan dapat membuat keputusan terhadap perkara di luar data yang diperolehnya.
Kelapan: AI dilarang sama sekali menceroboh karamah insaniyyah (kemuliaan dan penghormatan manusia). Ia adalah konsep yang menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti. Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”
(Surah al-Isra’: 70)
Imam al-Qurtubi menjelaskan mengenai karamah insaniyyah yang dikurniakan oleh Allah SWT, di mana manusia diberikan maklumat yang pelbagai. Antara nikmat tertinggi yang Allah SWT kurniakan adalah kemuliaan dan kehormatan diri, di mana dua nikmat ini tidak ada pada makhluk yang lain. Selain itu, manusia juga diberikan akal dan kelebihan bertutur yang sempurna, bagi membezakan perkara baik dan buruk serta mengucapkan kata-kata yang baik. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/190)
Justeru, sebarang penggunaan AI yang dilihat mencemarkan maruah dan nilai seorang Muslim, maka hendaklah dielakkan.
Kesembilan: Dengan perkembangan terkini AI, maka kaedah penghakiman dan pembuktian di mahkamah Syariah melalui video, audio dan imej tidak lagi menjadi bayyinah dan syahadah yang boleh diterima pakai, tetapi sekadar qarinah (circumstantial evidence) semata-mata. Inilah hikmah mengapa Islam menekankan yang berhak menjadi saksi adalah manusia yang sebenar, yang mempunyai sifat-sifat dan syarat-syarat yang diterima.
Selain itu, kami pernah menjawab isu sebegini dalam artikel berikut:
- #1474: Islam dan ‘Kecerdasan Buatan’[2]
- #2562: Guna Bantuan AI dalam Menyiapkan Tugasan (Assignment)[3]
- #22: Masa Depan Islam dan AI[4]
Akhir kalam, kami mengharapkan semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan serta kefahaman yang baik kepada kita dalam berinteraksi dengan AI mengikut neraca Syariah, dan dalam mencari mardhatillah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
[1] Kami kemukakan maksud tarjih di sini seperti berikut:
- Menguatkan salah satu daripada dua dalil ke atas dalil yang lain terhadap sesuatu yang tidak jelas. (Lihat al-Bahr al-Muhit oleh al-Zarkasyi, 8/145).
- Menguatkan salah satu daripada dua lain ke atas yang lainnya berdasarkan petunjuk. Ini disebut oleh Syeikh Ibn al-Najjar. (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 636)
- Mensabitkan lebihan pada salah satu daripada dua sudut yang saling bertembung, atau menjadikan sesuatu itu sebagai lebih rajih (berat). Ini disebut oleh al-Syaukani. (Lihat Irsyad al-Fuhul, 2/777)
- Menguatkan salah satu daripada dua jalan itu ke atas satu yang lain untuk diketahui yang manakah lebih kuat di antara keduanya, lalu ianya diamalkan dan ditinggalkan yang berlawanan. (Lihat al-Mahsul min Ilm al-Usul, 5/397)
[2] https://maktabahalbakri.com/1474-islam-dan-kecerdasan-buatan/
[3] https://maktabahalbakri.com/2562-guna-bantuan-ai-dalam-menyiapkan-tugasan-assignment/
[4] https://zulkiflialbakri.com/22-masa-depan-islam-dan-ai/
Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445