Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum bagi lelaki dan perempuan melakukan belajar berkumpulan (Study group)?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Maksudnya: “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.”
Riwayat Muslim (1341)
Hadith ini secara jelas menunjukkan bahawa perbuatan berkhalwat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah sesuatu yang dilarang di dalam agama.
Imam al-Nawawi berkata: “Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya. Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun atau tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut sama seperti tiada.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/243-244)
Antara hikmah larangan seorang lelaki berdua-duaan bersama seorang perempuan yang bukan mahramnya ialah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam serta menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan sebagaimana sabda Nabi SAW :
أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidaklah seorang lelaki dan seorang perempuan itu berdua-duaan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”
Riwayat al-Tirmizi (2165)
Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan di dalam kitabnya bahawa syaitan ada bersama keduanya (lelaki dan perempuan yang berdua-duaan itu) serta membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320)
Para ulama telah meletakkan garis panduan (parameter) dalam menentukan khalwat yang dilarang oleh agama. Syeikh al-Syibramalisi dan Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani menyebutkan bahawa: “Sesungguhnya garis penentuan khalwat (yang dilarang) ialah ke atas perhimpunan (antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram) yang tidak selamat daripada sebarang tohmah (fitnah dan syak wasangka) pada adat kebiasaannya, berbeza pula apabila dapat dipastikan perhimpunan (pertemuan) tersebut selamat daripada sebarang tohmah pada adat kebiasaannya, maka ia tidak termasuk dalam khalwat (yang dilarang).” (Lihat Hasyiah Nihayah al-Muhtaj, 7/163; Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, 8/269)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga ada menyatakan bahawa perbuatan khalwat (berdua-duaan) seorang lelaki dengan perempuan ajnabiyyah haram hukumnya kerana ia biasanya akan membawa kepada timbulnya fitnah. Dan hukum asal setiap sesuatu yang menjadi sebab kepada timbulnya fitnah adalah tidak harus (tidak boleh dilakukan) kerana ia adalah jalan yang membawa kepada kerosakan. Oleh itu, wajib menutupnya sekiranya tiada apa-apa keperluan yang kuat (untuk melakukannya). (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 21/251)
Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Imam Ibn Hajar al-Haitami yang menyebutkan beberapa contoh atau keadaan yang tidak dianggap sebagai khalwat yang dilarang. Antaranya ialah sekiranya seorang perempuan masuk ke dalam masjid yang mana di dalamnya ada seorang lelaki, maka ia tidak termasuk dalam kategori khalwat kerana masjid merupakan tempat yang sentiasa dimasuki oleh setiap orang. Dan sesungguhnya perkara ini hanya dibenarkan pada masjid yang menjadi laluan orang ramai (keluar masuk masjid) serta tidak terputus orang yang keluar masuk pada adat kebiasaannya. Demikianlah juga (hukumnya), apa yang menyerupainya seperti jalan atau selainnya (tempat-tempat awam yang lain) yang menjadi laluan orang ramai, berbeza dengan tempat-tempat yang tidak menjadi laluan orang ramai (terpencil dan sunyi). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 8/269-270)
Oleh itu, jelaslah bahawa tempat yang menjadi laluan orang ramai kebiasaannya selamat dan jauh daripada fitnah serta tidak menimbulkan curiga. Berbeza dengan tempat yang terpencil, sunyi dan jauh daripada orang ramai kerana ia boleh menimbulkan fitnah, tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya.
Belajar Secara Berkumpulan yang Bercampur Lelaki dan Perempuan
Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa: “Dan begitu juga, sekiranya ramai lelaki berhimpun dengan seorang perempuan ajnabiyyah, hukumnya adalah haram berbeza sekiranya seorang lelaki berhimpun dengan ramai perempuan ajnabiyyah kerana menurut pendapat yang sahih hukumnya adalah harus.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/244)
Ibnu Hajar al-Haitami juga ada menyebutkan bahawa di sana ada kelonggaran yang diberikan iaitu boleh bersendiri bagi seorang lelaki yang thiqah (dipercayai) bersama dua orang perempuan (atau lebih) yang thiqah yang mana perempuan berkenaan dihormati oleh lelaki tersebut dan bukan sebaliknya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 4/107)
Sekiranya diteliti, perkara ini sangat berkait rapat dengan garis panduan yang telah diletakkan oleh para ulama sebagaimana yang telah disebutkan di atas iaitu mesti selamat daripada timbulnya fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya). Begitu jugalah, sekiranya sebaliknya iaitu perhimpunan yang melibatkan seorang perempuan dengan ramai lelaki. Sekiranya, pertemuan tersebut ada keperluan dan semua mereka adalah thiqah (dipercayai) serta selamat daripada sebarang fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya), maka ia diharuskan.
Perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa beberapa orang daripada Bani Hashim telah bertandang ke rumah Asma’ binti ‘Umais (isteri Abu Bakar al-Siddiq). Ketika itu, Abu Bakar al-Siddiq RA tiada di rumah. Apabila Abu Bakar pulang dan memasuki rumahnya, beliau melihat mereka berada di dalam rumahnya. Abu Bakar tidak selesa dengan perkara tersebut lalu mengadu kepada Nabi SAW. Jawab baginda SAW : “Aku tidak melihat (kedatangan mereka itu) melainkan adanya kebaikkan. Sesungguhnya Allah SWT telah menyucikan Asma’ binti ‘Umais daripada perkara itu (yang tidak baik).” Kemudian Rasulullah SAW telah naik ke atas minbar dan bersabda:
لا يَدْخُلَنَّ رَجُلٌ، بَعْدَ يَومِي هَذَا، عَلَى مُغِيبَةٍ، إِلَّا وَمَعَهُ رَجُلٌ أَوِ اثْنَانِ
Maksudnya: “Selepas hari ini, tidak boleh seorang lelaki memasuki rumah seorang wanita yang suaminya sedang tiada di rumah, melainkan bersamanya seorang lelaki yang lain ataupun dua orang.”
Riwayat Muslim (2173)
Imam al-Nawawi mengatakan bahawa zahir hadith ini menunjukkan keharusan dua orang lelaki atau tiga orang (atau lebih) bersama dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya. Walau bagaimanapun, pendapat yang masyhur menurut mazhab Syafie ialah ia tetap haram. Oleh itu, hadith ini telah ditakwilkan bahawa perkara tersebut diharuskan kepada orang-orang yang jauh sekali kemungkinannya pertemuan itu menjerumuskan mereka ke dalam perbuatan keji kerana kesolehan, atau kewibawaan mereka, atau seumpamanya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/274)
Sekalipun begitu, kami ingin tegaskan bahawa ia tetap berkait rapat dan kembali semula kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh para ulama iaitu mesti selamat daripada timbulnya fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya). Abu al-‘Abbas al-Qurtubi menjelaskan bahawa Nabi SAW tidak membenarkan mana-mana lelaki memasuki rumah seorang perempuan yang mana suaminya sedang tiada melainkan bersamanya seorang atau dua orang lelaki lain kerana ia adalah sebagai Sadd al-Zari’ah iaitu menutup segala pintu yang boleh membawa kepada perbuatan khalwat yang diharamkan dan menolak segala perkara yang boleh membawa kepada tohmahan. Nabi SAW telah bataskan (hadkan) hanya dengan menyebut seorang lelaki atau dua orang lelaki disebabkan oleh kesolehan masyarakat (pada waktu itu) yang mana tohmah (buruk sangka) terangkat dengan bilangan tersebut. Adapun pada hari ini, bilangan tersebut tidak mencukupi (untuk mengangkat tohmahan), bahkan mesti dengan bilangan yang lebih ramai disebabkan oleh kerosakan yang telah berleluasa (dalam masyarakat) dan keinginan yang jahat. (Lihat al-Mufhim limaa Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 5/503)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa diharuskan untuk melakukan belajar secara berkumpulan yang melibatkan perempuan dengan ramai lelaki selagimana ada keperluan, aurat dijaga, batasan dijaga, pandangan dijaga, dan dilakukan secara terbuka serta perkara tersebut tidak menimbulkan fitnah, tohmahan buruk, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya. Hal ini kerana kebiasaanya (menurut waqi’ Malaysia) bilangan yang ramai sama ada daripada pihak lelaki mahupun perempuan sudah cukup bagi menolak sebarang tohmahan yang tidak baik. Lebih-lebih lagi, sekiranya pembelajaran itu memerlukan kerjasama antara lelaki dan perempuan dalam satu kumpulan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.
Namun begitu, sekiranya ia melibatkan berdua-duan antara lelaki dan perempuan atau dalam jumlah yang kecil dan dilakukan secara tertutup serta menimbulkan fitnah dan syak wasangka, maka ia adalah diharamkan dan termasuk dalam larangan yang Nabi SAW sebutkan. Kami juga ingin berpesan kepada lelaki dan perempuan agar jagalah diri sebaik mungkin serta tundukan pandangan daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya. Moga-moga Allah memelihara kita semua daripada terjerumus ke dalam perkara yang dimurkai-Nya.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Wallahua`lam.
Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445